Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat ke atas penurunan indeks jenayah dalam negeri Selangor pada tahun ini yang turun sebanyak 1117 kes berbanding tahun 2015. Walau bagaimanapun, ia tidak semestinya membuktikan strategi pencegahan jenayah dan aktiviti kepolisan yang dilakukan semakin berkesan. Di samping menyambut baik usaha pihak polis untuk menggerakkan strategi itu dengan lebih agresif pada tahun depan, saya ingin mengingatkan Abdul Samah agar jangan berasa puas hati dengan hanya merujuk kepada angka.
Memang tidak dapat dinafikan bahawa penurunan yang merangkumi 30, 952 kes dalam pelbagai kategori jenayah yang direkodkan sehingga 27hb Disember 2016 berbanding 32,069 kes yang direkodkan tahun lalu adalah amat menggalakkan tetapi adakah angka yang direkodkan membayangkan angka ataupun bilangan kes sebenarnya yang telah berlaku? Saya suka untuk mencadangkan supaya pihak polis membuat kajian yang lebih mendalam lagi mengenai keadaan sebenar di peringkat akar umbi. Menurut pemahaman saya, banyak mangsa jenayah tidak sanggup membuat laporan polis. Ini adalah kerana kebanyakan daripada mangsa mempunyai persepsi tidak akan ada apa-apa akan berlaku walaupun laporan polis di buat, bererti mereka anggap apa-apa kehilangan ataupun kerosakan harta tidak dapat dipulih. Selain itu, ada yang berasa proses untuk membuat laporan polis amat leceh dan memakan masa. Justeru itu, kebanyakan mangsa memilih untuk tidak melaporkan kejadian kepada polis jika tiada apa-apa dokumen penting ataupun kematian yang berlaku.
Ini dapat dibuktikan berdasarkan kejadian 14 kes pecah rumah yang berlaku di Kampung Baru Batu 11 Cheras, Selangor dalam tempoh 7 hari bermula 17hb Disember 2016 dimana hanya beberapa orang mangsa sahaja yang sanggup membuat laporan polis. Antara yang membuat laporan polis pun, lebih daripada separuh membuat laporan polis berikutan nasihat dan pujukan saya dan jiran-jiran. Selain daripada itu, kejadian kes ragut dan seluk saku berlaku hampir tiap-tiap minggu di kebanyakan pasar pagi dan hakikatnya, mangsa enģgan membuat laporan polis.
Selain daripada itu, saya juga mendesak pihak Kementerian Dalam Negeri untuk melakukan rombakan terhadap pasukan polis. Ini bukan desakan yang baru dan ia telah dicadangkan beberapa kali sebelum ini. Mengikut cadangan Interpol, nisbah anggota polis kepada rakyat yang bersesuaian adalah 1:250. Di negara kita, terdapat 130,115 anggota polis dan jika ia dibahagikan kepada 30 juta orang rakyat Malaysia, nisbahnya adalah 1:230 yang telah mencecah cadangan pihak Interpol. Walau apapun, angka tersebut tidak membayangkan apa yang sebenarnya berlaku di peringkat akar umbi. Ini adalah kerana pengagihan tugas yang tidak rata di dalam pasukan polis. Saya harap rombakan boleh dilakukan agar anggota polis yang secukupnya boleh di tugaskan untuk kerja-kerja mencegah dan membanteras jenayah.