Industri pelancongan boleh membawa hasil yang lumayan kepada negara kita. Ini adalah satu industri yang mempunyai potensi yang tinggi. Negara kita yang kaya dengan kepelbagaian budaya, seni, bahasa dan agama merupakan faktor penarikan pelancong asing ke negara ini. Selain daripada pusat-pusat pelancongan yang menarik, negara kita juga dikenali sebagai ‘syurga makanan’.
Adakah kita menggunakan segala kelebihan yang ada untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara destinasi pilihan seluruh dunia? Saya berpendapat banyak lagi yang boleh ditawarkan oleh Malaysia kepada pelancong-pelancong antarabangsa. Tetapi, kerajaan tidak memberi keutamaan atau fokus dalam membangunkan industri pelancongan negara.
Pelancong asing yang berminat untuk melancong ke Malaysia antaranya dari China, Thailand, Indonesia, Brunei dan Taiwan. Mereka telah menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan. Kita mempunyai potensi yang tinggi untuk mempromosikan negara di negara-negara lain seperti India, Australia, Eropah, Timur Tengah dan Amerika Syarikat. Sejauh manakah kerajaan mengambil inisiatif untuk menarik pelancong dari negara-negara ini?
Penurunan nilai Ringgit memberikan pulangan nilai untuk wang (value for money) kepada pelancong asing. Dalam kata lain, penurunan nilai Ringgit akan menarik minat lebih ramai pelancong ke negara kita kerana dapat menikmati kos atau harga yang lebih rendah.
Sememangnya penurunan nilai Ringgit telah meningkatkan bilangan pelancong asing yang melawat Malaysia. Kehadiran pelancong telah meningkat sebanyak 4% pada tahun 2016 dengan kehadiran sebanyak 26,757,392 pelancong asing berbanding dengan tahun 2015 sebanyak 25,721,251 pelancong sahaja.
Sungguhpun begitu, bagi tempoh Januari hingga Ogos 2017, jumlah ketibaan pelancong asing ke Malaysia telah menyusut 1.5% kepada 17,343,557 orang berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Kenapakah berlaku penyusutan ini?
Walaupun kita mempunyai potensi yang tinggi untuk mempromosikan produk pelancongan kita, tetapi kerajaan telah gagal berbuat demikian. Penurunan nilai Ringgit yang sepatutnya membantu meningkatkan jumlah pelancongan, telah memberi impak yang sebaliknya bagi tahun 2017.
Kelemahan nilai matawang Ringgit telah menyebabkan kos melaksanakan aktiviti-aktiviti pemasaran di luar negara meningkat dan tidak dapat dijalankan seperti yang telah dirancang. Kenaikan kos pengiklanan dan promosi di luar negara juga telah menyebabkan kurangnya pengiklanan dan promosi jenama Malaysia.
Ini telah menyebabkan pengusaha pelancongan dan pelancong asing mengetepikan Malaysia sebagai pilihan destinasi pelancongan mereka. Kesempatan ini telah digunakan oleh negara-negara jiran seperti Thailand, Indonesia, Singapura, Filipina dan Vietnam yang giat mempromosikan negara masing-masing sebagai destinasi pelancongan dan telah menyebabkan persaingan tinggi kepada Malaysia untuk menarik pelancong asing ke negara ini.
Bukan sahaja kerajaan gagal memperkukuhkan nilai Ringgit, tetapi kita juga telah hilang keupayaan bersaing untuk membawa pelancong asing ke negara kita. Jika kerajaan membiarkan keadaan ini berterusan, kita akan hilang lebih ramai pelancong asing pada tahun hadapan. Kita akan kalah dengan negara-negara jiran. Ini juga akan melemahkan lagi ekonomi negara secara keseluruhannya. Oleh yang demikian, kerajaan harus mengambil segala inisiatif untuk mempromosikan Malaysia di seluruh dunia dengan mengambil kira keuntungan jangkamasa panjang.