Orang ramai sangat tidak senang dengan gangguan bekalan vaksin yang menyebabkan empat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) utama di Pulau Pinang ditutup hari ini berikutan kekurangan bekalan vaksin Pfizer-BioNTech. Jabatan Kesihatan Pulau Pinang mengatakan temu janji untuk penerima vaksin dos kedua untuk minggu depan telah dijadualkan semula ke minggu berikutnya kerana gangguan dalam bekalan vaksin Pfizer ke negeri ini bermula pada 12 Ogos.
Penutupan PPV kerana gangguan bekalan vaksin pada tahap ini adalah tidak munasabah dan menimbulkan persoalan mengenai kecekapan kerajaan. Tiga daripada PPV yang ditutup adalah di sebelah pulau – Kompleks Sukan Balik Pulau, Balai Rakyat Bayan Baru dan Tapak Pesta di Sungai Nibong – dan yang lain adalah Dewan Milenium di Seberang Perai Utara. Berdasarkan maklumat yang diterima, penutupan pusat vaksinasi bukan hanya berlaku di Pulau Pinang tetapi juga di negeri-negeri lain. Ini tidak dapat diterima apabila jangkitan dan kematian melonjak pada rekod tertinggi dengan kes jangkitan kumulatif 1,384,353 dan angka kematian 12,228.
Berikutan kegagalan kerajaan mengawal COVID-19 dan sokongan lemah yang diberikan kepada kemudahan barisan hadapan negara dan hospital sehingga kekurangan katil ICU di hospital awam dan swasta serta keadaan yang menyedihkan di hospital awam, vaksinasi dilihat sebagai satu-satunya sumber perlindungan. Ketakutan di kalangan rakyat begitu besar sehingga sekarang ada desas-desus mengenai permintaan yang besar terhadap pembelian vaksin melalui pihak swasta dengan harga RM350 untuk dua dos. Adakah ini salah satu hasil yang menyedihkan dari Program Imunisasi Kebangsaan (PICK)?
Wakil rakyat DAP di Pulau Pinang begitu kecewa dengan keadaan semasa, terutamanya kerana kurangnya maklumat dan komunikasi oleh pihak berkuasa yang berkenaan. Malangnya, kerajaan negeri telah turut dipersalahkan. Kerajaan negeri harus bersikap tegas dengan agensi Kerajaan Persekutuan terutama atas kelewatan pelantikan Ahli Parlimen Pulau Pinang yang boleh diterima oleh Kerajaan Persekutuan dan Negeri sebagai penyelaras Operasi Lonjakan Kapasiti (OSC) untuk mengurus dan memadankan kemudahan logistik dan bekalan vaksin dengan lebih baik supaya apa yang berlaku di PPV di seluruh Pulau Pinang dan Malaysia tidak berulang lagi.
DAP percaya bahawa jika lantikan yang serupa dilakukan di Pulau Pinang seperti di Lembah Klang, kadar vaksinasi Pulau Pinang mungkin telah mencapai kadar vaksinasi dos pertama Lembah Klang iaitu 104.2% penduduk dewasa dan bukannya 69.5% pada 14 Ogos. Sasaran semasa vaksinasi 100% penduduk dewasa menjelang September 2021 tidak boleh diterima dan perlu dipercepatkan sebelum Hari Merdeka demi menyelamatkan nyawa dan mata pencarian.
Apa yang membimbangkan ialah dengan gangguan bekalan yang menyebabkan PPV ditutup, adakah sasaran ini dapat dicapai. Rakyat Pulau Pinang tidak mahu mencapai imuniti kelompok melalui jangkitan dan suntikan vaksin tetapi dengan suntikan vaksin sahaja. Seorang penyelaras OSC boleh melakukan tugas yang lebih baik untuk membantu Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan mencapai sasaran vaksinasi dengan lebih cepat dan menyelesaikan semua masalah logistik.