Saya merujuk kepada laporan akhbar mengenai kejayaan Pusat Islam dan Pembangunan Insan, Universiti Malaysia Pahang (UMP) menghasilkan sebuah produk berinovasi yang menggabungkan kaedah rawatan tradisional dan moden bagi menangani masalah histeria yang dikatakan sering berlaku khususnya dalam kalangan pelajar-pelajar perempuan.
Laporan itu menyebut tiga penyelidik mengambil masa dua tahun untuk melakukan kajian dan ujian keberkesanan “kit halau makhluk halus” tersebut di 11 buah institusi pengajian dan jabatan kerajaan yang sering diserang histeria.
Adakah ini suatu keutamaan?
Sementara kita boleh meletakkan pencapaian ini sebagai sebahagian daripada usaha untuk mencari alternatif kepada sains normals dan kritikan terhadap positivisme, sepertimana yang dianjurkan oleh ahli falsafah Thomas Kuhn dalam karya berpengaruhnya, The Structure of Scientific Revolutions (1962), saya ingin menimbulkan persoalan penting yang pernah diutarakan oleh Syed Hussein Alatas, yakni peranan kaum intelektual dalam masyarakat membangun.
Para intelektual memikul tanggungjawab dalam usaha pencerahan, penerokaan serta perkembangan ketamadunan dan peradaban sesuatu masyarakat. Begitu juga peri pentingnya golongan tersebut dalam Islam, di mana mereka diletakkan di tempat tertinggi sebagai pewaris para Nabi (Hadis riwayat At-Tirmidzi).
Namun, pada ketika institusi pengajian di negara ini masih lagi bergelut dengan cabaran-cabaran asas seperti masalah infrastruktur, kelemahan tenaga pengajar dan kualiti pendidikan yang makin corot, nampaknya kaum intelektual kita lebih gemar menyalurkan geran penyelidikan universiti dan geran pra-pengkormersilan kepada usaha “menghalau hantu.”
Beberapa bulan lalu, negara dikejutkan dengan sekolah tidak berdinding di Sabah. Pada masa yang sama, masih terdapat sekolah yang tidak mempunyai bekalan elektrik yang tekal atau air bersih yang boleh diminum. Sementara itu, rungutan guru mengenai beban pentadbiran dan aplikasi IT yang tidak bermanfaat dan terlalu banyak memakan masa masih belum selesai. Universiti kita pula masih dibelenggui campur tangan politik sehingga program-program ilmiah mahasiswa sering disekat, sepertimana yang berlaku di Universiti Islam Antarabangsa minggu ini.
Dengan segala masalah di atas, gangguan makhluk halus dalam kalangan pelajar perempuan asrama pula yang menjadi tumpuan para cendekia kita.
Di mana usaha membangunkan sains Islam?
Pada saya, Pusat Islam dan Pembangunan Insan UMP seharusnya menumpukan usaha mereka kepada masalah yang lebih pokok, seperti pembangunan sains Islam yang juga merupakan antara fenomena yang muncul daripada kritikan terhadap sains positivisme ini.
Malah, wacana sains Islam yang diterajui sarjana-sarjana seperti Ismail al-Faruqi, Maurice Bucaille, Seyyed Hossein Nasr dan Ziauddin Sardar bukannya asing di Malaysia jika kita mencermati usaha Dato’ Osman Bakar dan Shaharir Mohamad Zain, antara lainnya, yang berusaha keras untuk membangunkan epistemologi, etika, metodologi dan prinsip moral sains Islam.
Hal ini penting kerana tanpa membangunkan asas-asas kepada ilmu sains Islam, produk seperti kit menghalau makhluk halus yang kononnya mematuhi syariah ini akan lagi mengaibkan nama Islam yang makin hari makin disalahgunakan sebagai jenama untuk meningkatkan kebolehpasaran segala jenis produk, daripada air minuman sehinggalah ke sistem perbankan dan kewangan.
Anugerah Nobel dalam Fizik
Laporan akhbar juga melaporkan bahawa antara hasil daripada kajian untuk membangunkan produk ini adalah kejayaan mereka dalam mengenalpastikan makhluk halus serta kelemahan “mereka.”
Saya amat berminat untuk mengetahui metodologi kajian ini, dan jika benar dakwaan penyelidik UMP ini, maka kita harus segera mencadangkan agar mereka dicalonkan untuk menerima Anugerah Nobel dalam Fizik, kerana mereka telah berjaya melakukan sesuatu yang sangat menakjubkan, yakni membuktikan kewujudan kehidupan dimensi lain, malah berinteraksi dengannya!
Sekiranya tidak benar dakwaan tersebut, maka, demi menjaga nama baik agama Islam serta reputasi sistem pendidikan negara kita, saya mohon agar pihak pentadbir universiti menilai dan menyusun semula keutamaan mereka.