Pada pukul 4 petang semalam, Setiausaha Agung DAP dan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng mengetuai sebuah delegasi yang dianggotai oleh ahli-ahli parlimen DAP, Tony Pua (Damansara), Dr Ong Kian Ming (Bangi) dan Steven Sim (Bukit Mertajam) telah mengunjungi Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menyerahkan Kertas Posisi DAP yang bertajuk ‘Mempersiapkan Malaysia Ke Arah Hidup Di Samping COVID-19’ kepada beliau. Dato’ Seri Ismail Sabri juga merupakan anggota utama dalam Majlis Keselamatan Negara yang telah ditugaskan untuk mengatasi krisis pandemik COVID-19.
Kertas Posisi ini telah diterbitkan sebelum ini pada 25 Julai 2021.
Dalam perbincangan dengan Timbalan Perdana Menteri, Lim Guan Eng telah menegaskan beberapa dasar utama yang perlu dilaksanakan secepat mungkin.
Kami berpendapat bahawa suasana suram di Malaysia hari ini mencerminkan kegagalan dan kurangnya keberkesanan pelbagai kaedah “lockdown” yang dilakukan kerajaan. Penyambungan “lockdown” yang telah berlangsung berbulan-bulan ini telah dilakukan dengan kepercayaan yang salah bahawa penularan virus ini dapat dihapuskan sepenuhnya hanya dengan melakukan sekatan pergerakan.
“Lockdown” bersambung-sambung ini sekarang terbukti tidak berkesan, terutamanya apabila virus telah mencapai tahap kritikal tertentu dalam masyarakat.
Oleh itu, pihak DAP telah mengesyorkan supaya pelonggaran dibuat dengan serta-merta di mana semua sektor sosial dan perniagaan kecil dan sederhana yang berisiko rendah dibenarkan untuk beroperasi semula dengan syarat-syarat SOP yang wajar dan tidak melampau. Bagi majikan-majikan yang lebih berisiko, mereka boleh dibenarkan beroperasi dengan SOP yang lebih ketat, termasuk keperluan pekerja-pekerja untuk divaksinasi dan ujian saringan dibuat secara berjadual.
Kami juga telah memohon supaya kaedah sektor ‘essential’ atau ‘non-essential’ tidak lagi digunakan, dan ia perlu gantikan dengan kaedah pengawalan mengikut tahap risiko majikan dan tempat kerja.
Selain itu, kami juga telah menyeru supaya kerajaan menambahkan lagi ujian saring bersasar dengan lebih banyak kerana kadar saringan pada masa ini masih tidak mencukupi, walaupun ia telah meningkat dalam 2 minggu kebelakangan ini. Kadar positiviti ujian saringan COVID-19 melebihi 10% sekarang adalah lebih daripada 2 kali ganda saranan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).
Lain-lain cadangan telahpun disampaikan melalui kertas posisi DAP yang bermukasurat tiga puluh. Dokumen ini boleh dimuat turun daripada laman web berikut: