Skip to content

Penyertaan ADUN Pakatan Harapan dalam Majlis Tindakan Ekonomi Negeri dan Jawatankuasa Sekuriti Makanan Negeri demi pemulihan ekonomi Johor yang bersepadu

Saya bercadang agar ADUN-ADUN Pakatan Harapan juga dijemput untuk mengambil bahagian dalam Majlis Tindakan Ekonomi Negeri (MTEN) / Ibrahim Johor Economic Council (IJEC) dan juga Jawatankuasa Sekuriti Makanan Negeri demi usaha pemulihan ekonomi Johor yang terjejas akibat wabak COVID-19 sebelum ini.

Saya amat bersetuju dengan akhir kata Ucapan Belanjawan Negeri Johor 2021 oleh YAB Menteri Besar pada 26 h.b November yang lalu: “ Saya harap segala niat murni dan usaha keras ini akan dapat dilaksanakan dan dijayakan dengan sebaiknya. Khususnya dengan sokongan dan komitmen tidak berbelah bahagi semua Ahli Yang Berhormat di dalam Dewan Yang Mulia ini, dan para Penjawat Awam Johor yang lain.”

Kerjasama melangkaui parti yang dicadangkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk Majlis Tindakan Ekonomi Negara dan isu Covid-19 perlu diluaskan sehingga ke peringkat negeri.

Seperti dalam kenyataan bersama dikeluarkan oleh Pakatan Harapan Johor bahawa kita memang menyambut baik cadangan yang diusulkan perdana menteri baru-baru ini.

Ini adalah amat penting kerana semua pihak perlu berganding bahu supaya komunikasi, perundingan dan perbincangan yang menyeluruh dan berkesan dapat dijalankan demi memulihkan ekonomi negeri johor dengan menyeluruh.

Saya menyokong agenda Jaminan Bekalan Makanan dalam Belanjawan Johor 2021 dengan cadangan menjemput ADUN-ADUN Pakatan Harapan mengambil bahagian dalam Jawatankuasa Sekuriti Makanan Negeri untuk menyumbang idea dalam perancangan Dasar Agro Makanan Negeri Johor.

Pada pendapat saya, pemodenan pembangunan pertanian harus dijadikan sebagai salah satu strategi utama pembangunan ekonomi negeri Johor, serta meningkatkan dasar pendanaan dan sokongan untuk penggunaan teknologi moden dan menggalakkan penyertaan golongan muda dalam sektor pertanian moden.

Semua tanah terbiar dalam negeri harus dibuka untuk permohonan dan bantuan diberi untuk mendorong memajukan tanah terbiar dalam negeri.

Saya mencadangkan bahawa Program Growing 100 Smart TechnoFarmers dilaksanakan dengan menggunakan 500 ekar tanah dalam Projek Pertanian Moden yang mempunyai 800 ekar ruang kosong di tapak Ayer Hitam (Jalan Batu Pahat) dan 2,000 ekar ruang kosong di Padang Hijau (Kg. Gajah Jalan Mersing) dengan syarat melibatkan orang muda, usaha sendiri dan penggunaan teknologi moden.

Ini adalah bersepadan dengan Agenda Jaminan Bekalan Makanan Negeri Johor dan Johor Tani dalam Belanjawan Johor 2021 demi membangunkan kembali eknonomi Johor bersama.

Akhir sekali, saya mencadangkan bahawa vaksin COVID-19 diberi secara percuma kepada rakyat Johor demi kebajikan rakyat Johor memandangkan situasi wabak tidak stabil dan aktiviti ekonomi melembap akibat ancaman wabak.