Skip to content

Penyiapan Kerja-Kerja Penggantian Paip Pembetungan Indah Water Konsortium di Jalan SS15/4 & Jalan SS15/8, Subang Jaya, Selangor Darul Ehsan

Selepas lebih kurang 18 bulan, kerja-kerja penggantian paip pembetungan yang sekian lama dinantikan akhirnya siap pada 10 Julai 2025 di bawah Dana Sumbangan Modal Pembetungan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

 

Projek ini telah mengambil masa yang lebih lama berbanding tempoh asal iaitu 12 bulan. Kelewatan ini berpunca kerana terdapat keperluan untuk mengawal pergerakan tanah semasa projek dijalankan. Pihak kontraktor terpaksa mengambil masa yang lebih lama berbanding rancangan asal kerana memerlukan lebih perhatian untuk memastikan keselamatan struktur bangunan sekitar sepanjang laluan projek. Walaupun tempoh kerja telah melebihi jangka masa yang ditetapkan, namun langkah ini adalah untuk menjamin keselamatan jangka panjang premis-premis kawasan projek.

 

Pada Januari 2025, SPAN telah meluluskan peruntukan sebanyak RM2.74 juta bagi melaksanakan projek penggantian paip pembetungan di Jalan SS15/4 dan Jalan SS15/8, Subang Jaya, Selangor Darul Ehsan. Projek ini adalah untuk menggantikan paip pembetungan yang berusia lebih 30 tahun di kawasan komersial SS15 yang kerap rosak sehingga menyebabkan sumbatan serta aliran kumbahan balik ke dalam premis. Masalah ini sering mengganggu orang awam serta para peniaga di kawasan tersebut.

 

Projek ini dilaksanakan selepas permohonan saya kepada SPAN dan Indah Water Konsortium (IWK), yang kemudian disusuli dengan beberapa siri perbincangan. Projek ini telah memberi manfaat kepada kira-kira 40,000 pelajar, pekerja, dan penduduk di pusat komersial SS15.

 

Panjang paip pembetungan utama yang telah dipasang adalah 400 meter, yang menggunakan ‘vitrified clay pipe’ berdiameter 225mm. Jumlah paip sambungan untuk kesemua 46 lot kedai sedia adalah berukuran lebih kurang 150 meter dengan diameter 150mm, yang turut menggunakan ‘vitrified clay pipe’. Selain itu, IWK juga telah menaiktarafkan sistem saliran di kawasan tersebut daripada 300mm kepada 450mm dan 600mm jenis U-Drain.

 

Pihak kami mengambil maklum bahawa terdapat pemilik premis yang telah membuat sambungan tidak sah dari ruang dapur premis serta saluran paip air hujan terus ke dalam chamber pemeriksaan kumbahan. Minyak masakan dari ruang dapur premis menjadi salah satu punca utama sumbatan paip pembetungan, manakala air hujan yang dialirkan sering mengakibatkan limpahan kerana kapasiti paip pembetungan yang tidak mampu menampung air hujan. Perkara ini telah dibincangkan bersama Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), yang akan menjalankan pemeriksaan serta mengeluarkan notis kepada premis terbabit untuk mengalihkan sambungan tersebut.

 

Akhir kata, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada mantan Pengerusi SPAN, Charles Santiago serta semua pihak dalam agensi SPAN, IWK, MBSJ, kesabaran para pemilik kedai dan semua pemegang taruh yang telah menyumbang kepada kejayaan projek ini, dengan mengiktiraf dedikasi, kepakaran, dan kerjasama mereka dalam menangani isu berpanjangan yang dihadapi komuniti Subang Jaya.