Skip to content

Penyusutan nilai Ringgit akan menambah kos kerajaan untuk membayar berbilion Ringgit lebih banyak bagi pinjaman dalam denominasi asing

Dalam kegilaan mereka mengejar pilihan raya umum awal walau apa cara sekali pun, kepimpinan tertinggi UMNO telah berhenti menumpukan perhatian kepada keadaan ekonomi negara, terutamanya harga yang melambung tinggi dan inflasi makanan, kekurangan buruh yang teruk serta kesan kos penyusutan nilai ringgit. Rakyat Malaysia mengalami penurunan dalam taraf hidup dengan Indeks Harga Pengguna (IHP) meningkat sebanyak 4.4% dan inflasi makanan sebanyak 6.9% untuk Julai 2022.

Perniagaan menghadapi persekitaran yang sukar seperti yang ditunjukkan oleh Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan S&P Global Malaysia merosot kepada 50.3 pada Ogos daripada 50.6 pada Julai. Ini mencerminkan kelembapan beransur-ansur dalam pengeluaran pembuatan dan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar menjelang akhir suku ketiga 2022, selepas kenaikan yang berterusan sepanjang suku kedua tahun ini.

Walaupun banyak perhatian telah diberikan terhadap kenaikan harga, hanya sedikit perhatian yang diberikan kepada kesan negatif penyusutan nilai ringgit terutamanya terhadap pembayaran hutang asing negara. Pada April 2021, Malaysia menjual Sukuk Kelestarian AS$1.3 bilion dengan dolar AS pada RM4.12, sekali gus mengumpul RM5.35 bilion untuk Malaysia.

Dengan ringgit merosot ke arah paras terendah dalam sejarah 24 tahun berbanding dolar AS pada RM4.50, ini akan meningkatkan kos pembayaran hutang dalam denominasi AS. The Edge melaporkan bahawa berdasarkan paras dolar AS pada RM4.45, hutang bersamaan ringgit kini berjumlah RM5.8 bilion, atau RM435 juta lebih tinggi, bagi prinsipal sahaja. Ringgit yang lebih lemah bermakna jumlah pembayaran faedah untuk kedua-dua sukuk itu kini bertambah kira-kira RM210 juta menjelang akhir tempoh pinjaman sebelum 2052.

Ringkasnya, Malaysia meminjam RM5.3 bilion pada April 2021 dengan dolar AS pada RM4.12. Malaysia perlu membayar balik RM8.6 bilion (prinsipal bersama faedah) pada kadar pertukaran semasa dolar AS pada RM4.45 menjelang 2052. Prinsipal sukuk yang akan dibayar balik ialah RM7.94 bilion jika ringgit kekal pada dolar AS pada paras RM4.12. Dalam erti kata lain, Malaysia perlu membayar tambahan RM660 juta untuk kedua-dua sukuk itu berikutan kadar pertukaran kepada dolar AS yang lebih lemah sekarang pada paras RM4.45. Satu-satunya perkara positif ialah ringgit mungkin akan meningkat sepanjang tempoh 30 tahun sukuk.

Bon Dolar AS 1MDB Berjumlah USS7.5 Bilion Akan Matang Dalam Dua Tahun Ini.

Bagaimanapun, tiga bahagian bon dolar AS berjumlah AS$7.5 bilion yang telah diatur oleh Goldman Sachs untuk 1Malaysia Development Bhd (1MDB) pada 2012 (AS$1.75 bilion pada 5.75% setahun dan AS$1.75 bilion pada 5.99% setahun) dan 2013 (AS$3 bilion pada 4.4% setahun) akan matang tahun ini dan tahun depan apabila kekuatan dolar AS berada di puncaknya.

Pada RM3.35 berbanding dolar AS apabila tiga bon 1MDB tersebut diterbitkan, jumlah prinsipal AS$7.5 bilion adalah bersamaan kira-kira RM21.8 bilion. Pada kadar pertukaran RM4.45 kepada dolar AS, jumlah prinsipal yang perlu dibayar untuk AS$7.5 bilion akan lebih tinggi pada RM29 bilion — atau tambahan RM7.2 bilion. Ringgit yang lebih lemah tahun ini bermakna kos faedah tahunan hampir mencecah RM1.5 bilion berbanding RM1bilion.

Ringkasnya, ringgit yang lebih lemah akan menyebabkan kerajaan Persekutuan dan rakyat Malaysia membelanjakan tambahan berbilion ringgit lagi bagi pinjaman dalam denominasi asing. Mengapa pemimpin UMNO dan Perdana Menteri Ismail Sabri memilih untuk berdiam diri mengenai kerugian akibat kejatuhan nilai ringgit ini?