Saya telah terima maklumbalas Menteri Dalam Negeri ke atas soalan Parlimen saya tentang penggunaan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Perhimpunan Agong UMNO termasuk di pemilihan Majlis Tertinggi UMNO pada tahun ini.
Saya kesal dengan jawapan yang diberikan.
Secara amnya, Menteri menyatakan bahawa penglibatan PDRM dalam aktiviti tersebut hanya untuk mengawal trafik dan keselamatan pemimpin luar negara yang menjadi tetamu.
Menteri jelas sekali sama ada, 1) tidak tahu menahu tentang perkara tersebut, 2) tidak diberikan maklumat sebenar tentang perkara tersebut ataupun 3) tidak jujur tentang perkara tersebut.
Apa yang dikatakan oleh Menteri bercanggah dengan kenyataan Setiausaha Kerja UMNO Ab Rauf Yusof pada 29 September.
Mengikut laporan akbar Berita Harian, Setiausaha Kerja UMNO tersebut mengatakan bahawa lebih empat juta kertas undi dikeluarkan bagi pemilihan jawatan utama Majlis Tertinggi parti dan penghantaran kertas undi ke tempat pemilihan dibantu oleh PDRM. Malah, kertas undi pemilihan UMNO tersebut disimpan di Ibu Pejabat Polis Daerah di bahagian masing-masing.
Jelas, UMNO memperalatkan PDRM untuk menjadi “pak guard” bagi pemilihan parti mereka. Namun Menteri yang bertanggungjawab tidak memberikan maklumat yang tepat. Adakah Menteri tidak berani mendedahkan maklumat sebenar? Sejauh manakah PDRM dan sumber kerajaan lain digunakan untuk menyokong aktiviti politik UMNO?
Sekali lagi terbukti UMNO salahguna kuasa polis demi kepentingan politik sempit mereka.