Skip to content

Perampasan sivil dalam “Kleptocracy Asset Recovery Initiative” di Amerika Syarikat bermaksud wujud unsur jenayah

Selepas tuntutan mahkamah untuk perampasan sivil yang difailkan oleh Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat ke atas aset yang dikaitkan dengan 1MDB, menteri-menteri dan pemimpin-pemimpin Barisan Nasional telah sedaya upaya cuba mempertahankan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Salah satu yang hujah yang dikemukakan, termasuklah oleh Perdana Menteri sendiri apabila ditemubual, adalah bahawa tuntutan mahkamah di Amerika Syarikat tersebut adalah “kes sivil” dan bukannya kes jenayah.

Ini jelas menunjukkan satu cubaan yang terdesak, lemah, dan jahil untuk mempertahankan Perdana Menteri dan 1MDB.

Pengertian “perampasan sivil”

Seperti yang dinyatakan dalam perenggan 4 dokumen aduan, tuntutan mahkamah kerajaan Amerika Syarikat adalah ‘perampasan sivil’ (“civil forfeiture”).

Mengikut takrifan Bank Dunia, perampasan sivil merupakan kaedah “Penyitaan tanpa Sabitan” ataupun “Non-Conviction Based (NCB) Confiscation” (Sumber: The Stolen Asset Recovery Initiative, World Bank)

Berdasarkan sebuah buku panduan oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat yang diterbitkan pada tahun 2012 yang bertajuk, “US Asset Recovery Tools & Procedures: A Practical Guide for International Cooperation”, terdapat dua jenis rampasan ataupun penyitaan, 1) penyitaan jenayah, dan 2) penyitaan NCB.

Secara ringkasnya, dalam penyitaan jenayah, mahkamah merampas harta SELEPAS sabitan jenayah sementara dalam penyitaan NCB, mahkamah merampas harta TANPA sebarang sabitan jenayah.

Walau bagaimanapun, penyitaan NCB tetap “memerlukan bukti hubungan antara harta yang tertakluk kepada rampasan dengan kelakuan ataupun aktiviti jenayah”.

Dalam erti kata lain, walaupun istilah “sivil” digunakan, harta dirampas kerana berkait dengan sesuatu kesalahan jenayah.

Mengapa menggunakan kaedah perampasan sivil?

Ada pelbagai alasan mengapa pihak berkuasa menggunakan kaedah perampasan sivil dan bukan perampasan jenayah.

Antara lain, buku panduan yang dipetik di atas menyatakan bahawa,

“tindakan perampasan sivil amat berguna dalam kes di mana sabitan jenayah adalah mustahil, contohnya, apabila harta tersebut dimiliki oleh seorang penjenayah yang sudah melarikan diri ataupun sudah meninggal dunia, ataupun apa-apa keadaan di mana pendakwaan jenayah tidak dapat dilaksanakan di Amerika Syarikat”.

Mengikut Stolen Asset Recovery Initiative, sebuah usaha bersama antara Bank Dunia dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk membanteras pengubahan/pencucian wang haram, perampasan sivil juga dilaksanakan jika berlaku keadaan di mana,

“Penjenayah tersebut kebal daripada sebarang pendakwaan jenayah ataupun penjenayah terlalu berkuasa sehingga siasatan jenayah dan pendakwaan menjadi mustahil…”

Aduan DOJ jelas menyatakan bahawa kesalahan jenayah adalah asas kepada tuntutan perampasan sivil dalam kes ini

Aduan DOJ tersebut amat jelas: Jenayah telah dilakukan berhubung dengan 1MDB.

Dalam perenggan 5 dokumen aduan tersebut, DOJ menyatakan bahawa,

“ini merupakan satu tindakan sivil in rem untuk merampas aset yang terlibat dan boleh dikesan kepada konspirasi antarabangsa untuk mengubah wang haram yang diseleweng dari 1Malaysia Development Berhad (” 1MDB “) …”

Perenggan yang sama turut menyatakan bahawa “harta yang dituntut [untuk rampasan] merupakan harta yang terlibat dalam satu atau lebih kesalahan pengubahan wang haram”.

Pengubahan wang haram merupakan kesalahan jenayah di Amerika Syarikat mengikut Seksyen 1956 dan 1957 Kanun Amerika Syarikat ke-18.

Pengubahan wang haram juga merupakan kesalahan jenayah di Malaysia mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

DOJ selanjutnya menghuraikan secara terperinci, kronologi dan butir-butir kegiatan jenayah yang melibatkan antara lain, penyelewengan dan pengubahan wang haram dari dana 1MDB dalam dokumen aduan setebal 136 muka surat tersebut.

Peguam Negara Malaysia perlu bertindak atau akan dituduh sebagai pihak yang bersubahat

Oleh itu, daripada terus cuba untuk menegakkan benang yang basah dengan memberikan alasan dan hujah yang lemah, pihak berkuasa, terutamanya Peguam Negara Malaysia perlu memandang seberat-beratnya kepada perkara ini.

Implikasi tuntutan mahkamah oleh DOJ ini bukan sesuatu perkara yang remeh temeh sama sekali. Ini melibatkan pencurian dana mahsul negara, pengubahan wang haram, aktiviti jenayah antarabangsa, dan paling berat sekali, rasuah dan penyelewengan di peringkat yang paling tinggi, melibatkan warganegara Malaysia dan juga pegawai-pegawai kanan awam, termasuk seorang pegawai tidak bernama yang digelar “Malaysian Official 1” yang dirujuk sebanyak 36 kali dalam dokumen aduan.

Sekiranya Jabatan Peguam Negara tidak bertindak dengan tegas dan segera, ia bukan sahaja akan dianggap sebagai harimau tidak bertaring, malah akan dituduh sebagai bersubahat.