Skip to content

PERANCANGAN DAN HALA TUJU YB MENTERI SUMBER MANUSIA UNTUK KEMENTERIAN SUMBER MANUSIA (KSM) PADA TAHUN 2024

Setelah diberikan amanah sebagai Menteri Sumber Manusia, saya meletakkan 3 teras utama yang ingin saya tekankan di Kementerian iaitu memperkukuhkan kebajikan, meningkatkan kemahiran dan menaikkan keberhasilan (produktiviti) pekerja.

Dalam tempoh satu minggu pertama ini, saya telah membuat beberapa keputusan penting menyentuh 3 teras tersebut:

  1. Setelah membuat pertimbangan, saya telah mengarahkan HRD Corp untuk tidak meneruskan projek “Skills Passport”. Projek ini telah tertangguh lebih setahun dan Kementerian mendapati projek ini tidak lagi sesuai untuk pelaksanaan.
  2. Kementerian akan merangka Dasar Sumber Manusia Negara yang julung sebagai panduan utama dalam usaha memperkukuhkan kebajikan, meningkatkan kemahiran dan menaikkan keberhasilan pekerja serta mempersiap pasaran buruh yang mampu menghadapi cabaran masa hadapan seperti perkembangan teknologi digital, agenda negara menua, ekonomi hijau, ketidakpadanan pekerjaan dan keperluan pekerjaan wajar (“decent work”) selaras dengan kerangka Ekonomi Madani.
  3. Berikutan pembentangan Kertas Putih Gaji Progresif di Parlimen, saya telah mengarahkan Kementerian untuk melaksanakan projek perintis Dasar Gaji Progresif dengan kadar segera sebagai usaha membolehkan para pekerja memperoleh gaji yang lebih bermaruah dan wajar. Kementerian akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Ekonomi untuk menjayakan pelaksanaan projek perintis ini dan usaha-usaha lain bagi mereformasikan pasaran buruh negara.
  4. Sejak awal pelantikan, saya telah menyatakan iltizam untuk berdiri bersama pekerja. Oleh itu, saya berbesar hati melantik seorang aktivis kesatuan sekerja, Encik Chee Yeeh Ceeu, sebagai Pegawai Tugas-Tugas Khas. Beliau merupakan Bendahari Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank Malaysia (NUBE) dan Ahli Majlis Am Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC). Beliau adalah seorang aktivis gerakan buruh yang mempunyai 15 tahun pengalaman aktif dalam pergerakan kesatuan sekerja. Perlantikan ini membolehkan penglibatan yang lebih rapat kaum pekerja dalam pembuatan dasar di peringkat Kementerian.
  5. Pada minggu pertama ini, saya bersama rakan sekerja saya, Yang Berhormat Dato’ Sri Abdul Rahman, Timbalan Menteri Sumber Manusia, telah mengadakan sesi jelajah ke setiap jabatan dan agensi bagi memahami fungsi dan peranan dalam Kementerian. Saya merakamkan penghargaan kepada kakitangan Kementerian yang telah menyambut kehadiran kami dan memberikan taklimat. Bermula dari sini, Kementerian akan membuat perancangan untuk mengoptimumkan fungsi bagi setiap jabatan dan agensi.

Kementerian Sumber Manusia akan tetap berpegang kepada prinsip integriti, ketelusan dan tatakelola yang baik berpandukan nilai-nilai Madani dalam setiap tindakan yang dibuat demi kebaikan kaum pekerja, rakyat secara amnya dan negara