Saya merujuk kepada siri peraturan baharu yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya pada 24hb April, yang mengehadkan penerbitan gambar di dalam bahan kempen kepada hanya calon yang bertanding, presiden dan timbalan presiden parti (parti-parti yang bertanding) sahaja.
Keputusan mendadak ini, dengan hanya 2 hari tinggal sebelum hari penamaan calon, dan 2 minggu sebelum pemilihan, amat tidak adil dan bersifat berat sebelah terhadap parti pembangkang, khususnya Pakatan Harapan. Selain kemungkinan pembaziran kos, ianya berpotensi untuk menyukarkan perjalanan logistik serta strategi kempen.
Berbeza dengan Barisan Nasional yang mempunyai jentera yang besar serta kawalan ke atas media arus perdana untuk menyampaikan identiti barisan kepimpinan dan polisi, Pakatan Harapan lebih bergantung kepada bahan kempen konvensional untuk merayu undi.
Hujah SPR yang pengundi mungkin keliru tidak berasas, sedangkan 13 proses pilihanraya umum telahpun berjalan sebelum ini tanpa peraturan tersebut, dan tiada aduan di mana pengundi keliru akan siapa calon yang mereka undi.
Ini kelihatan seperti sebahagian langkah strategik yang dirancang untuk mengekang sebanyak mungkin, Tun Dr Mahathir dari pilihanraya kali ini. Saya menggesa pihak EC untuk menegakkan proses demokrasi dan membenarkan pertandingan yang sihat antara pihak bertanding.