Peraturan perumahan baru yang diumumkan pada Belanjawan 2014 Pulau Pinang di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang dan diusulkan untuk berkuatkuasa pada 1 Februari, 2014 direka untuk melindungi Pulau Pinang daripada terjejas oleh gelembung hartanah dan memastikan perumahan awam dan perumahan mampu dimiliki dibeli oleh pembeli tulen kali pertama yang layak daripada kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana.
Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mapan dan kekal membangun, kerajaan negeri Pulau Pinang sentiasa berhati-hati untuk mengelakkan diri daripada terperangkap dalam mana-mana gelembung hartanah yang kelak menjejaskan rakyat dan merosakkan ekonomi. Jepun adalah satu pengajaran yang baik mengenai bahaya gelembung hartanah.
Kerajaan negeri telah menubuhkan Dana Perumahan Awam dan Mampu Milik berjumlah RM500 juta untuk membina 20,000 unit perumahan awam dan perumahan yang mampu dimiliki dalam semua 5 daerah di Pulau Pinang. Ini adalah peruntukan terbesar oleh mana-mana kerajaan negeri dalam sejarah Malaysia untuk membina perumahan awam yang mampu dimiliki.
Sebagai kerajaan yang berjiwa rakyat, kerajaan negeri Pulau Pinang mahu mencapai demokrasi perumahan yang membolehkan setiap keluarga yang bekerja memiliki rumah mereka sendiri. Memastikan perumahan awam (rumah kos rendah dan kos rendah sederhana) dimiliki oleh pembeli kali pertama miskin dan tulen adalah keutamaan kami.
Exco Pulau Pinang pada mesyuarat terakhir lalu telah memperhalusi peraturan perumahan baru untuk kejelasan dan kepastian semua pihak sebagaimana di bawah:
1. Perumahan Awam – Kos Rendah dan Kos Sederhanan Rendah
Semua rumah kos rendah (sehingga RM42, 000) dan rumah-rumah kos sederhana rendah (sehingga RM72, 500) yang dibeli tidak boleh dijual dalam tempoh 10 tahun. Mereka yang ingin menjual dalam tempoh 10 tahun pertama perlu merayu kepada kerajaan negeri dan hanya boleh dijual kepada “pembeli tersenarai” (listed buyers). Pembeli yang disenaraikan adalah mereka yang telah berdaftar dengan Bahagian Perumahan kerajaan negeri dan disahkan sebagai golongan berpendapatan rendah yang layak untuk membeli rumah kos rendah atau rumah kos sederhana rendah. Peraturan 10 tahun akan meliputi semua belian yang lepas dan akan datang. Pengundian rumah akan tertakluk kepada pengawasan oleh sebuah firma audit.
2. Perumahan Mampu Milik
Perumahan mampu miliki diklasifikasikan sebagai rumah yang pada mulanya dibeli di bawah RM400, 000 di dalam pulau dan RM 250,000 di Seberang. Perumahan mampu milik yang dibeli tidak boleh dijual selama 5 tahun. Mereka yang ingin menjual dalam tempoh 5 tahun pertama perlu merayu kepada kerajaan negeri dan hanya boleh dijual kepada “pembeli tersenarai”. Pembeli yang disenaraikan adalah mereka yang telah berdaftar dengan Bahagian Perumahan kerajaan negeri dan disahkan sebagai kumpulan berpendapatan pertengahan yang berkelayakan untuk membeli perumahan mampu milik. Peraturan 5 tahun akan meliputi semua belian yang lepas dan akan datang. Pengundian rumah tertakluk kepada pengawasan oleh sebuah firma audit.
3. Pembelian oleh Bukan Warganegara
Bukan pemastautin hanya boleh membeli hartanah di Pulau Pinang yang melebihi RM1 juta dan bagi tanah dan bangunan di pulau ini mesti melebihi RM2 juta. Semua pembelian hartanah oleh bukan pemastautin akan dikenakan levi 3% atas harga transaksi pada 1 Februari 2014. Pengecualian disediakan untuk pembelian yang bertujuan industri atau untuk tujuan menggalakkan pekerjaan, pendidikan, bakat manusia atau mempromosikan Pulau Pinang sebagai bandar antarabangsa dan pintar.
4. Levi 2% Untuk Hartanah yang Dibeli Selepas 1.2.2014 Dijual dalam 3 Tahun Pertama
Levi 2% akan dikenakan ke atas penjual untuk semua hartanah yang dijual dalam tempoh 3 tahun dari tarikh Perjanjian Jual Beli (SPA) yang ditandatangani pada 1 Februari 2014. Dalam erti kata lain, ini tidak retrospektif. Hartanah yang dibeli dengan SPA ditandatangani sebelum 1 Februari 2014 tidak akan dikenakan levi ini. Hanya hartanah dibeli dengan SPA dari 1 Februari 2014 akan tertakluk kepada levi 2% jika dijual dalam tempoh 3 tahun. Levi 2% ini tidak terpakai untuk perumahan mampu milik.
Perbincangan awal telah diadakan antara beberapa syarikat hartanah dan pembeli rumah tetapi kerajaan negeri bersedia untuk mengadakan perbincangan lanjut dengan semua pihak berkepentingan.