Terima kasih kepada Dato’ Sri Speaker, Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Yang Berhormat-Yang Berhormat, pegawai-pegawai Kerajaan, salam sejahtera.
Pertama sekali, saya ingin merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada Kerajaan Negeri Pahang di bawah pimpinan Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Diraja Menteri Besar kerana telah menyediakan belanjawan Negeri Pahang 2026 yang seimbang, komprehensif, inklusif, dan bermisi menjana pembangunan Negeri dan meningkatkan kesejahteraan rakyat negeri Pahang. Negeri Pahang juga berjaya mencatat pungutan hasil lebih RM1 billion, dan merupakan kejayaan empat tahun berturut-turut sejak tahun 2022. Semua lapisan masyarakat termasuk oku, anak yatim, warga emas, wanita, pelajar, mahasiswa, turut menerima manfaat. Sudah terang lagi bersuluh, Belanjawan ini bukan belanjawan pilihan raya, tetapi belanjawan pilihan semua.
Dato’ Sri Speaker,
Seterusnya, izinkan saya membincangkan dalam Dewan yang mulia ini teras belanjawan yang berbunyi “Melonjak Ekonomi Negeri” menerusi usaha mengukuh agenda keterjaminan makanan negeri dengan langkah meningkatkan penglibatan anak muda dalam sektor pertanian.
Berdasarkan Banci Pertanian 2024, sektor pertanian di Malaysia amat bergantung kepada guna tenaga yang berusia tinggi, iaitu 45.4% berusia 60 tahun ke atas, berbanding dengan hanya 22.2% daripada guna tenaga yang berusia 15 hingga 45 tahun.
Maka, apabila semakin ramai petani dan pekebun yang berusia tinggi bersara, kekurangan tenaga kerja dalam sektor pertanian akan menjadi semakin kritikal. Antara sebab golongan belia tidak berminat dalam sektor pertanian termasuk kos permulaan (upfront kos) yang amat tinggi, kos input yang semakin meningkat, kekurangan pekerja, serta kebarangkalian kerugian yang tinggi dan sukar dijangka.
Sebagai contoh, harga sayur di kebun di Daerah Cameron Highlands adalah amat rendah hampir setahun ini, menyebabkan ramai pekebun terutamanya pekebun kecil di terpaksa menanggung kerugian. Hanya dalam seminggu ini bahawa kenaikan harga sayur dalam pasaran, dan ia disebabkan oleh jumlah hujan yang terlalu tinggi dan berlakunya banjir di pelbagai tempat termasuk di Thailand. Maka, boleh dilihat bahawa para pekebun sayur terpaksa menanggung risiko ketidakstabilan harga, di mana yang bernasib baik dan menuai sayur pada waktu tertentu boleh menguntungkan, namun yang kurang bernasib baik menanggung kerugian.
Oleh itu, saya percaya bahawa Kerajaan perlu menyediakan perancangan strategik bagi menggalakkan golongan belia untuk menceburi bidang pertanian, terutamanya melalui sokongan institusi kepada para pekebun bagi mewujudkan persekitaran yang mendukung dan inklusif (enabling environment) kepada golongan pekebun. Dalam pada itu, saya mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Negeri Pahang di bawah pimpinan YAB Menteri Besar kerana telah menyediakan 68.63 juta ringgit untuk tahun 2026 bagi memastikan agenda keterjaminan makanan negeri diperkukuh.
Saya ingin mencadangkan agar Kerajaan mempertimbangkan untuk membantu mengurangkan kos pertanian yang semakin meningkat, termasuk pemberian subsidi kepada pekebun bagi kos input pertanian seperti baja dan racun perosak. Langkah ini merupakan serampang dua mata kerana selain daripada meringankan beban pekebun, Kerajaan menerusi Jabatan Pertanian juga boleh menetapkan bahawa hanya penggunaan sesetengah baja dan racun perosak yang diiktiraf boleh dibeli dengan diskaun, sebagai contoh.
Saya juga sekali lagi ingin memohon pertimbangan Kerajaan Negeri untuk membantu mengurangkan kos pertanian yang ditanggung oleh para pekebun, dengan memberi pengurangan sewaan tanah yang ditawarkan oleh Pahang Corporation kepada pekebun kecil Cameron Highlands, serta menawarkan tempoh sewaan tanah yang lebih panjang kepada pekebun bagi meningkatkan keselamatan pegangan tanah (land security), yang boleh menjadi pemangkin kepada pekebun untuk melabur dalam teknologi moden, mempertingkatkan tahap pertanian menuju ke arah pertanian lestari, dan juga menarik minat golongan belia untuk menceburi bidang pertanian.
Dato’ Sri Speaker,
Isu kedua yang ingin saya bincangkan dalam Dewan yang mulia ini adalah Rancangan Tebatan Banjir (RTB) atau projek berkaitan demi mengurangkan risiko banjir secara sistematik.
Saya ucapkan tahniah dan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang di bawah pimpinan YAB Menteri Besar kerana memperuntukkan RM52.3 juta kepada JPS bagi projek pengurangan risiko banjir dan RM11.6 juta untuk pelaksanaan RTB Daerah.
Usaha kerajaan bertambah kukuh dengan sinergi yang baik dan sokongan Kerajaan Persekutuan melalui peruntukan RM188 juta bagi tujuan projek tebatan banjir berskala besar serta kajian dan pembangunan sistem saliran mesra alam.
Bagi Daerah Cameron Highlands, banjir kilat juga berlaku apabila hujan lebat, dan kawasan tertentu terutamanya Kampung Tringkap sering kali dilanda banjir kilat. Pada awal bulan Mei, banjir kilat berlaku di Tringkap dan menyebabkan 14 keluarga terpaksa berpindah ke PPS. Pada tahun lepas pula, banjir kilat berlaku dua kali.
Satu Kajian Pelan Induk Saliran (PISMA) Bandar Cameron Highlands telah dijalankan pada tahun 2018 bagi mengenalpasti punca-punca kejadian banjir kilat yang berlaku dan merancang infrastruktur saliran. Justeru, saya memohon agar Kerajaan Negeri dan Persekutuan mempertimbangkan untuk meluluskan peruntukan bagi memulakan projek pembinaan Saliran Mesra Cameron Highlands.
Dato’ Sri Speaker,
Ketiga, saya ingin menarik perhatian Dewan ini terhadap usaha meningkatkan keselamatan cerun.
Tanah runtuh berlaku di Puncak Arabella, Tanah Rata pada 28 November, menyebabkan jalan akses ke Puncak Arabella terputus untuk beberapa jam. Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada Pegawai Daerah Cameron Highlands, Tuan YDP Cameron Highlands, dan semua agensi kerajaan yang terlibat, dalam memastikan bahawa tanah yang menutup jalan dialihkan, memindahkan penduduk yang terjejas ke PPS, dan menjalankan siasatan keselamatan. Di samping itu, insiden tanah runtuh juga berlaku di Pangsapuri Aster, Ringlet pada 24 November. Insiden sebegini merupakan peringatan bahawa keselamatan cerun terutamanya di kawasan tanah tinggi perlu diberi perhatian yang serius.
Saya turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri atas tindakan segera meluluskan peruntukan berjumlah RM2.2 juta bagi kerja-kerja pembaikan cerun yang menjejaskan Pangsapuri Arabella dan berharap projek tersebut dapat dilaksanakan secepat mungkin. Selain itu, saya juga difahamkan bahawa semua penghuni di Blok C, Puncak Arabella tidak dapat pulang ke rumah disebabkan cerun tidak selamat, dan antaranya 9 keluarga atau 38 mangsa masih duduk di PPS. Maka, saya memohon agar bantuan sewa rumah boleh diberi kepada mangsa sementara menunggu cerun dibaiki.
Pada masa yang sama, insiden tanah runtuh seperti ini sebenarnya menjadi peringatan bahawa adalah penting untuk merancakkan penambahan sistem amaran awal tanah runtuh, terutamanya di kawasan perumahan di Daerah Cameron Highlands.
Saya difahamkan bahawa pihak JKR sedang giat memasang sistem amaran awal dan telah mengenal pasti lokasi cerun yang berisiko. Bagi cerun di kawasan perumahan pula, saya menyeru agar sejumlah peruntukan boleh disediakan oleh Kerajaan Persekutuan atau Negeri, khas kepada PBT untuk memasang sistem amaran awal tanah runtuh di kawasan perumahan yang mempunyai cerun dan berisiko.
Dato’ Sri Speaker,
Keempat, saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Kerajaan atas usaha meningkatkan tahap dan mutu pengangkutan awam di Negeri Pahang dengan sokongan padu daripada Kementerian Pengangkutan. Selain daripada ECRL yang bakal menjadi pemangkin kemajuan ekonomi, mod pengangkutan awam lain yang terbaru dan bakal bermula adalah BAS.MY yang akan mula beroperasi di Kuantan pada 15 Disember. Semua warganegara Malaysia boleh membeli pas perjalanan bernilai RM30 untuk penggunaan perkhidmatan BAS.MY tanpa had selama 30 hari, tanpa syarat tambahan. Pelajar berusia 17 tahun ke bawah, OKU, Pelajar IPT, dan warga emas boleh membuat pendaftaran kad konsesi dengan hanya bayaran RM10. Saya percaya bahawa perkhidmatan yang lebih dinamik dan cekap, dan murah ini akan membantu memperkasa dan mentransformasikan perkhidmatan bas dari aspek kemampanan dan meningkatkan penggunaan pengangkutan awam. Diharapkan juga perkhidmatan BAS.MY juga boleh diperluas ke daerah lain pada masa akan datang.
Dato’ Sri Speaker,
Isu kelima yang ingin saya bincangkan dalam Dewan yang mulia ini adalah fenomena keganasan dalam kawasan sekolah.
Rakyat dikejutkan dengan berita baru-baru ini bahawa pelbagai insiden buli, mahupun pembunuhan berlaku dalam kawasan sekolah. Statistik buli di Malaysia menunjukkan peningkatan kes, dengan KPM merekodkan 7,681 kes pada 2024 berbanding 6,528 kes pada tahun 2023, membuktikan bahawa keperluan untuk memperkenalkan intervensi semakin mendesak.
Fenomena keganasan merupakan satu masalah multi-factorial (atau diakibatkan oleh pelbagai faktor), maka sinergi dan kerjasama semua pihak, termasuk KPM, Kerajaan Negeri dan agensi kerajaan, sekolah, warga guru, ibu bapa, komuniti setempat adalah mustahak. Pengenalan pendidikan literasi digital juga penting untuk memberi pendedahan kepada anak-anak tentang cara menggunakan teknologi secara berhemah. Walau bagaimanapun, saya ingin menarik perhatian Dewan ini terhadap perancangan untuk mengehadkan umur minimum penggunaan media sosial kepada 16 tahun.
Dato’ Sri Speaker,
Kita sedia maklum bahawa perkembangan teknologi, walaupun terdapat kebaikan dan keburukan, tetapi tidak dapat dinafikan telah membawa perubahan besar terhadap cara hidup kita, termasuk pembelajaran dan pendedahan ilmu. Dalam sebuah artikel yang dipaparkan oleh The Economist pada 6 Disember, ia membincangkan pengunaan AI dalam pembelajaran dan bagaimana mentransformasikan kehidupan anak. KPM juga akan memperkenalkan asas Kecerdasan Buatan (AI) dan Robotik dalam kurikulum baharu persekolahan 2027
Penggunaan AI dan media sosial mungkin berlainan, tetapi kedua-dua jenis teknologi berada dalam ekosistem yang sama, di mana penggunaan yang tepat dan betul boleh mentransformasikan kehidupan dan merancakkan kadar pembelajaran.
Tambahan pula, anak muda yang berusia 18 tahun kini sudah boleh mengundi untuk memilih wakil rakyat dan kerajaan. Sekiranya pengunaan sosial media dihadkan kepada 16 tahun, bagaimanakah kita boleh melengkapi anak muda kita dengan ilmu dan pendedahan yang mencukupi terhadap sistem demokrasi, tadbir urus, dan isu semasa yang berlaku dan mampu mengubah landskap politik dan sosioekonomi negara?
Maka, saya menyeru agar perbincangan dan libat urus perlu dijalankan dengan lebih rancak dengan semua pihak, termasuk para pelajar dan anak muda, kerana pengalaman anak muda dan pendapat mereka adalah penting untuk melakar perubahan yang sebenar. Langkah ini juga adalah selaras dengan aspirasi kerajaan untuk memperkasa anak muda agar membina golongan belia yang bersedia untuk memimpin dan menentukan hala tuju negeri dan negara.
Dato’ Sri Speaker,
Keenam, saya ingin menyeru rakan-rakan, sama ada di Kerajaan mahupun Pembangkang, untuk bersama-sama mendukung institusi Dewan Negeri Pahang sebagai institusi yang membincangkan isu dan dasar negeri secara profesional, menukar pendapat, dan menggubal undang-undang demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan negeri. Jangan sesekali terjerumus dalam budaya politik fitnah yang akhirnya merosakkan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan menjahanamkan perpaduan rakyat Pahang.
Saya sebelum ini telah menyuarakan bahawa Ahli-ahli Dewan Negeri Pahang secara amnya berucap dan berdebat dengan profesional dan berdasarkan fakta, namun ada Adun-adun negeri lain atau Ahli Parlimen yang memang bersinonim dengan budaya fitnah. Baru-baru ini, seorang ADUN dari Negeri Selangor memohon maaf kepada Ahli Parlimen DAP berhubung kenyataan berbaur fitnah setelah kes dibawa ke mahkamah.
Lebih teruk lagi rekod fitnah parti tersebut jika kita imbas kembali rekod mantan Ketua Pembangkang sebuah Negeri yang berkali-kali mereka cerita dongeng dan menabur fitnah, kemudian meminta maaf hanya apabila kes akan dibawa ke makhamah. ADUN berkenaan turut digantung daripada menyertai semua urusan dan urusan soal jawab Dewan Undangan Negeri selama enam bulan kerana mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman dan hasutan.
Maka, harapan saya adalah kita semua menjauhi budaya fitnah dan bohong. Jangan biarkan ia berakar dan merebak di Negeri Pahang dan akhirnya menjejaskan keharmonian dan perpaduan rakyat, dan bersama-samalah kita memperkukuh institusi demokrasi demi manfaat seluruh rakyat Pahang.
Sekian sahaja daripada saya, dan saya menyokong usul belanjawan yang dibentangkan oleh YAB Dato’ Sri Diraja MB Pahang.
Sekian, terima kasih.