Tuan Yang di-Pertua,
Saya ingin memulakan ucapan ini dengan mengucapkan tahniah dan syabas kepada Perdana Menteri atas hasrat kerajaan untuk menyemak semula Akta SOSMA dan meminda Akta Perhimpunan Aman dengan memansuhkan keperluan kebenaran di bawah Seksyen 11. Dua langkah tersebut amat dialu-alukan dan wajar dijadikan sebagai permulaan kepada agenda reformasi yang lebih menyeluruh. Melalui reformasi SOSMA dan Akta Perhimpunan Aman, kita berharap agar pelbagai aspek lain seperti reformasi ekonomi, kebajikan, dan sistem pentadbiran turut menerima reformasi. Keputusan kerajaan untuk mengkaji semula dua akta tersebut mencerminkan dan menegaskan komitmen Perdana Menteri yang digelar ‘Bapa Reformasi’.
Seterusnya, saya ingin mengutarakan beberapa isu penting yang memerlukan perhatian segera daripada pihak kerajaan.
1. Isu dakwaan rasuah yang melibatkan ramai ahli Kerajaan Negeri Sabah telah mendapat perhatian luas sejak tiga bulan lalu, dilaporkan bukan sahaja di akhbar tempatan tetapi juga di peringkat antarabangsa.
Kelewatan dan ketidakpastian dalam menangani perkara ini telah mula menjejaskan imej negara Malaysia.
Oleh itu, saya menggesa kerajaan untuk segera membuat keputusan muktamad sama ada kes ini mempunyai asas pertuduhan atau tidak.
Sekiranya terdapat bukti yang mencukupi, tindakan tangkapan serta pendakwaan harus dilaksanakan tanpa berlengah bagi memastikan keadilan ditegakkan. Sebaliknya, jika tiada kes, kerajaan perlu memberikan penjelasan yang jelas dan meyakinkan kepada rakyat agar isu ini tidak terus menjadi tanda tanya yang menggugat keyakinan masyarakat terhadap sistem keadilan negara.
Ketidakpastian dalam menyelesaikan kes ini bukan sahaja menjejaskan kepercayaan rakyat, malah berpotensi memberi kesan negatif terhadap pelaburan tempatan dan asing serta kehilangan keyakinan terhadap tadbir urus kerajaan..
2. Saya Menggesa Tindakan Tegas Menangani Skim Pelaburan Palsu dan Penipuan Ponzi
Tuan Yang di-Pertua,
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Malaysia telah menjadi tumpuan utama bagi penjenayah penipuan, khususnya yang melibatkan skim pelaburan palsu dan skim Ponzi. Setiap bulan, kita membaca berita tentang pelbagai skim pelaburan palsu yang menjanjikan pulangan tinggi yang dirancang untuk menipu orang ramai. Banyak syarikat yang menggunakan nama-nama seperti amanah dan "Cash Trust" dalam skim Ponzi itu.
Baru-baru ini, dua syarikat, iaitu Octowill Trustee Berhad dan Proven Venture Capital, telah menyalahgunakan gambar dan nama Yang Berhormat Bagan dan saya sendiri untuk mempromosikan skim pelaburan palsu mereka untuk menipu orang ramai. Oleh itu, saya ingin menyeru pihak polis, Bank Negara Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia serta semua agensi kerajaan yang berkaitan untuk segera mengambil tindakan undang-undang segera terhadap dua syarikat tersebut dan menyita aset serta bank akaun syarikat itu termasuk bank akaun semua “shareholders” dan “company directors” yang terlibat. Tindakan pantas amat diperlukan untuk melindungi rakyat Malaysia daripada terus menjadi mangsa penipuan melalui Ponzi yang semakin berleluasa di Malaysia.
3. Betulkah berita semalam bahawa “Kuala Lumpur ranks 3rd most dangerous city in Southeast Asia, Klang takes 4th spot”?
Berita tersebut dilaporkan di The Sun semalam, yang menggunakan data daripada Numbeo's Crime Index 2025. Indeks itu turut menyenaraikan Pulau Pinang sebagai bandar paling selamat di Malaysia. Namun, laporan ini menimbulkan kebimbangan besar kerana ia menyatakan Kuala Lumpur dan Klang sebagai antara bandar ketiga dan keempat paling berbahaya di Asia Tenggara.
Impak laporan itu amat merunsingkan, bukan sahaja dari segi keselamatan negara, malah ekonomi kita juga akan terjejas teruk, khususnya industri pelancongan. Jika laporan ini benar, ia berpotensi menarik perhatian sindiket jenayah asing dan tempatan untuk berhimpun dan beroperasi di ibu kota kita dan Bandar Klang.
Oleh itu, saya memohon kerajaan, pihak polis, serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya untuk segera mengenal pasti kesahihan
sumber laporan ini. Langkah-langkah proaktif dan drastik perlu diambil oleh kerajaan bagi memastikan Kuala Lumpur dan Klang kekal sebagai tempat yang selamat untuk semua orang.
4. Mengehadkan Kenderaan Persendirian di Pusat Bandar Kuala Lumpur Semasa Waktu Puncak
Tuan Yang di-Pertua,
Masalah kesesakan lalu lintas di Kuala Lumpur semakin meruncing dan memerlukan tindakan penyelesaian. Saya mencadangkan agar kerajaan mengkaji dan mempertimbangkan langkah-langkah yang telah berjaya dilaksanakan di bandar-bandar besar lain seperti di Singapura dan China bagi menangani isu ini. Antara langkah yang boleh dipertimbangkan termasuk:
A. Caj Kesesakan – Mengenakan caj kepada pemandu yang memasuki kawasan tertentu pada waktu puncak untuk mengurangkan jumlah kenderaan di jalan raya. Hasil kutipan caj ini juga boleh digunakan untuk menambah baik sistem pengangkutan awam, menjadikannya lebih efisien dan mesra pengguna.
B. Sekatan Berdasarkan Nombor Plat– Melarang kenderaan dengan nombor plat tertentu daripada berada di jalan raya pada hari atau waktu tertentu. Kaedah ini telah terbukti berkesan di beberapa bandar di negara lain dalam mengawal jumlah kenderaan dan mengurangkan kesesakan.
Saya berharap kerajaan dapat meneliti kaedah yang paling sesuai untuk dilaksanakan di Kuala Lumpur. Langkah-langkah ini bukan sahaja dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas yang memberi kesan kepada produktiviti dan kualiti hidup rakyat, malah turut membantu mengurangkan pencemaran udara akibat pelepasan karbon dari kenderaan persendirian.
Tuan Yang di-Pertua,
Saya berharap kerajaan akan mengambil langkah proaktif dan berkesan bagi menangani isu-isu yang saya bangkitkan tadi dengan sebaik mungkin.
Kegagalan untuk bertindak segera bukan sahaja akan memburukkan keadaan sedia ada, malah berpotensi menimbulkan lebih banyak masalah pada masa hadapan.
Sekian, terima kasih.