Dato’ seri yang di-Pertua, terima kasih kerana mengizinkan saya berbahas ke atas ucapan YAB Pangkor semalam apabila membentangkan Rancangan Pembangunan Lima Tahun Negeri Perak.
Sepertimana yang dinyatakan oleh YAB, ekonomi negara kita kini mengalami ketidaktentuan. Sebenarnya, kemerosotan ekonomi yang disebabkan oleh keturunan nilai RM dan perlaksanaan GST oleh Kerajaan adalah apa yang dialami oleh rakyat sekarang. Jaminan oleh Kerajaan sebelum berkuatkuasanya GST bahawa harga barang-barangan tidak akan naik langsung tidak ditunai. Masalah tersebut diterukkan dan dirumitkan lagi oleh isu 1MDB, suatu syarikat yang ditubuhkan oleh Kerajaan dan dimilki olehnya.
Kita mengetahui bahawa 1MDB telahpun meminjam wang berbilion-bilion tetapi kini tidak berkeupayaan untuk membayar baliknya dalam masa yang ditetapkan dan mengalami masalah kewangan.
Oleh kerana 1MDB merupakan sebuah syarikat kerajaan, Kerajaan Negeri sebenarnya juga bertanggungjawab sekiranya syarikat itu gagal. Seimbang dengan doktrin “Federalism”, dengan izin, negeri-negeri juga diberi kuasa untuk mengambil bahagian dalam urusan dan hal ehwal kewangan Kerajaan Persekutuan, mengikut peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Izinkan saya menbaca peruntukan yang relevan:-
“Perlembagaan Persekutuan
Perkara 108. Majlis Kewangan Negara.
(1) Maka hendaklah ada suatu Majlis Kewangan Negara yang terdiri daripada Perdana Menteri, mana-mana Menteri lain yang ditetapkan oleh Perdana Menteri, dan seorang wakil dari setiap Negeri yang dilantik oleh Raja atau Yang di-Pertua Negeri.
(4) Menjadi kewajipan Kerajaan Persekutuan untuk berunding dengan Majlis Kewangan Negara berkenaan dengan— (c) keperluan pinjaman tahunan Persekutuan dan Negeri-Negeri dan penjalanan kuasa meminjam Persekutuan dan Negeri-Negeri itu.”
Saya telah pun mengemukakan soalan bertulis siapakah yang mewakili negeri Perak dalam Majlis yang penting itu, samada YAB sendiri ataupun wakil yang dilantikkan.
Dalam apa keadaan pun, menurut undang-undang tersebut, perundingan dengan Majlis Kewangan Negara mengenai penjalanan kuasa meminjam Persekutuan merupakan satu kewajipan yang semestinya dipenuhi oleh Kerajaan Persekutuan. Memandangkan begitu, persoalannya ialah sama ada perkara penjalanan kuasa meminjam Persekutan bagi pihak ataupun melalui 1MDB telahpun dibawa masuk dan menjalani tahap perundingan bersama-sama dengan Majlis Kewangan Negara, di mana ahli-ahlinya terdiri daripada, antara lain, wakil dari negeri Perak, seperti yang dikehendaki oleh Perlembagaan Persekutuan.
Soalan saya sekarang: Pernahkah perundingan berkenaan diadakan sebelum pinjaman 1MDB? Kalau
ada, sama ada wakil negeri Perak telah menghadiri perundingan tersebut dan adakah Kerajaan Persekutuan telahpun mendapatkan pandangan daripada wakil negeri Perak? Kedudukan kewangan 1MDB yang lemah dan dibelenggui hutang telah mengugat kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan. Kami sememangnya mempunyai kepentingan yang sah untuk
mengetahui tentang segala perkara mengenai sebarang perundingan dalam Majlis tersebut kerana peruntukan dana negeri oleh Kerajaan Persekutuan pasti
akan terjejas berikutan masalah kewangan tersebut.
Dalam perkataan lain, adakah waki negeri tersebut menjalankan tugas yang diamanahkan dengannya untuk menjaga kepentingan rakyat? Sebenarnya, menurut perkara 108(2), majlis tersebut hendaklah mengadakan sekurang-kurangnya satu mesyuarat setahun, tetapi sekiranya diminta oleh tiga atau lebih negeri-negeri, majlis dikehendaki untuk mengadakan mesyuarat.
Adakah YAB sudi memaksa PM untuk mengadakan mesyuarat tersebut, bersama sama dengan dua negeri lain, untuk berbincang isu 1MDB.
Di sini juga ingin menegaskan bahawa kegagalan kerajaan persekutuan untuk berunding dengan setiap ahli Majlis Kewangan Negara terjumlah kepada suatu percanggahan terhadap Perkara 108 Perlembagaan Persekutuan.
Pernahkah YAB meneliti perkara ini? Pernahkah YAB mempersoalkan pinjaman dan jaminan yang dilakukan mengenai 1MDB atau wakil negeri tersebut hanya menjadi sekadar-kadar seorang “yes man” ataupun cop getah bagi setiap perkara yang dicadangkan oleh Kerajaan Persekutuan? Adakah YAB bertindak sebagai pengikut PM atau sebagai MB bagi negeri Perak dalam hal ini?
Soalan yang juga timbul sekarang adalah samada pinjaman oleh 1MDB dan jaminan yang telah pun diberikan oleh kerajaan bagi pinjaman tersebut adalah sah di sisi undang-undang. Soalan ini tertimbul kerana Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang yang tertinggi di negara kita. Sebarang percanggahan ataupun ketidakpatuhan dengannya akan mengakibatkan pinjaman ataupun jaminan tersebut menjadi batal dan kosong.
Sekiranya berlaku, ia tentu akan menjejaskan keyakinan pelabur-pelabur dan kredibiliti kerajaan.
Harap YAB akan memberi jawapan ke atas isu-isu tersebut pada masa penggulungan.
Sekian, terima kasih.