Skip to content

Perbahasan mengenai Pindaan Rang Undang-Undang Akta Suruhanjaya Koperasi Malaysia 2007 oleh Ahli Parlimen Batu Gajah V. Sivakumar

Terima kasih saya ucapkan kepada Datuk Yang Dipertua kerana sudi memberi peluang kepada saya untuk turut membahas pindaan terhadap Rang Undang-undang Akta Suruhanjaya Koperasi Malaysia 2007

Datuk Yang Dipertua,

Dasar Koperasi Negara 2011-2020 mensasarkan supaya koperasi menyumbangkan 5% kepada Keluaran Negara menjelang tahun 2013 dan 10% menjelang tahun 2020. Sasaran 10% adalah agak tinggi dan sukar untuk dicapai. Tetapi, adalah amat digalakkan supaya kita berusaha sedaya upaya untuk mencapai matlamat yang diingini. Saya amat bersetuju dengan segala usaha yang diambil sebagai langkah hala tuju mencapai sasaran 10% tersebut.

Datuk Yang Dipertua,

Saya ada beberapa soalan yang ingin dikemukakan kepada menteri berhubung dengan koperasi-koperasi yang wujud di negara kita.

Pertama sekali mengenai statistik yang diberikan oleh Ahli-ahli yang Berhormat mengenai koperasi adalah berbeza-beza dan agak mengelirukan. Selain daripada itu, angka-angka yang diberikan juga bukanlah jitu dan terkini. Adalah sukar untuk mendapatkan maklumat-maklumat terkini. Saya ingin mengetahui berapakah jumlah koperasi yang didaftarkan sehingga bulan September 2014? Jika boleh, senaraikan maklumat-maklumat ini mengikut negeri.

Kedua, saya ingin mengetahui bagaimanakah penglibatan semua kaum di negara ini dalam sektor koperasi? Adakah minat hanya ditunjukkan oleh mana-mana satu kaum atau diterima rata-rata oleh semua kaum? Saya juga berminat untuk mendapatkan statistik khusus mengenai penglibatan kaum India dalam sektor koperasi . Saya berpendapat bahawa koperasi merupakan satu mekanisme yang harus diberi pertimbangan dan perhatian untuk meningkatkan status sosio-ekonomi kaum India yang majoritinya menghadapi masalah dan sering kali tercicir dalam pelaksanaan dasar-dasar ‘mainstream’ kerajaan.

Memang tidak dapat menafikan terdapat banyak koperasi kaum India seperti Koperasi Permodalan Tanah Berhad (NLFCS), Koperasi Kredit Pekerja, Koperasi Serbaguna Guru-guru India Malaysia Berhad, Koperasi Peniaga-peniaga India Malaysia Berhad, Koperasi Suria Malaysia Berhad, Koperasi Guru-guru Sekolah India Negeri Perak Berhad dan Koperasi Usahawan India Malaysia Berhad. Walau bagaimanapun, masih terdapat banyak ruang untuk kaum India menceburi sektor koperasi. Kerajaan juga harus membantu dan memberi galakkan kepada masyarakat India untuk melibatkan diri dalam koperasi. Ini adalah penting untuk membolehkan kaum India juga turut bersama dalam menikmati kemajuan dan pembangunan negara. Pada pandangan saya, setakat ini idea koperasi ini masih tidak cukup pengaruhnya terhadap kaum India.

Datuk Yang Dipertua,

Ketiga, dalam mengejar arus pembangunan negara, kita tidak boleh mengabaikan dan menganak-tirikan Sabah dan Sarawak. Sejauh manakah perkembangan koperasi di Sabah dan Sarawak dari segi jumlah dan pegangan dana berbanding dengan Semenanjung Malaysia? Apakah inisiatif-inisiatif yang telah diambil oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia untuk menggalakkan pertumbuhan koperasi dan memberi keyakinan kepada rakyat Malaysia Timur untuk menubuhkan koperasi-koperasi kecilan? Saya juga berminat untuk mengetahui apakah antara koperasi-koperasi yang terkemuka dan berfungsi dengan baik di Sabah dan Sarawak.

Keempat, untuk mencapai sasaran Dasar Koperasi Negara, pengurusan dana adalah sangat penting. Masalah pengelolaan dan pengurusan dana yang tidak efisyen boleh menyebabkan seseorang anggota hilang kepercayaan terhadap sesebuah koperasi. Ini menjadi punca beberapa koperasi menjadi tidak aktif dan akhirnya tidak beroperasi. Saya mohon maklumat mengenai jumlah koperasi yang tidak aktif ataupun dorman di negara kita. Apakah langkah-langkah yang telah diambil oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia terhadap koperasi-koperasi yang dorman itu?

Datuk Yang Dipertua,

Kelima, saya ingin mengetahui jumlah pegangan koperasi-koperasi di Malaysia dalam bentuk kewangan dan aset-aset yang lain sebagai dana terkumpul di dalam dan di luar negeri sehingga bulan September 2014.

Keenam, sering kali kita juga mendengar rungutan daripada pihak pengurusan (Lembaga Pengarah) bahawa anggota-anggota yang meminjam wang tidak membayar balik pinjaman. Ini menjadi satu masalah yang besar dan serius kerana dana yang tidak dapat dituntut akan melemahkan hayat koperasi itu serta hilang halatuju dalam jangka masa panjang. Koperasi yang uzur seperti ini akan menjadi beban kepada anggota-anggota lain. Apakah langkah-langkah yang diambil oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia untuk membantu koperasi-koperasi yang menghadapi masalah seperti ini?

Datuk Yang Dipertua,

Ketujuh, berapakah di antara koperasi-koperasi di Malaysia yang berjaya menduduki senarai 300 koperasi terbaik ICA (Perikatan Koperasi Antarabangsa)?

Kelapan, berapakah projek perumahan yang telah dilaksanakan di bawah Skim Usahasama UDA – Koperasi (UDAKOP) dan sejauh manakah pelaburan koperasi di dalam ASM yang dilaksanakan di bawah ASM – Koperasi (ASMKOP) setakat ini?

Saya sungguh berharap menteri boleh memberi maklumbalas mengenai perkara-perkara yang telah saya bangkitkan. Sekian terima kasih.