Terima kasih kepada Datuk TYDP kerana mengizinkan saya untuk menyertai dalam perbahasan usul mengungkaikan ordinan-ordinan darurat menurut Fasal (3) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.
Isu ini telah menjadi suatu isu yang hangat pada Persidangan Khas Parlimen bulan Julai yang lepas. Minggu persidangan Dewan Rakyat tersebut merupakan satu titik hitam dalam sejarah parlimen demokrasi negara kita, dengan berlaku Menteri Kerajaan memberikan fakta yang mengeliru Dewan, tidak menghormati insitusi raja berlembagaan negara, dan menyebabkan ketidak-pastian kedudukan undang-undang.
Perkara tersebut merupakan the last straw that strikes the camel back, dan seterusnya membawa kepada kejatuhan Kerajaan Gagal pada ketika itu. Isu ini juga menyimpulkan segala kegagalan Kerajaan Perikatan Nasional yang ditubuhkan selepas Langkah Sheraton pada Februari 2020 – suatu Kerajaan tanpa sokongan majoriti Rakyat, bukan pilihan Rakyat dan tanpa sokongan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat.
Segalanya bermula pada 26.07.2021, apabila Menteri Undang-Undang pada Ketika itu menyatakan dengan begitu jelas dan yakin seperti yang tercatat dalam Penyata Rasmi:-
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang)[Dato’ Takiyuddin bin Hassan]: Semua Ordinan Darurat dengan izin Tuan Yang di-Pertua, tadi saya tidak sebut. Semua Ordinan Darurat, sebanyak enam Ordinan Darurat yang dibuat telah diputuskan untuk direvoke berkuat kuasa 21 Julai 2021. Bukan hari ini – 21 Julai 2021.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) [Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan]: Proklamasi Darurat belum dibatalkan, yang dibatalkan Ordinan Darurat. Proklamasi Darurat sampai 1 Ogos.
Tuan Lim Guan Eng [Bagan]: Kalau Ordinan Darurat telah dibatalkan. Semua denda tidak boleh pakai. Hukuman tidak boleh dijalankan oleh pihak berkuasa…
Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan: Yalah, tidak boleh pakailah. Already revoke. Question of another six months tidak timbul lagi sebagaimana Yang Berhormat Puchong sebut. Enam bulan tak terpakai kerana telah direvoke ataupun dianull. Tidak timbul lagi…
Jelas, Kerajaan pada ketika itu telah mengmabil suatu pendirian bahawa Ordinan Darurat telah diungkai, dan tidak lagi berkuatkuasa sejak 21.07.2021, walaupun dari segi undang-undang kita semua tahu ia merupakan satu kesilapan besar dan pelanggaran undang-undang yang serius oleh Kerajaan pada Ketika itu.
Walaupun pengumuman telah dibuat oleh Kerajaan berkenaan dengan pendirian Kerajaan kada ketika itu bahawa Ordinan Darurat telah diungkaikan, namun kita mendapati bahawa pasukan penguatkuasa masih mengeluarkan kompaun ketidakpatuhan SOP Kesihatan, dengan mengguna pakai Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawal Penyakit Berjangkit)(Pindaan) 2021.
Daripada jawapan yang diberikan kepada saya pada 27.09.2021, Perdana Menteri telah menyatakan jumlah kompaun yang dikeluarkan selepas 21.07.2021 sehingga 27.08.2021 adalah sebanyak 10,419. Kesilapan dan kekeliruan yang disebabkan oleh Kerajaan pada Ketika itu telah mendatangkan satu isu undang-undang samaada kompaun tersebut adalah sah atau sebaliknya.
Bagaimana Rakyat boleh dihukum di bawah suatu undang-undang yang telah diumumkan oleh Kerajaan sebagai tidak lagi berkuatkuasa? Kerajaan harus sedar kompaun maksima yang dibenarkan di bawah Ordinan Darurat 2021 adalah jauh lebih tinggi berbanding dengan Akta dan undanh-undang asal, iaitu RM50,000.00 berbanding dengan RM1,000.00.
Walaupun kepatuhan SOP Kesihatan adalah patut dan perlu, namun Rakyat tidak sepatutnya dihukum apabila terdapat kesilapan daripada Kerajaan sendiri. Sekiranya Kerajaan berpendirian bahawa Ordinan Darurat telah terbatal sejak 21.07.2021, jumlah kompaun maksima yang boleh dikenakan hanyalah RM1,000.00 dan bukan RM10,000 atau RM50,000 yang selalu dikenakan.
Kerajaan sekarang haruslah mengakui kesilapan Kerajaan pada Julai yang lepas, mengambil tanggungjawab untuk memikul kesilapan tersebut. Tidak ada alasan untuk mengatakan bahawa ia merupakan kesilapan Kerajaan lepas kerana pada hakikatnya kabinet sekarang adalah 95% sama dengan Kerajaan pada bulan Julai. Perdana Menteri sekarang adalah Menteri Kanan kluster keselamatan pada Ketika itu. Akuilah kesilapan, mengambil langkah untuk memulihkan keadaan, inilah apa yang Kerajaan sekarang hendak buat.
Maka, kompaun-kompaun yang telah dikeluarkan sejak 21.07.2021 hendaklah dibatalkan, atau dianggap batal dengan sendirinya. Rakyat tidak seharusnya dihukum apabila undang-undang Prdinan Darurat pada ketika itu adalah begitu keliru, dan dianggap oleh Kerajaan sendiri sebagai sudah tidak berkuatkuasa. THERE SHALL BE NO PENALTY WITHOUT LAW.
Pada pagi tadi, Menteri Undang-Undang juga menyatakan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit akan dipinda selepas Ordinan Darurat diungkaikan, dan pindaan itu akan dibawa ke Dewan Rakyat pada bulan Disember.
Saya mencadangkan supaya segala pindaan untuk menaikkan semula amaun kompaun pelanggaran SOP haruslah lebih adil dan munasabah. Pematuhan SOP haruslah bermula dari Pendidikan, dan penguatkuasaannya tidak seharusnya digunakan sehingga mendatangkan kebimbangan yang tidak wajar dari kalangan Rakyat.
Kerajaan harus tahu, betapa banyak pemilik perniagaan tidak berani untuk membuka kedai walaupun perniagaan mereka dibenarkan untuk beroperasi. Antara sebab, kekeliruan SOP dan ada juga yang tidak mendapat kelulusan MITI atas masalah teknikal walaupun dibenarkan untuk beroperasi di bawah SOP. Ramai pemilik perniagaan mengalami masalah untuk meneruskan perniagaan, apatah lagi pada masa yang sama perlu bimbang atas kompaun yang mungkin dikenakan. Bagilah amaran lisan terlebih dahulu, jangan kompaun sewenang-wenang.
Kita juga pernah nampak, sebulan selepas Ordinan Darurat yang membenarkan kompaun maksima RM50,000.00, seorang penjual burger di Kelantan telah dikenakan kompaun maksima RM50,000.00 kerana telah berniaga lebih masa tak sampai 20 minit pun.
Maka, saya menyeru supaya segala pindaan yang akan dibawa ke DR nanti, harusnya lebih jelas dalam mengasingkan keseriusan kesalahan, dengan amaun yang lebih munasabah.
Sekian.