Terima kasih, Dato’ Seri yang di-Pertua kerana mengizinkan saya berbahas ke atas Ucapan Pembentangan bajet 2016 oleh YAB Pangkor.
Dalam ucapan bajet 2016, Fokus Pertama YAB Pangkor adalah untuk Memperkasa Pertumbuhan Ekonomi. YAB telah menyebut Pembangunan Wilayah Perak Selatan dan Wilayah Ekonomi Korodor Utata. Walau bagaimana pun, sekali lagi saya ingin mengingatkan kerajaan negeri bahawa salah satu daripada 82 aku janji yang terkandung dalam manifesto PRU 13 BN Perak adalah aku janji kerajaan negeri yang akan menubuhkan suatu zon ekonomi khas yang meliputi kawasan Kampar. Dahulunya saya telahpun beberapa kali mengemukakan isu ini dalam Dewan yang Mulia ini, mengenai aku janji tersebut yang setakat ini, selepas hampir tiga tahun selepas PRU 13, yang masih tidak ditunai. Haraplah ini bukan satu lagi janji oleh BN yang “dicapati”.
Seperti yang diakui oleh YAB Pangkor dalam ucapannya, suasana ekonomi negara kita sekarang adalah lembab serta tidak menentu. Saya mewakili kesemua rakyat kawasan DUN Malim Nawar di sini menggesa kerajaan negeri untuk memandang serius aku janji penubuhan zon ekonomi khas Kampar yang tentunya akan membawa manfaat kepada penduduk-penduduk kawasan DUN Malim Nawar. Kegagalan untuk menepati aku janji tersebut tentunya akan menyebabkan kehilangan kredibiliti kerajaan negeri di kalangan rakyat.
Selain daripada itu, saya juga kecewa kerana antara pekan-pekan kecil yang akan dibangunkan oleh kerajaan negeri, setakat ini tiada satu pun daripadanya yang berada dalam kawasan DUN Malim Nawar. Memangkah sehingga kini hanya 22 pekan-pekan sahaja daripada kuota 41 yang telahpun dipilih, saya di sini mencadangkan beberapa pekan-pekan kecil dalam kawasan DUN Malim Nawar yang berpotensi dikenal pastilkan untuk dibangunkan menjelang tahun 2018. Dalam pada itu, saya sudi bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk mengkaji bersama-sama dan mengenalpastikan pekan-pekan kecil tersebut yang berpotensi dalam kawasan DUN Malim Nawar, contohnya Tg Tualang dan Sungai Durian, di mana sebahagian satu filem Singapura dibuat.
Dalam ucapannya, YAB Pangkor di bawah topik Fokus Pertumbuhan Ekonomi juga menyebut, sebagai insentif kepada pemaju-pemaju, kerajaan negeri mengenakan kos premium tanah yang rendah dan memberi diskaun antara 10 hingga 30 peratus bagi premium mengubah syarat nyata tanah.
Salah satu soalan yang baginya jawapan lisan hendaklah diberikan yang dikemukakan oleh saya sebelum ini, untuk persidangan ini, adalah mengenai kenapa yuran pendaftaran yang dikenakan oleh pejabat tanah di negeri Perak adalah lebih tinggi daripada apa yang dikenakan oleh, contohnya, pejabat-pejabat di negeri Selangor dan wilayah persekutuan Kuala Lumpur, di mana tahap kehidupan adalah jauh lebih tinggi daripada negeri kita.
Untuk makluman ahli-ahli Dewan yang Mulia ini, yuran pendaftaran tersebut adalah yuran yang dikenakan oleh pejabat tanah ke atas semua urusan pendaftaran, contohnya pindah milik, gadaian, pelepasan gadaian, kemasukan kaveat, carian rasmi dan sebagainya. Dalam pengalaman saya apabila berurusan sebagai peguam dengan pejabat-pejabat tanah di negeri Selangor dan wilayah persekutuan Kuala Lumpur, skala yuran pendaftaran mereka adalah, secara amnya, lebih rendah.
Sebagai contoh, yuran untuk pindah milik yang dikenakan oleh pejabat WP Kuala Lumpur hanya adalah RM100/ tidak mengambilkira nilai hartanah yang berkenaan manakala untuk transaksi yang sama di pejabat tanah kita, mengikut suatu skala, untuk pindah milik hartanah yang bernilai RM300,000, yuran adalah RM450 dan untuk hartanah yang bernilai RM500,000/, yuran mengikut skala adalah RM1000. Di Selangor, untuk pindahmilik hartanah yang bernilai RM500,000, yuran adalah RM400.
Pindahmilik yang berdasarkan kasih sayang dan bukannya komersial, contohnya daripada ibu bapa kepada anak juga adalah dikenakan yuran pendaftaran tersebut.
Ini akibat pindaan kepada Peraturan-peraturan Tanah Perak yang dibuat pada tahun 2005, ertinya sejak sepuluh tahun dahulu, kita membayar yuran yang lebih tinggi daripada yuran di Selangor dan KL sekiranya pun mengikut kadar terkini mereka. Saya mencadangkan di sini supaya kerajaan negeri mengkaji semula perkara ini dan mengurangkan kadar yuran tersebut untuk meringankan beban ekonomi rakyat yang sekarang begitu berat, khasnya selepas peguatkuasaan cukai GST sejak April tahun ini.
Sekarang saya ingin menyentuh topik MB Inc. Secara latar belakang MB Inc ditubuhkan di bawah MB Inc Enakmen tahun 1951 untuk tujuan supaya pegawai yang memegang jawatan Menteri Besar boleh menuntut dan dituntut dalam namanya, memegang hartanah, memasuki kontrak dan boleh “kekal turun menurun” ataupun, dengan izin, diberikan “perpetual succession”. Tujuan enakmen tersebut bukannya membolehkan MB berniaga.
Ini kerana pada masa itu, iaitu sebelum Merdeka, jawatan MB bukan seperti sekarang. MB adalah kakitangan kerajaan yang dilantikkan. Beliau bukan seorang yang dipilih dalam PRU secara demokratik. Tujuan enakmen tersebut telahpun tidak diperlukan lagi dan adalah tidak relevan sekarang.
Namun dalam tahun 2011, suatu enakmen pindaan telahpun memberi kuasa kepada MB Inc untuk menjalankan aktiviti pembangunan. Setelah meneliti enakmen pindaan tersebut, yang hanya mengandungi dua sesyen, iaitu Sesyen 4A dan 4B yang baru, saya mendapati bahawa tiada apa-apa yang disebutkan ke atas penubuhan suatu lembaga ataupun perlantikan seorang CEO. Sekiranya kami meneliti Enakmen Perbadanan Kemajuan Negeri Perak, enakmen PKNP adalah jauh lebih komprehensif dari segi perlantikan ahli-ahli, pegawai dan penjawatnya. Enakmen PKNP juga dengan jelasnya menyatakan kuasa dan kewajiban PKNP dan juga penyediaan dan audit akaun tahunan.
Oleh yang demikian, saya khuatir kemungkinan perlantikan CEO MB Inc adalah tidak sah dari segi undang-undang. Sekiranya betul, tindakan-tindakannya bagi pihak MB Inc juga boleh dicabarkan dari segi undang-undang. Enakmen MB Inc juga tidak mempunyai peruntukan-peruntukan ke atas pengemukaan akaun ataupun laporan tahunan. Sekiranya seperti yang dikatakan oleh YAB Pangkor bahawa pendapatan MB Inc adalah untuk menambah pendapatan negeri demi manfaat rakyat, kami sangat berminat untuk membaca akaun MB Inc yang menunjukkan pendapatan dan perbelanjaannya.
Sebenarnya, menurut Akta Incorporation (State Legislatures Competency) 1962, akaun dan laporan oleh badan-badan yang ditubuhkan oleh kerajaan negeri yang menjalankan aktiviti komersial hendaklah dibentangkan oleh YAB Pangkor dalam dewan yang mulia ini.
YAB Pangkor telahpun menegaskan MB Inc adalah berlainan dengan MB. Walau bagaimanapun, sekiranya semua hartanah yang dipegang oleh MB Inc telah terletak haknya ke atas perbadanan tersebut, dan dengan tiada lembaga yang ditubuhkan dengan sewajarnya, MB Inc sebenarnya adalah alter ego MB, maknanya MB Inc tidak boleh dibezakan dengan jawatan MB. Ini juga bermakna tereujudnya percanggahan kepentingan.
Pemohon tanah adalah MB Inc yang di bawah kawalan MB dan EXCO yang meluluskan permohonan tanah juga adalah diketuai oleh MB. Where is the check and balance?
Saya harap YAB Pangkor akan memberi jawapan kepada kesemua soalan tersebut pada masa penggulungan.
Fokus keempat ucapan bajet adalah Memperteguhkan integrasi dan keharmonian. Dalam pada itu, saya baca daripada media YB Chenderiang telahpun menulis kepada YAB Pangkor sebagai pengerusi BN dan MB untuk membuat pengaduan terhadap mereka yang menembuat pernyataan melampau dan racist. YB Chenderiang juga telah menyediakan garis panduan untuk menghukum ahli-ahli BN yang melampau dengan tindakan disiplin. Garis panduan juga akan dikemukakan kepada EXCO dan adalah terpakai kepada kakitangan kerajaan.
Di sini saya meminta YAB Pangkor untuk memaklumkan dan menerangkan kandungan garis panduan tersebut pada penggulungan.
Sekian, terima kasih.