Terima kasih Dato Tuan Yang Dipertua kerana memberikan peluang kepada saya untuk menyertai dalam perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong sempena pembukaan Penggal kedua, Parlimen Ke-15 pada hari semalam.
Sidang Parlimen yang akan berlangsung selama 7 minggu ini merupakan sidang Parlimen kedua selepas PRU15 yang mana akan kita dengar dengan komprehensif perbahasan, pandangan dan cadangan daripada Ahli-Ahli Dewan, biarpun yang lama atau yang baru, terhadap Kerajaan Perpaduan yang baru ditubuhkan pada 24.11.2022.
Maka, sidang ini merupakan medan yang penting, bagi kita semua sama-sama membantu Kerajaan kita membawa Negara kita ke suatu hala tuju dan landasan yang betul, dalam menghadapi kemelut kemelesetan ekonomi sedunia dalam masa pasca-Covid 19 ini.
PMQT
Pada pagi ini, Parlimen Malaysia telah mencipta sejarah dengan buat kali pertamanya memperkenalkan Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri.
Sudah genap 66 tahun kita tunggu, akhirnya kita mempunyai seorang Perdana Menteri yang mampu dan berani untuk berdepanan dan mengambil soalan-soalan daripada Ahli-Ahli Dewan Rakyat, setiap minggu sekurang-kurangnya sehari yang mana Ahli-Ahli Dewan Rakyat dari kedua-dua belah dapat membangkitkan soalan terus kepada Perdana Menteri.
Ini merupakan satu pembaharuan yang kita nanti-nantikan, juga adalah selaras dengan perjalanan badan perundangan di jurisdiction commonwealth yang lain. Tahniah dan Syabas Kerajaan Perpaduan.
PENTADBIRAN NEGARA BERADA DI LANDASAN YANG BETUL
Kerajaan Perpaduan telah ditubuhkan pada 24.11.2022 dengan YAB Tambun mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Ke-10. Saya telah perhatikan pengumuman-pengumuman yang dibuat oleh PMX dalam memimpin negara.
- PMX ketika berucap pada perhimpunan bulanan pertama di Dataran Perdana Putra telah mengumumkan supaya tata kelola pentadbiran kerajaan baharu tidak boleh lagi berlaku kelulusan perolehan tanpa tender.
- PMX memberi amaran kedudukan fiskal negara tidak akan selesa, dengan keseluruhan hutang dan liabiliti berjumlah RM1.5 trilion serta bajet defisit ditetapkan sekitar 5.8% daripada KDNK untuk tahun lalu.
PMX berkata, Kerajaan Perpaduan pimpinannya tidak akan mengizinkan sebarang kebocoran, ketirisan dan rasuah terus berleluasa.
Walaupun berhadapan dengan keadaan sedemikian, PMX telah menolak mengembalikan semula cukai barangan dan perkhidmatan (GST) buat masa ini atau menaikkan cukai yang boleh memberi kesan kepada golongan miskin supaya tidak membebankan Rakyat.
Sebaliknya, Kerajaan sedang merancang pengurangan hutang negara dan mengecilkan jurang perbelanjaan tanpa menjejaskan program pembangunan.
Pendirian PMX di atas memberikan harapan dan hala tuju yang baik dan betul kepada Negara dalam usaha mara ke hadapan, dan saya percaya juga mendapat pengiktirafan daripada Rakyat.
Biar kita meneliti penilaian dan persepsi Rakyat terhadap pimpinan PMX.
Menurut kaji selidik terbaru firma tunjauan pendapat awam, Merdeka Centre, YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim terus menjadi tokoh pilihan rakyat dengan kadar penerimaan 68%. Kaji selidik tersebut dijalankan bermula 26.12.2022 hingga 15.01.2023 melibatkan 1,209 responden merentasi kaum dan agama. Menurut kajian yang sama, hanya 20% daripada responden menyatakan tidak berpuas hati dengan prestasi PMX.
Pada masa yang sama, tinjauan yang sama juga menyaksikan 54% pengundi berpuas hati terhadap prestasi Kerajaan Perpaduan pimpinan PMX dan 48% daripada responden berpendapat bahawa Malaysia berada di landasan yang betul berbanding 20% responden pada kajian sama Oktober lalu.
Sebanyak 77% Kerajaan Perpaduan dapat mewujudkan kestabilan dan keterangkuman dalam politik negara.
Kesemua ini walaupun hanya permulaan, tetapi ia menandakan permulaan yang baik, suatu permulaan yang mampu mengembalikan zaman kegemilangan negara yang kita nanti-nantikan.
PENTADBIRAN YANG BERSIH DAN TELUS
PMX telah menegaskan Kerajaan Perpaduan pimpinannya tidak akan mengizinkan sebarang kebocoran, ketirisan dan rasuah terus berleluasa.
Dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia yang diumumkan oleh Transparency International (TI) baru-baru ini, Malaysia menduduki tempat ke 61 dengan Skor 47, iaitu merosot 1 mata berbanding dengan Skor 48 pada tahun 2021. Skor 47 ini merupakan Skor yang paling rendah dalam masa satu dekad yang lepas.
Kedudukan Negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dan Skor yang kian merosot harus menjadi suatu indikator supaya Kerajaan dapat respon dan bertindak dengan segera. Pengumuman PMX supaya tidak ada lagi kelulusan projek Kerajaan tanpa tender adalah tepat pada masanya untuk mengubah keadaan ini.
Pada tahun 2019, Malaysia pernah mencatat Skor yang paling tinggi dalam satu dekad yang lepas dengan Skor 53, pada kedudukan yang terbaik iaitu 51. Namun, keadaan ini telah merosot sejak tahun 2020 sehingga kini.
Keazaman Politik dalam menangani rasuah oleh Kerajaan terdahulu pada tahun 2019 adalah penting dalam membawa Malaysia ke kedudukan seperti yang dinyatakan. Kerajaan boleh merujuk kepada cadangan-cadangan yang akan dibangkitkan dalam perbahasan ini dalam melaksanakan usaha membersihkan negara.
Pelan Anti Rasuah Nasional (National Anti-Corruption Plan-NACP) 2019-2023 yang dilancarkan untuk menyatukan semua inisiatif dan usaha berkaitan integritu, tadbir urus dan anti rasuah juga memainkan peranan yang penting dalam memberikan suatu nafas baharu dalam usaha pembanteras rasuah.
NACP yang merangkumi 17 objektid strategik dan 115 initiatif telah masuk ke tahun ke-5 dan terakhir, saya memohon supaya Kerajaan memandang serius setiap satu initiatif yang terkandung dan saya menyeru supaya Kerajaan dapat membentangkan kepada Dewan yang mulia ini berkenaan dengan pencapaiam tindakan-tindakan NACP yang terkini dalam Sidang Parlimen yang akan datang.
PEMERKASAAN PERANAN PARLIMEN DALAM ISU MEMBANTERAS RASUAH
Powers tend to corrupt, absolute power corrupts absolutely. Sikap kebertanggungjawaban eksekutif dalam perbelanjaan wang Rakyat harus dipupuk, untuk memastikan setiap satu sen yang dibelanjakan itu adalah tepat pada kegunaannya dan tidak melibatkan apa-apa salah guna kuasa.
Saya telah diberikan peluang untuk duduk dan berkhidmat dalam Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negera (PAC) dalam 4 tahun yang lepas dalam Dewan ini, atas kapasiti sebagai Ahli Parlimen Ipoh Timor. Banyak yang telah saya dan ahli-ahli Jawatankuasa saya nampak, siasat dan tegur. Kami nampak bagaimana selalunya satu nota atau ulasan daripada Perdana Menteri atau Menteri, mampu mengubah segalanya, dan mampu untuk mengubah dari prosedur tender kepada rundingan terus.
Parlimen mampu memainkan peranan yang penting dalam membantu usaha untuk membawa suatu pentadbiran yang bersih, telus dan tanpa rasuah, khasnya melalui PAC dan juga Parliamentary Select Committee yang ditubuhkan untuk pemantauan Kementerian-Kementerian masing-masing. Peranan JK-JK ini harus diperkasakan.
- Akta Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia 2009 dipinda untuk membolehkan SPRM memberikan maklumat kes-kes terbabit kepada PAC apabila perlu, untuk membantu PAC dalam segala siasatan.
- Parlimen Penggal yang lepas telah menubuhkan tidak kurang daripada 10 PSC yang bertanggungjawab untuk mementau polisi-polisi dan keputusan-keputusan Kementerian yang terbabit. Namun, isu yang selalu timbul adalah saksi-saksi yang dikehendaki oleh PSC enggan hadir ke Prosiding PSC dan menyebabkan prosiding tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna.
- Prosiding PAC dan PSC secara terbuka. Isu ini telah dibangkitkan berkali-kali tetapi tidak pernah diberikan perhatian serius oleh Kerajaan dan Parlimen. Apabila sidang Parlimen boleh dipaparkan secara LIVE di atas kaca TV, tidak ada apa-apa alasan yang harus membatas prosiding PAC dan PSC turut diadakan secara LIVE juga.
- Apabila kita berbincang dengan peranan PAC dan PSC, Parlimen ini turut perlu memastikan Laporan-Laporan PAC dan PSC diberikan ruang untuk dibahas dalam Sidang Parlimen. Peraturan Mesyuarat yang sedia ada tidak mewajibkan Laporan-Laporan tersebut dibahas, dan kebanyakan masanya Laporan yang dibentangkan hanya sekadar suatu dokumen yang diletak di atas meja Ahli-Ahli Parlimen sahaja dan tidak diberikan perhatian lanjut.
SPRM merupakan ahli ex-officio bagi PAC. Peranaan SPRM adalah untuk membantu PAC dalam melaksanakan tanggungjawabnya. Namun, ada kalanya SPRM menggunakan peruntukkan daam Akta SPRM yang merangkumi batasan untuk memberi maklumat bagi kes-kes di bawah siasatan untuk tidak menjawab soalan-soalan “sukar” daripada PAC. Pada masa yang sama, berlaku juga surat-menyurat antara Kementerian yang dikatakan diklasifikasi sebagai SULIT dan tidak dapat diberikan.
Berbeza dengan punca kuasa yang ada pada PAC, PSC yang ditubuhkan tidak mempunyai kuasa mutlak untuk memaksa atau mewajibkan kehadiran seseorang saksi. Perkara ini harus diselesaikan oleh Kerajaan dan Parlimen sebagai satu usaha pembaharuan Institusi Parlimen.
Saya cadangkan, sebagai langkah interim sementara menunggu pindaan Peraturan Mesyuarat atau undang-undang yang berkaitan:
(i) Ketua Setiausaha Negara (KSN) boleh mengeluarkan suatu Pekeliling untuk mewajibkan kehadiran Pegawai Pengawal iaitu KSU ke prosiding PSC apabila dipanggil;
[Berbanding dengan Arahan Perbendaharaan 304(b) yang mewajibkan semua Pegawai Pengawal hadir ke Prosiding PAC]
(ii) Term of Reference (TOR) penubuhan PSC haruslah ditambahbaik supaya PSC boleh mengendalikan apa-apa perkara berkaitan tanpa merujuk semula kepada Menteri yang terbabit.
Isu ini melibatkan hak mengetahui oleh Rakyat, this is all about first hand information, dan segala keterangan yang diberikan dalam prosiding JK dapat dinilai oleh Rakyat sendiri. Saya berharap perkara ini dapat ditangani dengan segera oleh Kerajaan dan Speaker baharu kita.
Memang di bawah peruntukkan Peraturan Mesyuarat, usul berkenaan dengan perbahasan laporan-laporan berkenaan boleh dimasukkan oleh mana-mana Ahli Dewan Rakyat, termasuklah Pengerusi PAC / PSC dalam kapasitinya sebagai Ahli Dewan, namun samaada it will see the light at the end of the day adalah bergantung kepada budi bicara Eksekutif dan Speaker.
Di manakah otonomi PAC / PSC sekiranya setiap kali permintaan untuk perbahasan adalah bergantung kepada Eksekutif atau Speaker? Kita boleh laksanakan pembaharuan. Saya dengan ini mencadangkan Parlimen menetapkan 1 hari setiap 2 minggu persidangan bagi tujuan perbahasan laporan-laporan PAC / PSC sekiranya terdapat laporan yang dibentangkan.
Kini, kita sudah masuk ke Penggal Kedua, Parlimen Ke-15. Seperti yang dinyatakan tadi, kita akan mengadakan sidang sepanjang 7 minggu.
Saya berharap pelantikan Pengerusi dan Naib Pengerusi PAC serta ahli-ahlinya dapat dimuktamadkan selewat-lewatnya minggu depan, diikuti dengan penubuhan PSC-PSC untuk memantau polisi-polisi Kementerian2 tertentu.
Sekiranya pelantikan ahli-ahli PAC dapat dimuktamadkan minggu hadapan, maka ia boleh terus mula kerja dan andaikan setiap minggu PAC bermesyuarat 3 hari, maka pada akhir sidang ini PAC mampu untuk mengadakan mesyuarat untuk 15 hari, suatu masa yang cukup untuk meneliti 2 hingga 3 isu dan menyiapkan sekurang-kurangnya 1 Laporan.
Tambahan pula, Laporan Ketua Audit Negara terkini dijangka juga akan dibentangkan oleh Ketua Audit Negara dalam masa 2 hari lagi. Sudah tentulah banyak isu akan dibangkitkan dan memerlukan perhatian segera.
Satu Kerajaan yang baik haruslah digandingi dengan suatu sistem pemantauan legislative yang efisien. Usaha pembaharuan institusi tidak akan lengkap tanpa suatu PAC / PSC yang diberikan kuasa dan perhatian penuh.
Let us waste no time, not even a second, we have to do something great and big next 7 weeks.
CABARAN KERAJAAN DENGAN HUTANG NEGARA YANG TINGGI
Seperti yang didedahkan oleh YAB PM pagi tadi, hutang Negara sekarang telah mencecah RM1.5 trillion. Bayaran Khidmat Hutang berbanding dengan Hasil adalah sebanyak 14% pada tahun 2022 dan dijangka akan melonjat ke 16% pada tahun 2023.
Keadaan “pinjam untuk bayar hutang” merupakan sesuatu yang amat merunsingkan. Keadaan sebegini telah berkali-kali disebut dan ditekan dalam Laporan Ketua Audit Negara dalam Laporannya terhadap Penyata Kewangan Negara.
AGIHAN TERIMAAN PINJAMAN KASAR RM217.201 BILION
- Pada tahun 2021, Kerajaan membuat pinjaman kasar berjumlah RM217.201 bilion, meningkat sebanyak 11.6 % daripada RM194.55 bilion pada tahun 2020. Sebanyak 52.4 % atau RM113.764 bilion digunakan untuk bayaran prinsipal pinjaman matang.
- Pinjaman kasar yang dipindah ke Kumpulan Wang Pembangunan adalah sebanyak RM62.317 bilion, bersamaan dengan 28.7% daripada julah pinjaman. Manakala pindahan ke Kumpulan Wang Covid adalah sebanyak RM38 bilion atau 17.5%.
- Daripada jumlah RM62.317 bilion yang dipinda ke Kumpulan Wang Pembangunan, hanya RM40.994 bilion (65.8%) digunakan untuk tujuan Perbelanjaan Pembangunan, berbanding dengan RM37.530 bilion (77.3%).
- Manakala sejumlah RM12.612 bilion (20.2%) digunakan untuk tujuan menanggung Liabiliti PFI dan Komitmen Jaminan, dan RM8.711 bilion (14%) digunakan untuk tujuan Pengelasan Belanja Mengurus Kepada Pembangunan.
PERATUSAN PERBELANJAAN PEMBANGUNAN
Keadaan ini amat membimbangkan. Hutang negara akan bertambah seperti snowball sekiranya keadaan “pinjam untuk membayar hutang” ini tidak berubah. Saya memohon Kerajaan supaya mengumumkan langkah-langkah penyelesaian dalam menghadapi masalah ini dalam Bajet 2023 yang bakal dibentangkan.
BUKIT LARUT
Dalam PRU15 baru-baru ini, saya telah diamanahkan oleh Parti untuk bertanding dan berkhidmat di suatu kawasan baharu, sebuah Bandar Warisan Sejarah, Parlimen Taiping, yang mempunyai bukit yang cantik, tasik yang indah dan tempat yang menarik.
Bukit Larut merupakan kebanggaan warga Taiping sepanjang masa ini. Kawasan Bukit Larut merupakan kawasan tanah tinggi yang paling basah di Malaysia, hampir setiap hari dan petang hujan bukit turun di kawasan ini.
Bukit Larut yang mempunyai sejarah lebih daripada 139 tahun, suhu pada hari siang ialah di antara 15 hingga 25 darjah Celsius dan boleh mencecah 10 darjah Celsius pada waktu malam, dilengkapi dengan banglo-banglo yang dibina dalam zaman British.
Namun, sejak tahun 2019, insiden runtuhan tanah yang serius telah kerap berlaku dan menyebabkan Bukit Larut terpaksa ditutup sehingga kini. Usaha-usaha pemulihan telah dilaksanakan oleh JKR, namun baru-baru ini iaitu pada bulan lepas berlaku lagi insiden runtuhan di spot-spot yang berlainan.
Saya memohon JKR dapat menjadikan projek pemulihan insiden runtuhan tanah Bukit Larut sebagai projek priority dan mempercepatkan kerja-kerja pemulihan. Saya juga mencadangkan supaya Kementerian Pelancongan dapat memberikan peruntukkan untuk menaiktarafkan Bukit Larut, biarpun di atas bukit atau di kaki bukit, sebagai usaha untuk mengembalikan Bukit Larut sebagai satu tarikan pelancong utama.
KESIMPULAN
Sebelum saya mengakhiri perbahasan saya pada petang ini, saya ingin mengmabil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan kepada pengundi-pengundi Kawasan Parlimen Taiping yang telah memberikan kepercayaan kepada saya untuk mewakili Pengundi-Pengundi Taiping dalam masa 5 tahun yang akan datang. Dengan mandate dan sokongan yang diberikan kepada saya, saya akan buat yang terbaik untuk membantu Kerajaan dalam mebina semula negara kita yang tercinta. Tidak lupa juga saya ingin merakamkan penghargaan kepada pengundi Ipoh Timor yang telah memberikan sokongan kepada saya sekian lama, 2 penggal sebagai ADUN dan 1 penggal selaku Ahli Parlimen.
Akhirnya, saya ingin memetik Titah Diraja Tuanku “semenjak negara mencapai kemerdekaan 66 tahun yang lalu, kita telah menerima kemajmukan dan kepelbagaian yang wujud sebagai kekuatan utama negara. Pada usia 66 tahun, kita sepatutnya telah matang untuk menjadikan perbezaan yang unik ini sebagai rencah utama dalam pembentukan sebuah bangsa Malaysia yang saling sayang menyayangi, menghormati antara satu dengan yang lain, toleran dan hidup dalam sebuah kesepaduan yang utuh.”
Kepelbagaian kaum dan agama merupakan sesuatu yang unik bagi negara kita, dan tidak dapat ditandingi oleh mana-mana negara yang lain. Kemajmukan dan kepelbagaian masyarakat adalah kekuatan kita untuk mara ke hadapan. Saya berharap kita semua dalam mengikuti Titah Tuanku dan bersama-sama untuk membangunkan negara yang tercinta ini.
Dengan ini, saya memohon menyokong.