Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak seharusnya menghampakan Rakyat atas keberanian beliau untuk menghadapi perbicaraan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd yang dijadualkan bermula pada 03.04.2019.
Hanya pada hari semalam, Najib Razak telah memuatkan dua posting dalam Facebook beliau yang berbunyi:-
“Saya akan menyokong siaran langsung kerana ia akan membantu ketelusan dan memastikan “Rule of Law” dipatuhi. Rakyat mempunyai hak untuk tahu kebenaran.” (31.03.2019 @ 8.40 pagi)
“Saya tak faham. Bagaimana pulak orang duduk di rumah untuk tonton “live” boleh menyebabkan perbicaraan mahkamah ini menjadi sarkas? Apa nak takut?” (31.03.2019 @ 3.06 petang)
Pada ketika itu, Najib Razak nampaknya telah menunjukkan keberanian, keyakinan dan kesungguhan beliau untuk menghadapi perbicaraan SRC yang akan datang dengan suatu sikap “let it tells all” dalam pembuktian ketidaksalahan beliau dalam pendakwaan tersebut. Sememangnya ramai sudah kagum ke atas keberanian dan percaya dengan sikap “nothing to hide” beliau pada masa itu.
Namun, hanya dalam suatu jangka masa tidak sampai 24 jam, tindakan Najib Razak sendiri telah menunjukkan muka sebenar beliau. Peguam beliau, Harvinderjit Singh telah memaklumkan kepada Mahkamah bahawa anakguamannya telah memfailkan permohonan semakan terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan yang tidak membenarkan perbicaraan kes SRC ditangguhkan.
Sekiranya Najib Razak adalah begitu yakin tehadap ketidaksalahan beliau, beliau harus menggunakan peluang ini untuk mempercepatkan segala urusan perbicaraan kes SRC dan membuktikan beliau adalah tidak bersalah melalui proses perbicaraan Mahkamah yang sedia.
Tindakan Najib Razak jelas menunjukkan bahawa beliau hanya mahu mencipta satu persepsi kesanggupan beliau untuk perbicaraan diadakan secara “live”, tetapi pada hakikatnya beliau tidak terhenti-henti hendak mengelakkan dirinya daripada menghadapi pebicaraan di Mahkamah.
Suatu U-Turn yang begitu besar oleh Najib Razak sudah tentu tidak selari dengan sikap sebenar yang diharapkan daripada seorang yang mengelarkan dirinya sebagai Bossku baru-baru ini. Sekarang sampaiah masa Rakyat Tanya Najib Razak: “Apa mau takut?”