Khabar angin mengatakan kerajaan akan menangguhkan pembentangan RUU anti lompat parti di parlimen. Oleh itu, saya ingin bertanya kepada Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri, adakah pembentangan RUU anti lompat parti akan dilakukan pada minggu hadapan iaitu minggu terakhir bagi sesi parlimen penggal ini?
Jika kerajaan tidak berhasrat untuk membawa usul RUU anti lompat parti ini pada minggu hadapan, sila umumkan segera. Supaya pihak saya dapat membuat rancangan awal bagi memilih Perdana Menteri baru yang bersungguh-sungguh dan menyokong RUU anti lompat parti ini.
Suka juga saya ingatkan kepada Yang Amat Berhormat Ismail Sabri bahawa beliau telahpun berjanji kepada rakyat semasa menandatangani perjanjian Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Pakatan Harapan untuk membawa RUU anti lompat parti di parlimen pada sesi penggal ini. Janganlah menjadi Perdana Menteri yang bermuka-muka dengan segala sandiwara di depan TV, para media dan rakyat Malaysia.