Laporan Jurang Gender Global 2022 oleh Forum Ekonomi Dunia (WEF) telah menunjukkan Malaysia berada di kedudukan ke 103 daripada 146 buah negara, angka ini menunjukkan suatu peningkatan berbanding pada 2021 yang mana Malaysia pernah berada di posisi ke-112 daripada 156 buah negara.
Namun begitu, kita masih dibelakangi oleh negara Singapura (49), Thailand (79) dan Indonesia (92).
Laporan itu menanda aras kemajuan jurang berasaskan jantina dalam empat bidang, iaitu penyertaan dan peluang ekonomi, pencapaian pendidikan, kesihatan dan kelangsungan hidup serta pemerkasaan politik.
Walaupun laporan itu menunjukkan bahawa golongan wanita di Malaysia mencapai skor yang tinggi dalam akses kepada kesihatan dan pendidikan, namun penglibatan mereka dalam arena politik masih kekal rendah, iaitu pada skor 123.
Ia menekankan bahawa hanya 15% daripada ahli parlimen negara adalah wanita, manakala hanya 16.1% jawatan menteri dipegang oleh wanita.
Oleh itu, lebih banyak program dan polisi perlu dilakukan untuk memastikan kesaksamaan gender dalam arena politik Malaysia.
Saya juga ingin mengambil peluang ini untuk mencadangkan kepada YAB Perdana Menteri, Dato Seri Ismail Sabri untuk menggunakan contoh polisi Keterangkuman Gender (Gender Inclusiveness Policy) seperti yang diguna pakai di negeri Pulau Pinang dalam usaha merapatkan jurang gender.
Polisi ini dapat memastikan peluang yang sama diberikan kepada golongan lelaki dan wanita dalam peringkat pembuat keputusan mengikut nisbah 40% lelaki, 40% wanita dan 20% terbuka kepada kedua-dua lelaki dan wanita yang berkelayakan. Ia juga dapat mengelakkan komposisi satu gender melebihi 60% dan mengelakkan dominasi satu gender sebagai pembuat keputusan.
Melalui polisi ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah meluluskan cadangan untuk melantik sekurang-kurangnya 30 peratus wanita di peringkat Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Ahli Lembaga Pengarah anak-anak syarikat Kerajaan Negeri (GLC), tertakluk kepada kelayakan dan kesesuaian calon yang dipertimbangkan.
Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga merupakan satu-satunya negeri yang memperkenalkan pelbagai inisiatif ke arah menggalakkan kesaksamaan gender dan penglibatan wanita dalam politik.
Ini termasuk program Sidang Wanita yang dirangka khusus untuk mencungkil bakat para pemimpin wanita.
Saya yakin apabila program-program dan polisi sebegini dapat dijadikan sebagai contoh kepada Kerajaan Pusat, maka kita mampu merapatkan jurang penglibatan wanita dalam arena politik demi kesejahteraan bersama.