Skip to content

Perdana Menteri haruslah menunaikan janji untuk memansuhkan Akta Hasutan

Hari ini Majlis Peguam Malaysia menganjurkan “Walk for Justice” dan disertai oleh lebih 1,000 peguam yang menuntut Akta Hasutan dimansuhkan.

Saya ingin ingatkan Kerajaan dan ahli-ahli yang berhormat BN tentang “walk for justice” anjuran Majlis Peguam Malaysia, “when lawyers walk, something must be very wrong.”

Pada tahun 2012, YAB Perdana Menteri telah berjanji untuk memansuhkan undang-undang yang drakonian, yang digubal sejak era penjajahan British, iaitu Akta Hasutan, tetapi undang-undang ini masih wujud hingga tahun 2014 pada hari ini.

Janji beliau masih belum ditunaikan, tetapi sebaliknya kini lebih ramai tokoh politik, aktivis dan malah pelajar didakwa di bawah Akta Hasutan 1948 di kebelakangan ini, termasuk saya yang didakwa kerana mengeluarkan klip video satira politik yang bertajuk “Onederful Malaysia” yang langsung tidak menyentuh sensitiviti kaum, agama dan Raja sebagaimana yang dituduh.

Apabila Perdana Menteri berucap tentang “jalan tengah” ataupun “moderation” di forum antarabangsa, Malaysia juga mendapat semakin banyak liputan media antarabangsa yang negatif atas “sedition blitz” yang merupakan “political crackdown”.

Kerajaan boleh beri apa-apa alasan, tetapi ia tidak boleh hilangkan dakwaan bahawa serangan hasutan ialah pendakwaan secara pilihan (selective prosecution) dan “double standard” yang mensasarkan tokoh pembangkang dan dissiden.

Ramai warga Malaysia, termasuk warga dari Sarawak merasa marah atas kenyataan yang dibuat oleh Menteri di JPM merangkap Ahli Parlimen YB Batang Sadong yang mempertahankan Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali dengan mengatakan Ibrahim Ali tidak didakwa atas kenyataan yang mengugut akan membakar Al-Kitab/Bible kerana kenyataannya adalah demi “mempertahankan Islam”.

Kenyataan YB Batang Sadong itu menunjukkan tahap “double standard” dalam sedition blitz ini, di mana Ibrahim Ali yang menghina agama lain dikatakan mempertahankan Islam, Jabatan Peguam Negara sudah sampai tahap yang begitu tidak masuk akal. Apakah Ibrahim Ali adalah lebih tinggi daripada undang-undang.

Dato Yang diPertua, mengikut laporan The Malaysian Insider pada 21 Mei 2014, bekas Peguam Negara Tan Sri Abu Talib Othman menyoal apakah saya patut didakwa di bawah Akta Hasutan atas klip video “Onederful Malaysia”. Beliau berkata, “Is this case a suitable benchmark for sedition in this country?”

Apakah Peguam Negara Terima Arahan Daripada Ketua-ketua Bahagian UMNO Untuk Menjalankan Pendakwaan?

Tan Sri Abu Talib Othman juga menyoal apakah siri pendakwaan oleh Jabatan Peguam Negara dilakukan atas tekanan daripada golongan tertentu untuk mensasar pemimpin pembangkang dan aktivis.

Sehubungan dengan itu, saya ingin tanya tentang kesahihan laporan berita bahawa ketua-ketua bahagian Umno telah hadir dalam pertemuan tertutup dengan Peguam Negara dan Ketua Polis Negara pada 14 Ogos 2014. Selepas berita ini disiarkan, Peguam Negara atau Ketua Polis Negara tidak membuat penafian sehingga hari ini.

Persoalannya ialah:

  1. Adakah Peguam Negara bertindak menurut arahan dari pemimpin-peminpin UMNO?
  2. Siapakah dan bahagian bahagian Umno manakah yang terlibat dalam pertemuan kontroversi tersebut
  3. Mengapakah Peguam Negara sekarang baru mengambil tindakan terhadap laporan-laporan polis yang sudah lama dibuat oleh ahli-ahli UMNO yang jelas bermotifkan politik sejurus selepas pertemuan pada 14hb Ogos ini?

Saya ingin minta pihak kerajaan dan Peguam Negara jawab kenyataan dan persoalan tersebut, dan juga kenyataan bekas Peguam Negara Tan Sri Abu Talib Othman. Kerajaan tidak boleh berdiam diri atas segala dugaan dan persoalan daripada pelbagai pihak tersebut.

Akta Hasutan 1948 Tidak Digubal Oleh Parlimen

Akta Hasutan 1948 tidak digubal oleh Parlimen kerana Tanah Melayu masih belum mencapai kemerdekaan dan masih di bawah jajahan British semasa akta ini digubalkan. Oleh itu, Akta Hasutan 1948 digubal sebagai ordinan, iaitu Ordinan 14, 1948 (Ordinan).

Bila Ordinan tersebut disemak semula oleh Pesuruhjaya Penyemakan Undang-Undang (Commissioner of Law Revision) pada tahun 1969 di bawah Akta Penyemakan Undang-Undang 1968, ia tidak membabitkan Parlimen.

Justeru itu, Akta Hasutan 1948 tidak boleh digunakan untuk menyekat kebebasan berucap yang termaktub dalam Perkara 10(1) Perlembagaan Persekutuan.

Saya ingin ingatkan Perdana Menteri Pepatah Cina: “虎死留皮,人死留名” (harimau mati tinggalkan kulit, manusia mati tinggalkan nama); seseorang pemimpin hanya dilihat mempunyai kredibiliti dan diingati dalam sejarah sekiranya dia mengotai janjinya untuk membawa reformasi dan penambahbaikan dalam dasar politik.

Layanan Adil Haruslah Diberi Kepada Semua Jenis Sekolah

Datuk yang diPetua, dalam Perhimpunan Agung MCA pada 12 Oktober baru-baru ini, YAB PM memberi jaminan kepada masyarakat Cina bahawa mereka tidak perlu bimbang tentang masa hadapan sekolah bahasa ibonda kerana hak mereka untuk belajar bahasa ibonda telah termaktub dalam Perlembagaan Negara dan undang-undang negara ini.

Ucapan atau jaminan PM di Perhimpunan Agung MCA adalah tidak mencukupi, beliau haruslah memastikan bahawa kenyataan daripada Menteri, Timbalan Menteri, Ahli Parlimen dan pemimpin akar-umbi di bahagian UMNO yang menyeru kerajaan untuk menghapuskan SJKC yang tidak sensitif dan berunsur hasutan dihentikan. Beliau sepatutnya memberi nasihat dan amaran kepada para anggota UMNO tersebut.

Selain itu, kerajaan juga haruslah adil kepada kesemua SJKC berlandaskan peruntukan Perlembagaan Negara kepada bahasa ibonda. Jaminan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan ini juga bermaksud bahawa kerajaan mestilah memberi bantuan penuh kepada pembangunan SJKC.

SJKC wujud sebelum Merdeka dan SJKC telah mengeluarkan pakar dan cendekiawan yang telah memberi sumbangan besar kepada pembangunan negara, tetapi kesalnya SJKC masih menghadapi banyak masalah yang selalu diabaikan oleh Kementerian Pendidikan, khususnya masalah kekurangan bilik darjah, SJKC tidak cukup, kekurangan guru dan ketidakcukupan peruntukan kerajaan.

Dalam bajet 2015, Menteri Kewangan merangkap PM mengumumkan RM 50 juta akan diperuntukkan kepada SJKC. Amaun ini memanglah terlalu sedikit dan tidak cukup untuk kegunaan SJKC di seluruh negara.

PM juga mengumumkan bahawa subsidi maksima bagi bekalan electrik dan air untuk SJKC akan meningkat daripada RM 2,000 kepada RM 5,000 setiap bulan. Peningkatan peruntukan ini tidak perlu diwar-warkan kerana perbelanjaan SJKC tersebut memang perlu ditanggungkan oleh kerajaan.

Saya ingin mengingatkan kerajaan bahawa pelbagai kaum adalah asset dan bukannya liabiliti dalam satu masyarakat majmuk yang mengandungi pelbagai kaum. SJKC dan SJKT tidak memecah-belahkan rakyat dan SJKC memang bukan halangan bagi perpaduan negara, tetapi parti politik yang hanya memperjuangkan kaum tertentu, seperti UMNO, MCA dan MIC, dan juga NGO yang mempelopori dasar perkauman yang menjejaskan perpaduan dan merosakkan hubungan di antara kaum.

Jadi sekiranya kerajaan ingin menutup apa-apa organisasi yang dikatakan menjejaskan perpaduan kaum, kerajaan haruslah mengambil tindakan terhadap parti politik dan pemimpinnya yang mengeluarkan kenyataan yang menyakitkan hati kaum lain dan merosakkan perpaduan kaum.

Perancangan Bandaraya di Kuala Lumpur

Datuk yang diPertua, saya pernah bangkitkan isu kelulusan densiti projek baru yang terlalu tinggi bagi pemaju di Kuala Lumpur di dewan yang mulia ini banyak kali, tetapi nampaknya DBKL tidak mengambil perhatian atas seruan saya dan penduduk di Kuala Lumpur, dan juga tidak mengambil perhatian tentang masalah yang dihadapi oleh penduduk dan pembayar cukai pintu di Kuala Lumpur.

Sebagai wakil rakyat di kawasan Parlimen Seputeh, saya telah banyak kali dijemput oleh penduduk yang marah untuk membantah cadangan projek yang mempunyai density yang tinggi di kawasan Parlimen saya, ini termasuk:

  1. Projek rumah mampu milik di Taman Nagamas di Salak Selatan, penduduk membantah kerana jalan yang sediada di Taman Salak Selatan memang tidak dapat menampung penambahan trafik daripada projek rumah mampu milik tersebut.
  2. Cadangan projek 3 blok kondominium yang mempunyai 277 unit di Lot 9582 di antara Jalan Gembira dan Jalan Awan Besar di Oversea Union Garden.
  3. Selain itu, saya juga terima aduan daripada penduduk di Taman Seputeh tentang projek kondominium 38 tingkat yang akan didirikan di lot 167, seksyen 94A di Jalan Robson, kerana jalan yang sediada hanya mempunyai kelebaran sebanyak 20 kaki yang memang terlalu sempit untuk menampung peningkatan trafik di tempat tersebut. SJKC Kuen Cheng II di Taman Seputeh telah mendatangkan banyak trafik di tempat itu, tapak berkenaan memang tidak mungkin dibenarkan untuk mendirikan kondominium yang mempunyai 38 tingkat.

Datuk yang diPertua, saya ingin minta DBKL untuk menjalankan kajian terhadap keadaan jalan dan trafik di kawasan yang sediada sebelum meluluskan apa-apa projek kondominium yang mempunyai density tinggi.

Sehubungan dengan itu, saya juga ingin minta DBKL untuk mengadakan perancangan bersama dengan pihak SPAD dan syarikat bas Rapid KL. Pihak DBKL tidak seharusnya meluluskan kesemua projek kondominium yang mempunyai density tinggi tanpa mengambil kira isu pengangkutan. Di banyak kawasan perumahan di kawasan Parlimen saya, penduduk memang menghadapi masalah dari segi pengangkutan awam, kerana di banyak tempat di kawasan saya, tiada perkhidmatan bas, tiada perkhidmatan LRT dan malah jarang nampak teksi di kawasan saya.

Di sini saya juga ingin mencadangkan supaya perkhidmatan bas di Kuala Lumpur dipindah daripada Kementerian/Jabatan Perdana Menteri kepada Kementerian Wilayah Persekutuan dan DBKL, supaya masalah pengangkutan awam boleh dikoordinasi dengan lebih baik.

Kes Penipuan dan Penyeludupan Kereta Terpakai Asing di Langkawi ke Semenanjung Malaysia

Datuk yang diPertua, YB Serdang dan saya pernah membangkitkan kes penipuan dan penyeludupan kereta terpakai asing di Pulau Langkawi ke Semenanjung Malaysia yang melibatkan agensi kerajaan beberapa kali, tetapi kami tidak terima jawapan yang kami hendaki setengah tahun selepas kami bangkitkan isu ini.

Kereta terpakai import yang berdaftar di Langkawi telah dibawa masuk ke Kawasan Utama Kastam (iaitu kawasan-kawasan lain yang dikenakan cukai sepenuhnya) dan kemudian ditukar menjadi kenderaan yang berdaftar di luar Langkawi dengan kelulusan daripada beberapa agensi kerajaan, termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam), Puspakom dan lain-lain.

Para pengadu yang membeli kereta dari Langkawi tersebut membuat pembelian berdasarkan dokumen sahih yang dikeluarkan oleh agensi-agensi terlibat. Tetapi selepas itu, mereka mula dihubungi oleh pegawai Kastam dan dimaklumkan bahawa kereta mereka adalah “Barang Belum Lulus Kastam”. Selepas itu, kereta mereka berkenaan disitakan oleh Kastam.

Pihak bank yang memberi pinjaman kepada pembeli kenderaan juga mengesahkan bahawa kereta terpakai tersebut adalah sah dari segi undang-undang dan ia bukannya “barang haram”.

Para mangsa pembeli telah melaporkan kes ini kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, tetapi tiadak apa-apa maklum balas sehingga sekarang.

Kebanyakan kenderaan bermasalah tersebut telah disita oleh pihak Kastam dan pembeli diminta untuk membayar duti kastam yang amat besar. Ini adalah tidak adil bagi mangsa pembeli tersebut.

YB Serdang dan saya pernah menulis surat dan minta perjumpaan dengan Menteri Dalam Negeri, Menteri Kewangan II dan Senator Datuk Paul Low, Menteri di JPM, tetapi tiada sesiapa menteri sudi berjumpa dengan kami, hanya Setiausaha sulit kanan kepada Menteri Senator Datuk Paul Low panjangkan surat kami kepada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 21 April 2014, tetapi kami tidak dapat apa-apa jawapan tentang perkembangan terbaru sehingga hari ini.

Kes penipuan yang melibatkan beberapa agensi kerajaan ini disyaki menyumbang kepada penembakan dan kematian Datuk Shaharuddin Ibrahim, bekas Timbalan Ketua Pengarah Kastam sebelum PRU13.

Saya bangkitkan isu ini di dewan yang mulia ini, dan saya minta kerajaan memberi tahu dewan yang mulia ini tentang perkembangan siasatan kes ini. Saya ingin tahu samada siasatan dan penangkapan SPRM terhadap jabatan kastam baru-baru ini melibatkan kes penipuan kenderaan dari Pulau Langkawi?

Apa yang para mangsa ini minta ialah kerajaan boleh mengecualikan bayaran duti import mereka kerana mereka ditipu oleh agensi kerajaan. Pihak kastam berkata hanya menteri boleh memberi pengecualian duti import ini, dan saya pohon bagi pihak mereka.

Open Government Partnership & Reformasi Parlimen

Datuk yang diPertua, negara kita telah mencapai kemerdekaan 57 tahun, tetapi sistem pemerintahan kita dan sistem Parlimen kita masih jauh daripada sistem di negara maju.

Semalam YB Pengerang berucap tentang wanita di Malaysia harus diperkasakan dan diberi kuota 30% dalam semua tahap kepemimpinan.
Seruan YB Pengerang bukannya lagu baru, sekiranya kerajaan ingin mencapai objektif 30% tempat pentadbiran diberi kepada wanita, maka sistem pilihan raya kita sekarang, iaitu: “First past the post” haruslah dikaji semula.

Banyak negara maju telahpun mengamalkan “Open Government Partnership” di mana Kerajaan dan NGO ataupun civil societies bekerjasama untuk meningkatkan ketelusan dan lebih responsif terhadap rakyatnya, dengan tujuan mutlaknya untuk menambahbaikkan kualiti dasar dan perkhidmatan awam, dan juga menggalakkan penyertaan orang ramai dalam pemerintahan sesuatu negara. Dengan ini, kerajaan boleh mentadbir negara dengan lebih berkesan.

Sejak OGP dilancarkan pada 3 tahun yang lepas, keahlian OGP telah meningkat daripada 8 ke 64 negara, dengan penyertaan beribu-ribu NGO dalam proses OGP pada tahap negara. Negara OGP mewakili 1/3 daripada jumlah populasi dunia.

Dalam workshop berkenaan dengan OGP anjuran IDEAS pada 13 Oktober baru-baru ini, beberapa agensi kerajaan seperti SPRM, Pemandu dan lain telahpun menghantar pegawai untuk menyertai workshop tersebut. Saya ingin minta Kerajaan untuk mengkaji konsep OGP ini dengan serius dan menjadi salah satu negara yang melaksanakan OGP.

Sehubungan dengan itu, saya juga ingin minta pihak Menteri yang menjaga Parlimen YB Arau untuk mengambil langkah untuk menjalankan reformasi dalam sistem penggubalan undang-undang di Parlimen.

Dato Saifuddin Abdullah, CEO kepada Global Movement of Moderates (GMM) dan bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi telah membentangkan pandangannya atas topik “Participatory Law-Making Process” kepada beberapa ahli-ahli Parlimen semalam.

Saya ingin mencadangkan pihak kerajaan dan YB Arau mendengar pandangan dan cadangan beliau, dan juga mengadakan workshop dengan para ahli Parlimen Pakatan Rakyat untuk membincangkan proses penambahbaikan fungsi dan penggubalan undang-undang di Parlimen.

“The Era Where The Government Knows Best Is Over”

Dalam satu ucpan Perdana Menteri, beliau pernah berkata “the era where the government knows best is over”. Beliau juga pernah berkata perlu adanya pendamaian nasional ataupun “national reconciliation”. Sekiranya kerajaan BN ingin menambahbaikkan imejnya, tibalah masanya bagi Kerajaan BN untuk berunding dengan pihak Pakatan Rakyat dan pihak NGO dan menambahbaikkan sistem pentadbiran yang sediada.

Sekian, terima kasih.