Skip to content

Perdana Menteri mesti memberi arahan kepada Ismail Sabri untuk menarik balik kenyataannya dan meminta maaf atas tuduhan yang tidak berasas

Artikel 3 (1) e dalam Akta Hasutan 1948 menyatakan “sesuatu ‘kecenderungan menghasut’ ialah kecenderungan bagi mengembangkan perasaan niat jahat dan permusuhan antara kaum atau golongan penduduk yang berlainan di Malaysia.”

Kenyataan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri, dalam laman facebook nya, menyeru orang Melayu untuk memboikot-kan peniaga-peniaga Cina telah menimbulkan pelbagai perasaan benci dan dengki di kalangan orang Melayu terhadap bukan sahaja peniaga-peniaga Cina tetapi orang Cina secara umum.

Bukti ini jelas boleh diperhatikan dalam laman facebook Ismail Sabri melalui petikan seperti yang berikut:

Ada komen yang menyifatkan golongan peniaga Cina sebagai lintah darat dan menyeru orang Melayu untuk isytiharkan peperangan terhadap golongan ini. Ada komen yang menggambarkan orang Cina menghina orang Melayu. Ada komen yang mengatakan bahawa orang Cina adalah bangsat. Ada komen yang menggunakan contoh ini sebagai ‘bukti’ bahawa orang Melayu sedang ditindas oleh orang Cina.

Kenyataan Ismail Sabri memang tidak berasas, tidak bertanggungjawab dan telah menimbulkan perasaan benci dan dengki terhadap orang Cina secara umum.

Ada pelbagai sebab kenapa peniaga-peniaga, tidak kira bangsa, tidak menurunkan harga walaupun harga minyak telah turun. Harga minyak adalah sebahagian kecil daripada kos barangan. Walaupun harga minyak telah turun, tetapi gaji pekerja-pekerja tidak diturunkan, harga elektrik tidak diturunkan, harga tong gas tidak diturunkan, harga kereta tidak diturunkan, sebagai beberapa contoh sahaja. Oleh kerana kesusutan nilai mata wang ringgit, harga barang import bukan sahaja tidak turun tetapi telah menaiki!

Saya menyeru Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, sebagai Perdana Menteri yang sepatutnya menjaga keharmonian negara dan hubungan baik di antara kaum, supaya memberi arahan kepada Ismail Sabri untuk meminta maaf atas kenyataannya dan juga menarik balik tuduhan-tuduhan yang tidak berasas terhadap peniaga-peniaga Cina. Jikalau Perdana Menteri gagal membuat demikian, lebih baik slogan 1 Malaysia dicampak ke dalam tong sampah.