Saya telah menerima jawapan bertulis parlimen yang mengesahkan bahawa laman web Foreign Workers Centralised Management System (FWCMS) https://fwcms.com.my yang diumumkan oleh kerajaan sebagai laman web untuk Program Rekalibrasi/Pemutihan pekerja asing tanpa izin (PATI) bermula dari 1hb Julai 2021 sebenarnya tidak berfungsi. Kerajaan tidak membuat penjelasan kepada orang ramai dan mereka yang telah membuat permohonan melalui laman web tersebut merasa kecewa dan telah menyampaikan aduan mereka kepada saya.
Dalam sidang Parlimen, saya telah meminta penjelasan daripada Menteri Dalam Negeri Dato ’Seri Hamzah bin Zainuddin. Beliau hanya menjawab secara samar-samar mengatakan bahawa laman web Foreign Workers Centralised Management System digunakan tetapi memandangkan Program Rekalibrasi ini merupakan inisiatif Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Sumber Manusia menggunakan sistemnya sendiri dan mengintegrasikannya dengan Sistem MyIMMs Jabatan Imigresen Kementerian Dalam Negeri.
Apabila saya mendesaknya untuk menyatakan dengan jelas langkah-langkah yang harus diambil untuk permohonan tersebut, beliau mengelak dari menjawab saya dengan hanya mengatakan bahawa 300,000 permohonan telah mendapat kelulusan.
Saya telah menghantar seorang wakil saya ke Pejabat Imigresen di Putrajaya pada 29hb September 2021 untuk mengeathui langkah-langkah yang perlu diambil untuk permohonan Rekalibrasi/Pemutihan PATI. Beliau diberitahu untuk membuat permohonan melalui laman web Sistem Pengurusan Pekerja Asing Bersepadu https://www.eppax.gov.my. Namun, apabila permohonan dibuat melalui laman web ini, kami mendapat respons bahawa laman web ini sedang dalam penyelenggaraan.
Persatuan Minyak Sawit Malaysia telah menganggarkan industri sawit negara kita akan kehilangan sekitar RM20.0 bilion dan kerajaan akan kehilangan cukai sekitar RM2.0 bilion tahun ini akibat kekurangan pekerja. Lebih penting lagi, PATI sering menjadi mangsa dan mereka tidak berani mendapatkan rawatan perubatan apabila mereka cedera atau sakit kerana takut ditangkap oleh pihak berkuasa. Adalah tidak berperikemanusiaan kita menyebabkan manusia lain hidup dalam keadaan senang dimangsakan dan dalam ketakutan. Imej negara kita akan rosak teruk sekiranya penderitaan dan kematian PATI dalam negara kita disebabkan mereka takut mendapatkan rawatan perubatan dilaporkan di negara asal mereka dan di peringkat antarabangsa. Kerajaan kita juga kehilangan pungutan levi beratus juta ringgit yang amat rela dibayar oleh pemohon-pemohon.
Saya tidak percaya kepada jawapan Menteri Dalam Negeri bahawa 300,000 kelulusan telah diberikan di bawah program Rekalibrasi/Pemutihan PATI. Sekiranya terdapat begitu banyak permohonan yang telah diluluskan, tidak akan ada begitu banyak aduan tentang permohonan Rekalibrasi/Pemutihan PATI.
Saya meminta Perdana Menteri segera memanggil Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Saravanan Murugan untuk menjelaskan mengapa sistem permohonan program Rekalibrasi/Pemutihan PATI tidak berfungsi dan samada jawapan Menteri Dalam Negeri bahawa sistem permohonan ini berfungsi dengan baik dan 300,000 permohonan telah diluluskan itu benar. Perdana Menteri tidak harus menunggu hingga 100 hari untuk kad laporan prestasi mereka