Perdana Menteri Tan Sri Muhyddin Yassin tidak patut membuat kesimpulan bahawa penurunan kecil dalam kadar pengangguran pada Jun 2020 ke 4.9% dari kadar paling tinggi dalam sejarah 5.3% pada Mei 2020 menjadi alasan mengapa kerajaan enggan melanjutkan moratorium pembayaran balik pinjaman bank selama 6 bulan lagi apabila tempoh moratorium kini tamat pada 30 September 2020. Malah, penurunan kadar pengangguran tersebut membuktikan keberkesanan dan keperluan mendesak moratorium pembayaran balik pinjaman bank serta pelanjutannya sehingga 31 Mac 2021.
Mengikut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), jumlah yang menganggur dianggarkan seramai 773,200 orang, iaitu penurunan dari 826,100 orang pada bulan sebelum ini. Namun, tahun-ke-tahun, jumlah yang menganggur masih meningkat seramai 251,800 orang. Bilangan penganggur yang besar amat membimbangkan kerana kesan pengangguran terhadap kehidupan sosial dan ekonomi rakyat Malaysia, terutamanya golongan miskin. Kadar penyertaan buruh pada bulan Jun ialah 68.1% berbanding 68.9% pada Januari 2020.
Moratorium pembayaran balik pinjaman bank yang diberikan oleh institusi kewangan berkuatkuasa 1 April telah dianggarkan akan berjumlah RM66.6 bilion setakat 31 Julai, di mana RM23.3 bilion akan memanfaatkan sektor perniagaan dan RM43.3 bilion memanfaatkan orang awam. Justeru, keengganan kerajaan PN untuk melanjutkan moratorium tersebut untuk tempoh 6 bulan lagi akan mengakibatkan 7.7 juta peminjam individu dan 245,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tidak dapat mendapat manfaat RM66.6 bilion.
Kedegilan kerajaan amat dikesali sedangkan kos moratorium 6 bulan kepada pihak bank sebanyak RM6.4 bilion amat kecil berbanding manfaat RM66.6 bilion kepada rakyat biasa dan perniagaan Malaysia. Ini merupakan pengorbanan yang kecil di pihak bank setelah sektor tersebut mendapat keuntungan selepas cukai sebanyak RM32 bilion pada 2019.
Jika pihak bank tidak rela untuk menanggung kos RM6.4 bilion, kerajaan persekutuan boleh sahaja menanggung kos RM6.4 bilion tersebut bagi membantu 7.7 juta peminjam individu dan 245,000 PKS. Dengan unjuran pertumbuhan KDNK yang lebih lemah di suku kedua tahun ini yang akan diumumkan, keadaan amat mendesak untuk meneruskan langkah-langkah ekonomi yang boleh melindungi rakyat biasa dan perniagaan Malaysia daripada kesan buruk Covid-19.
Pelanjutan moratorium pembayaran balik pinjaman bank adakah antara langkah utama untuk menyelamatkan pekerjaan dan perniagaan-perniagaan kecil Malaysia. Jika tidak, bukan sahaja kadar pengangguran akan meningkat semula selepas 30 September, malah banyak perniagaan kecil akan gulung tikar.
Kegagalan kerajaan untuk memberikan pelanjutan moratorium hanya akan menimbulkan kesangsian terhadap pakej ransangan ekonomi PRIHATIN yang kononnya bertujuan untuk membantu negara mengharungi krisis ekonomi Covid-19 tetapi realitinya lebih indah khabar dari rupa, dan hanya menguntungkan pihak tertentu sahaja bukan rakyat biasa serta PKS Malaysia.