Skip to content

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin harus menghormati titah diraja yang menolak permintaannya untuk mengisytiharkan darurat nasional untuk memerangi gelombang COVID-19 ke-3, yang mencatat jumlah jangkitan tertinggi

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin harus menghormati titah diraja yang menolak permintaannya untuk mengisytiharkan darurat nasional untuk memerangi gelombang COVID-19 ke-3, yang mencatat jumlah jangkitan tertinggi. Daripada menjunjung setia titah diraja seperti yang diperlukan mengikut kapasitinya sebagai Perdana Menteri, Muhyiddin masih mencuba untuk memberikan alasan perlunya keadaan darurat dan nampak tidak berputus asa untuk membuat permintaan serupa di masa depan.

Alasan darurat yang diberikan Muhyiddin adalah untuk mengelakkan pilihan raya kecil Batu Sapi yang akan datang di Sabah, dan kemungkinan pilihan raya negeri Sarawak diadakan kerana dikhuatiri akan memburukkan penularan COVID-19, adalah tidak masuk akal. Artikel 150 Perlembagaan juga membenarkan keadaan darurat diisytiharkan di daerah setempat sebagaimana yang diakui oleh Muhyiddin, dan bukan hanya darurat di seluruh negara.

Ramai ahli dan pakar undang-undang tidak setuju bahawa hanya keadaan darurat yang dapat menghalang pilihan raya diadakan, dan terbaru cadangan alternatif oleh Andrew Khoo daripada Majlis Peguam. Sebaliknya ramai yang melihat permintaan pengisytiharan darurat sebagai cubaan untuk memperkukuh dan memperkuat kekuasaannya yang lemah.

Jelas bahawa Muhyiddin telah hilang majoritinya dalam kerajaan dengan ugutan setiap hari daripada UMNO untuk menarik balik sokongan daripada kerajaan PN. Disebabkan ini, dia tidak mahu Parlimen bersidang, takut usul tidak percaya dan Belanjawan 2021 mungkin tidak diluluskan. Darurat adalah kaedah paling mudah dan senang untuk mengatasi masalah dan kelemahan politiknya.

Namun, darurat akan membawa kesan serius dan akibat buruk terhadap ekonomi, keyakinan pelabur, sistem demokratik dan perpaduan nasional. Muhyiddin harus berhenti mengutamakan kepentingan survival politiknya sendiri tetapi sepatutnya fokus menyatukan rakyat untuk bersama-sama memerangi gelombang ketiga jangkitan COVID-19

Kerajaan PN boleh bermula bertindak dengan penuh tanggungjawab, dimulai dengan Belanjawan Perpaduan 2021 yang merangkumi semua input dan menggabungkan dasar daripada luar kerajaan yang memberi manfaat kepada rakyat biasa untuk menyelamatkan pekerjaan, perniagaan dan mata pencarian.