Semalam, dalam keadaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan tempoh Darurat, saya telah diberikan notis bertulis oleh polis untuk berjumpa dengan mereka di Pulau Pinang. Saya telah memberikan kerjasama penuh melalui perjumpaan dengan pegawai polis Bukit Aman yang diketuai ASP Ee Hup Leng pada hari yang sama untuk merekod kenyataan saya.
Polis sedang menyiasat dua kenyataan awam yang dibuat oleh saya pada 2019, ketika saya masih berada dalam kerajaan. Polis memaklumkan saya bahawa saya sedang disiasat di bawah Seksyen 504 dan 505C Kanun Keseksaan. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua penyokong yang telah meluahkan kebimbangan mendalam tentang dorongan politik untuk menyiasat kenyataan awam yang dibuat pada 2019 ketika saya masih berada dalam kerajaan.
Saya berharap polis juga akan merekod kenyataan pemimpin-pemimpin PAS dan Perikatan Nasional (PN) dengan cara yang sama semasa tempoh ini. Banyak laporan polis telah dibuat terhadap mereka kerana mengeluarkan ungkapan berbaur perkauman dan pelampau agama. Namun, tiada sebarang perkembangan terhadap status laporan-laporan polis tersebut.
Jika polis boleh bertekad untuk merekod kenyataan saya semasa PKP dan tempoh Darurat, maka lebih banyak alasan lagi untuk membenarkan sidang Parlimen berfungsi secara biasa. Tiada sebab untuk Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menggantung Parlimen dan melarang Parlimen bersidang.
Parlimen telah berfungsi dengan normal dan bersidang pada setiap masa walaupun empat Pengisytiharan Darurat yang lama masih belum dimansuhkan. Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah melakukan kesalahan menggantung Parlimen. DAP menyokong seruan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar untuk satu petisyen di kalangan semua Ahli Parlimen bagi membatalkan penggantungan Parlimen dan memulihkan Parlimen.