Skip to content

Perhalusi SOP : Tiada perarakan kereta pedati berhias bermakna tiada Thaipusam

Saya percaya SOP sambutan Thaipusam boleh diubah memandangkan ianya masih belum dimuktamadkan lagi. Menteri Perpaduan Negara Datuk Wira Halimah memberitahu Dewan Rakyat bahawa SOP Thaipusam 2022 telahpun siap setelah rundingan dibuat dengan 10 orang wakil pihak kuil di seluruh negara bersama-sama dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementetian Kesihatan Malaysia (KKM).

Walau bagaimanapun ada 2 lagi mesyuarat yang perlu dilalui dalam proses memuktamadkan SOP tersebut. Beliau menegaskan Perararakan Kereta Pedati Berhias Berhias (Chariot) adalah tidak dibenarkan sama sekali dalam SOP yang disediakan sebagai langkah pencegahan varian baru Covid-19. Beliau memberitahu hal ini di Dewan Rakyat pada 7 Disember 2021 apabila menjawab soalan saya (Batu Gajah) dalam sesi Waktu Pertanyaan Menteri.

Saya berpendapat bahawa jawapan yang diberikan oleh beliau adalah amat kontroversi dengan keadaan semasa. Beliau telah menimbulkan kekeliruan dan kesangsian dikalangan rakyat jelata. SOP yang disediakan oleh kerajaan adalah seolah-olah berniat untuk menghalang sambutan Thaipusam pada 18 Januari 2022.

Kavadi dan Perarakan Kereta Pedati Berhias adalah asas kepada sambutan tersebut. Jika tidak ada kedua-dua iupacara kemuncak ini, maka tidak signifikan lagi sambutan Thaipusam diadakan.

Baru-baru ini, telah membenarkan banyak lagi program-program keramaian yang dianjurkan oleh pelbagai pihak. Maka, adalah tidak wajar untuk membatalkan upacara kemuncak Thaipusam. Ini dilihat sebagai satu diskriminasi yang boleh memudaratkan toleransi kaum dan agama di negara kita.

Sebagai contoh, saya menerima satu SMS daripada kerajaan semalam. Kandungannya adalah seperti berikut :

‘RM0 KKMM: Jom ramai-ramai memeriahkan Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia di KLCC, 9 hingga 12 Dis 2021 dengan pelbagai aktiviti menarik’

Bukankah SMS ini bertujuan untuk menjemput rakyat jelata datang ‘ramai-ramai’ untuk program yang dianjurkan oleh kerajaan sendiri? Kenapakah MKN dan KKM boleh membenarkan program ini? Mana SOP untuk mengawal penularan varian baru Covid-19? Bukankah ini membuktikan amalan ‘double standard’?

Oleh yang demikian, saya menyeru kepada kerajaan supaya SOP Thaipusam 2022 dikaji semula dengan segera untuk memberi kebenaran kepada upacara kemuncak yang menjadi signifikasi perayaan tersebut.