Skip to content

Perhimpunan Agung UMNO patut berhenti mencipta pembohongan demi menimbulkan kebencian agama dan kaum terhadap orang bukan-Melayu dan bukan-Islam

Perhimpunan Agung UMNO patut berhenti mencipta pembohongan demi menimbulkan kebencian agama dan kaum terhadap orang bukan-Melayu dan bukan-Islam, tetapi sepatutnya memberi tumpuan kepada kesusahan ekonomi yang melanda rakyat Malaysia dan berbahas tentang bagaiamana Jho Low seorang pemuda Malaysia boleh menjadi begitu kaya sehingga boleh menderma sebanyak US$25 juta kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Reuters melaporkan bahawa Jho Low, seorang dermawan yang menetap di Hong Kong akan memberikan pelaburan selama 15 tahun bernilai US$25 juta (RM83.7 juta) kepada PBB untuk memperluas perkhidmatan berita kemanusiaannya, Integrated Regional Information Nerworks (Irin) sebagai sebuah yayasan bebas berpengkalan di Switzerland.

Kenapa tidak ada pun persoalan dibangkitkan tentang bagaimana seorang hartawan Malaysia tidak pula memberi perhatian kepada soal kebajikan di negaranya sendiri? Adakah sikap bisu Perhimpunan Umno ini berikutan anggapan bahawa Jho Low adalah kebal dikeranakan kaitannya dengan orang atasan Umno serta syarikat 1MDB yang penuh kontroversi?

Tidak ada keutamaan pun diberikan kepada nasib rakyat kelas menengah Malaysia yang miskin menderita akibat kesan negatif kenaikan bersiri harga-harga gula, petrol, premium insuran kenderaan dan tariff elektrik. Pada masa yang sama, Malaysia menjadi sebuah negara penghutang dengan kadar hutang Kerajaan Persekutuan meningkat lebih 100% daripada RM266 bilion di penghujung tahun 2007 sehingga menjadi RM570 bilion pada pertengahan Jun 2014, sementara hutang isi rumah kita adalah kedua tertinggi di Asia pada kadar 87% berbanding KDNK, menjadikan kos sara hidup satu lagi masalah yang semakin meruncing bagi kumpulan berpendapatan rendah.

Sebaliknya, UMNO telah menyebarkan pembohongan terhadap DAP dan juga Kerajaan Negeri Pulau Pinang kononnya DAP membeli tanah di Balik Pulau, tidak kira betapa mahal sekalipun demi menghalau orang Melayu. Ini adalah suatu penipuan kerana DAP tidak membeli walau satu inci pun tanah Balik Pulau. DAP hanya membeli bangunan ibu pejabatnya di Ranggon Road di George Town.

DAP dan saya sendiri telah dituduh kononnya cuba menghalau orang Melayu dengan membeli tanah mereka untuk dibina perumahan mahal dan membina penempatan orang Melayu di Seberang Perai, yang mengakibatkan penurunan populasi Melayu di Pulau Pinang daripada 41% menjadi 40% pada tahun 2013. Ini adalah tidak benar kerana populasi orang Melayu sebenarnya telah bertambah. Umno sendiri boleh memeriksa data-data Jabatan Statistik Kerajaan Persekutuan.

Pemimpin Umno lah yang telah mengkhianati orang Melayu dengan menjual tanah-tanah orang Melayu demi keuntungan.

Mereka yang membeli tanah orang Melayu dan menjualnya kepada pihak ketiga bukanlah DAP tetapi pemimpin Umno Pulau Pinang. Pemimpin Umno lah yang telah mengkhianati orang Melayu dengan menjual tanah mereka demi keuntungan. Ini jelas dapat dilihat dalam pembelian 10 ekar tanah orang Melayu di Kampung Terang, Balik Pulau pada 31 Januari 2012 untuk RM8.6 juta daripada 31 pemilik tanah Melayu oleh Maison Height Sdn Bhd. Tiga setengah bulan kemudian, pada 16 Mei 2012, tanah yang sama dijual demi keuntungan sebanyak RM5 juta pada harga RM13.5 juta kepada pihak ketiga.

Maison Heights Sdn Bhd dimiliki Ketua Bahagian UMNO Bukit Mertajaman Dato Musa Bin Haji Sheikh Fadzir dan Ketua Bahagian UMNO Bukit Gelugor Dato Omar Bin Haji Faudzar. Daripada mengecam kedua-dua pemimpin Umno Pulau Pinang ini kerana mendapatkan keuntungan daripada penjualan tanah orang Melayu di Balik Pulau, saya pula yang dipersalahkan walaupun saya tidak mendapat walau satu sen pun.

Sikap hipokerit UMNO ini diteruskan dengan menyalahkan Kerajaan Negeri kerana membina perumahan mahal, walaupun Kerajaan Negeri mengikuti garis panduan Kerajaan Persekutuan untuk membina rumah yang kosnya antara RM42,000 hingga RM400,000. Kenapa perwakilan Umno tidak mengecam agensi Kerajaan Persekutuan seperti PERDA yang melanggar garis panduan Kerajaan Persekutuan dengan membina rumah mewah bernilai RM1.85 juta, empat kali ganda daripada harga RM400,000 yang dibenarkan?

Sekali lagi UMNO menipu dengan mendakwa bahawa walaupun 70% kontrak kerajaan negeri diberikan kepada kontraktor Melayu melalui tender tebuka, kononnya nilai kontrak-kontrak ini adalah lebih rendah. Sebenarnya nilai kontrak-kontrak ini adalah jauh lebih tinggi dan bernilai hampir 90% daripada jumlah kesemua kontrak Kerajaan Negeri apabla projek terowong dasar laut bernilai RM6.3 bilion dianugerahkan secara tender terbuka kepada sebuah konsortium yang diketuai orang Melayu. Jelas sekali, kontraktor Melayu biasa boleh bersaing – hanya kontraktor Umno sahaja yang tidak boleh bersaing dan memenangi kontrak melalui tender terbuka.

Apa yang lebih merunsingkan lagi ialah bekas timbalan menteri Dr Mashitar Ibrahim turut membangkitkan isu sensitif dengan mendakwa kononnya orang Cina di Kuala Kedah telah membakar Al-Quran, sehelai demi sehelai sewaktu satu ritual sembahyang. Pihak polis telah menyatakan bahawa perkara ini telah dilakukan oleh seorang individu yang telah dihantar untuk pemeriksaan mental. Pun begitu Mashitah masih mendakwa bahawa tindakan membakar Al-Quran ini dilakukan bukan oleh individu tetapi oleh komuniti Cina di sana.

Ini adalah satu dakwaan yang sangat berbahaya dan mesti disiasat secara menyeluruh. Jika benar, tindakan tegas mesti diambil terhadap pelaku. Tetapi sekiranya ini tidak benar, maka Dr Mashitah wajar didakwa di mahkamah kerana telah membangkitkan isu palsu yang boleh mengakibatkan ketengan kaum dan menggugat keharmonian agama.

Dakwaan liar sebegini sudah tidak lagi menghiburkan, malah sangat merbahaya kepada fabrik sosial masyarakat kita yang berbilang kaum. Tindakan membuli orang bukan-Melayu dan bukan-Islam serta menggunakan retorik kaum dan agama bukanlah alternatif kepada urustadbir baik yang boleh memperbaiki kehidupan 28 juta rakyat biasa di Malaysia.