Dengan Parlimen digantung di bawah Proklamasi Darurat, tidak ada lagi akauntabiliti, dan kerajaan tidak lagi dapat dipersoalkan mengenai sebab mengapa Menteri perlu dikuarantin hanya selama 3 hari, dan bukan 10 hari setelah pulang dari perjalanan rasmi ke luar negeri. Jelas bahawa penggantungan Parlimen tidak ada kaitan dengan usaha mengurangkan jumlah jangkitan COVID-19, tetapi alasan tidak jujur oleh kerajaan PN untuk meluluskan undang-undang dan peraturan dengan menggunakan kuasa sesuka hati mereka.
Menteri Kesihatan Dr Adham Baba telah mengeluarkan perintah tersebut berkuatkuasa 9 Februari hingga 1 Ogos, tarikh Darurat tamat. Dengan membenarkan hak istimewa Menteri yang tidak diberikan kepada rakyat, kerajaan PN telah membuktikan bahawa ia tidak berminat untuk mematuhi SOP untuk memerangi COVID-19. Amalan dua darjat dan sikap tidak acuh seperti itu mungkin telah menyumbang sebahagian kepada peningkatan jangkitan COVID-19 baru-baru ini kepada 245,552 kes pada 8 Februari 2021, di mana 51,977 adalah kes aktif dan 896 kematian, menjadikan Malaysia negara terburuk di ASEAN dari segi jangkitan per kapita.
Sekiranya Menteri hanya perlu dikuarantin selama 3 hari berbanding dengan 10 hari bagi rakyat biasa, apakah ini bermakna mereka juga hanya perlu dikuarantin selama 3 hari jika mereka berhubung dengan pesakit positif COVID-19? Dengan hak istimewa ini, tidak hairanlah para pemimpin kerajaan sekarang mahu mengekalkan jawatan mereka dengan apa cara sekalipun, walaupun sudah kehilangan sokongan majoriti parlimen mereka.
Kerajaan telah mengamalkan amalan dua darjat sebelum ini juga. Para menteri tidak memakai pelitup muka dan menikmati makan malam di khalayak ramai, mengatur perhimpunan awam seramai 500 orang baru-baru ini untuk mengedarkan hadiah Tahun Baru Cina, semuanya secara terbuka melanggar SOP tanpa dihukum, sementara rakyat pula didenda. Perlakuan tidak adil yang membeza-bezakan rakyat biasa berlanjutan sehingga melibatkan Makan Malam Besar Tahun Baru Cina sekali dalam setahun, di mana masyarakat Cina terpaksa merayu untuk diberikan layanan dengan cara yang sama seperti pasar malam mingguan.
Mengapa Menteri Kesihatan Dr Adham melangkau Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Noor Hisham Abdullah, yang pastinya tidak akan menyetujui permohonan SOP COVID-19 yang tidak bertanggungjawab dan terpilih itu? Perintah terbaru oleh Dr Adham mengingatkan kita kepada Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Khairuddin Aman Razali yang hanya dkompaun RM1,000 tanpa didakwa di mahkamah, setelah gagal mematuhi peraturan kuarantin setelah pulang ke Malaysia dari Turki pada Ogos tahun lalu. Sebaliknya seorang wanita Melayu berusia 72 tahun didakwa di mahkamah, didenda RM8,000 dan penjara sehari atas kesalahan yang sama.
Amalan dua darjat seperti ini berlaku bukan hanya dalam pelaksanaan SOP COVID-19. Ketika seorang Menteri mengalami kecederaan ringan setelah terlanggar jalan berlubang ketika mengayuh basikal, Jabatan Kerja Raya (JKR) segera meminta maaf dan membaiki jalan berlubang tersebut dalam tempoh kurang dari 24 jam. Apabila rakyat meninggal dunia setelah terlanggar jalan berlubang, tidak ada permintaan maaf dan memerlukan masa bertahun-tahun untuk membaiki jalan berlubang tersebut. Perikatan Nasional akhirnya disahkan sebagai kerajaan dua darjat yang memalukan, dengan para Menteri menunjukkan contoh terburuk.