Skip to content

Peringkat Pra-Kelayakan Projek Transit Aliran Ringan Bayan Lepas telah dilanjutkan ke 7 Oktober 2022 untuk membolehkan lebih banyak syarikat mendaftar

Pada 20hb Julai 2022 yang lalu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah memulakan Peringkat Pra-Kelayakan bagi pelaksanaan komponen Transit Aliran Ringan (LRT) Bayan Lepas bagi membolehkan syarikat-syarikat berminat mengemukakan maklumat masing-masing berhubung pelaksanaan projek tersebut.

Dengan sukacitanya dimaklumkan bahawa Peringkatan Pra-Kelayakan telah mendapat sambutan yang baik daripada syarikat tempatan dan antarabangsa. Sehingga 8 Ogos 2022, lebih 40 syarikat tempatan dan antarabangsa telah mendaftar, membeli dan memuat turun dokumen pra-kelayakan dari laman web Penang Infrastructure Corporation (PIC).

Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga telah menerima permintaan daripada lebih 10 syarikat termasuk beberapa firma antarabangsa dari Eropah dan Asia yang berkepakaran dalam pembinaan landasan keretapi yang memohon agar tempoh pengemukaan dokumen pra-kelayakan dilanjutkan. Pelanjutan tempoh ini adalah untuk memberi mereka lebih masa untuk menyediakan dokumen yang diperlukan seperti surat sokongan daripada bank, dan membentuk usaha sama (Joint Venture) dengan syarikat tempatan.

Justeru, Kerajaan Negeri Pulau Pinang bersetuju untuk melanjutkan tempoh pra-kelayakan dari 24 Ogos hingga 7 Oktober 2022.

Syarikat-syarikat yang berminat dikehendaki mengemukakan dokumen pra-kelayakan mereka tidak lewat daripada pukul 12 tengah hari pada 7 Oktober (Jumaat).

Pendaftaran peringkat pra-kelayakan yang ditutup pada 8 Ogos 2022, kini dibuka semula hingga 19 Ogos 2022 untuk membolehkan lebih banyak syarikat yang berminat untuk mendaftar.

Dokumen pra-kelayakan yang lengkap hendaklah dikemukakan dalam sampul surat tertutup yang ditandakan secara jelas dengan Tajuk Cadangan dan Nombor Rujukan di bahagian tengah atas sampul surat, dan diletakkan di dalam Peti Tender di pejabat PIC di KOMTAR. Syarikat yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh emel kepada [email protected].

Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengucapkan terima kasih kepada semua syarikat yang berminat untuk mengambil bahagian dalam pelaksanaan LRT Bayan Lepas.