Saya telah menerima jemputan dari Setiausaha Dewan Rakyat untuk menghadiri mesyuarat jawatankuasa kerja perundangan dan prosiding Parlimen pada 5hb Julai, 2020 bertempat di bilik mesyuarat Parlimen sebagai wakil Ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan.
Saya menjunjung kasih dan memandang serius titah DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong yang telah 3 kali menzahirkan pandangan supaya mesyuarat Parlimen perlu diadakan secepat mungkin sebelum 1hb Ogos untuk membincangkan perisytiharan darurat, ordinan Darurat(kuasa-kuasa khas) serta perbelanjaan kerajaan yang melibatkan dana awam dalam menangani krisis wabak covid.
Oleh demikian, Pakatani Harapan menegaskan seperti berikut :
- Mesyuarat Parlimen wajib diadakan sebelum 1hb Ogos, 2021.
- Pengisytiharan Darurat dan ordinan berkaitan wajib dibentang dan diluluskan oleh Parlimen selaras dengan perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan.
- Segala perbelanjaan Kerajaan dalam menangani wabak covid wajib dibentang, dibahas dan mendapat kelulusan Parlimen termasuk pakej rangsangan ekonomi PEMERKASA, PEMERKASA+ dan PEMULIH.
Berdasarkan kepada fakta bahawa Ahli-ahli Parlimen, kakitangan Parlimen telah menerima suntikan vaksin covid serta rekod prosiding mesyuarat Parlimen yang berjaya diadakan pada tahun 2020, Pakatan Harapan ingin mencadangkan sesi mesyuarat Parlimen kali ini diadakan secara fizikal tertakluk kepada SOP yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan dan pihak berwajib.
Segala pindaan kepada peraturan mesyuarat Dewan Rakyat harus dibentang dan mendapat kelulusan dewan dan tidak boleh dijadikan dalih untuk menangguhkan agenda utama mesyuarat Parlimen seperti mana yang dinyatakan di atas.