Pada bulan Oktober 2011, Menteri Besar Perak Dato Seri Zambry Abdul Kadir telah menjanjikan pembinaan sebuah sekolah Tamil yang baru di Pulau Pangkor. SJKT Pangkor yang sedia ada adalah tidak sesuai kerana terlalu kecil dan berhampiran dengan kuil Hindu di Sungai Pinang Besar. Sekolah ini juga tidak mempunyai padang permainan.
Menteri Besar Perak yang juga merupakan ADUN Pangkor telah berjanji memindahkan sekolah ini ke tempat lain. Beliau berkata tanah seluas 1.2 hektar akan disediakan untuk membina sebuah sekolah baru dengan 18 bilik darjah dan padang permainan bagi menampung sejumlah 130 orang murid.
Ini adalah janji yang dibuat oleh Menteri Besar Perak merangkap ketua Barisan Nasional Perak sebelum PRU13. Sekarang, selepas 7 tahun, kita masih belum nampak apa-apa usaha yang diambil oleh kerajaan Barisan Nasional untuk mengotakan janji kepada kaum India di Pulau Pangkor.
Menteri Besar Perak tidak boleh selesaikan isu tanah bagi sekolah Tamil di kawasannya sendiri? Ini adalah sikap yang amat mengecewakan. Kita harus sedar bahawa ini adalah perangai pemimpin-pemimpin UMNO Barisan Nasional yang tidak memberi komitmen kepada janji yang diberikan. Pemimpin-pemimpin MIC pula tidak berani menyuarakan masalah kaum India dan sentiasa menjadi ‘pak turut’ untuk menjaga kepentingan dan kedudukan politiknya.
Di sini, jelas kepada kita tentang kepemimpinan dalam Barisan Nasional. Justeru tidak hairanlah apabila ADUNnya tidak dapat mengotakan janji,ini jelas menunjukkan ukuran amanah, kualiti dan nilai kepemimpinan Barisan Nasional yang teramat lemah.
Oleh yang demikian, warga Pulau Pangkor secara khusus dan warga Perak secara umum harus menolak Barisan Nasional dalam PRU14.