Saya terperanjat dengan respons YDP Majilis Perbadanan Manjung ( MPM ), Dato Mohamad Fariz bin Mohamad Hanip yang mengatakan Perjanjian Usahasama dengan Pemaju Kinta Berkat Sdn Bhd tidak ditandatangani dalam projek Ramada Lumut Resort.
Dalam jawapan Menteri Besar Perak dalam Dewan Undangan Negeri kepada saya, beliau menyatakan bahawa projek ini adalah satu projek usahasama di antara MPM dan Kinta Berkat Sdn Bhd dan MPM telah memberikan kuasa penuh kepada Pemaju tersebut untuk memajukan projek ini.
Satu salinan jawapan tersebut dilampirkan disini. Beberapa persoalan besar timbul:
Bagaimana MPM boleh meluluskan pelan projek tersebut pada tahun 2014 ( seperti tertera pada papan tanda projek tersebut ) dan kerja pembangunan telah dimulakan sebelum ia terbengkalai jika perjanjian usahasama belum di tandatangani ?
Kenapa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri ( Exco Kerajaan Negeri ) boleh mengarahkan Surat Kuasa ( Power of Attorney ) diberikan kepada Kinta Berkat Sdn Bhd untuk mencagar tanah tersebut kepada institusi kewangan untuk meminjam wang pada tahun 2011 kalau perjanjian usahasama belum ditandatangani ?
Kenapa MPM membenarkan Kinta Berkat Sdn Bhd memaparkan iklan dan aktiviti jualan hinggakan orang ramai teraniaya membeli unit-unit dalam projek tersebut jika perjanjian usahasama belum ditandatangani ?
Pada masa tersebut Dato Mohamad Fariz bukan lagi YDP MPM tetapi Menteri Besar Perak, Dato Seri Zambry bin Abdul Kadir mempunyai pengetahuan sendiri kerana arahan untuk memberi Surat Kuasa ( Power of Attorney ) membenarkan tanah dicagar untuk mendapat pinjaman wang bagi pemaju dibuat oleh Exco Kerajaan yang dipengerusi oleh beliau pada tahun 2011.
Saya berharap beliau tampil untuk membuat penjelasan dan bagaimana menolong pembeli-pembeli dalam projek tersebut mendapat balik wang mereka.