Kerajaan negeri Melaka meminta pengundi menyokong mereka demi mengembalikan kestabilan politik dan memastikan sebuah kerajaan Melayu-Islam. Sudah ada kerajaan Melayu-Islam di Melaka dan di Kerajaan Persekutuan tetapi ia adalah gabungan PN dan BN yang bercakaran secara terbuka dengan bergaduh dan menyerang antara satu sama lain dalam pilihan raya negeri Melaka. Mengundi gabungan yang sedia ada hanya akan mengembalikan gabungan sama yang bercakaran sesama mereka dengan hanya menumpukan pada perebutan kuasa dan kedudukan di antara mereka lebih daripada menjaga kepentingan rakyat.
Menyebarkan pembohongan dengan menggunakan sentimen perkauman dan ekstremis tidak menyembunyikan hakikat bahawa menindas kaum minoriti bukan sahaja tidak bermoral dan bertentangan dengan prinsip asas Perlembagaan Persekutuan, ia juga memecah-belahkan dan tidak membawa apa-apa faedah kepada rakyat Malaysia termasuk orang Melayu/Islam sendiri. Bagaimana projek pasir yang dijual kepada kroni membantu rakyat biasa Melaka dan orang Melayu/Islam?
Bagaimana projek tambakan tanah secara besar-besaran di Melaka, bukan di satu atau dua tempat, tetapi meliputi seluruh pesisir pantai di Melaka membantu orang Melayu/Islam terutamanya mata pencarian nelayan yang kebanyakannya orang Melayu/Islam? Untuk menutup ketidakupayaan mereka menjawab persoalan ini, sentimen perkauman dan ekstremis dimainkan oleh BN dan PN untuk mengalihkan perhatian.
Itulah sebabnya dasar yang disasarkan terhadap orang bukan Islam seperti larangan penjualan arak di kedai runcit/kedai serbaneka dan kedai ubat oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur atau larangan mengejut ke atas kedai nombor ramalan di Kedah walaupun hanya dijual kepada bukan Islam, tiba-tiba diumumkan. Walaupun perniagaan ini telah beroperasi tanpa sebarang masalah sejak Merdeka pada 1957, mereka cuba menutup mata orang Melayu dan Islam daripada masalah sebenar iaitu kegagalan teruk mereka dalam menguruskan pandemik COVID-19 dan kemelesetan ekonomi.
Taktik ekstremis sebegini mengandaikan bahawa orang Melayu/Islam mudah terpedaya kerana tidak mengambil berat tentang masalah sebenar yang menjejaskan kehidupan seharian mereka terutamanya pendapatan dan mata pencarian serta masa depan, kesihatan dan keselamatan dalam keadaan normal baharu COVID-19. Selain itu, adalah salah juga untuk menindas, mengabaikan dan menyasarkan orang bukan Islam/bukan Melayu sebagai alasan mudah untuk menyembunyikan ketidakcekapan dan kegagalan mereka untuk meningkatkan kehidupan orang Melayu Islam dengan pendapatan yang lebih tinggi, pekerjaan yang lebih baik dan masa depan yang lebih cerah.
Letakkan “Cukai Dosa” Dalam Kumpulan Wang Khas Berasingan Daripada Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan
Mengapa melarang penjualan arak di ibu kota kita dengan masyarakat kosmopolitan sedangkan ia dijual bukan kepada orang Islam tetapi kepada orang bukan Islam? Mengapa melarang kedai judi di Kedah sedangkan ia dilanggani oleh orang bukan Islam? Ini semua adalah retorik ekstremis PAS untuk memuaskan kehendak penyokong konservatif mereka. Malangnya ekstremisme PAS kini dibiarkan begitu sahaja oleh Menteri GPS, MCA dan MIC dalam Kabinet.
Selain ekstremisme, PAS mewajarkan larangan terhadap penjualan arak dan kedai judi sebagai mengelak daripada mengutip cukai dosa kerana ia tidak bermoral. Jika itu sebabnya, maka DAP tidak akan membantah cukai dosa seperti itu diasingkan daripada dimasukkan ke dalam Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan, di mana semua perbelanjaan termasuk untuk orang Melayu dan Islam dibelanjakan.
Pada masa ini cukai dosa juga dimasukkan ke dalam Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan yang digunakan untuk Belanjawan tahunan dan dibelanjakan untuk orang Islam dan tujuan keagamaan. Cukai dosa sebegini boleh diletakkan dalam dana berasingan bukan dalam Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan, dan hanya dibelanjakan untuk orang bukan Islam tanpa rasa takut bahawa ia akan “mencemarkan” perbelanjaan ke atas orang Islam.