Seterusnya saya merujuk kepada Butiran 040600 dan Butiran 040800 tentang Perundangan dan Penguatkuasaan serta Kanak-Kanak.
Saya ingin mengarahkan perhatian Dewan yang mulia ini kepada laporan media minggu lepas di mana seorang lelaki berumur 35 tahun telah merogol seorang kanak-kanak berumur 11 tahun, memaksa isterinya merekodkan perlakuan jenayah tersebut dan kemudian cuba menjual video itu. Mangsa merupakan adik kepada isteri si-pelaku. Isteri tersebut umurnya hanya 14 tahun dan sebelum berkahwin pernah dirogol oleh si-pelaku.
Ucapan pertama saya dalam Dewan yang mulia ini telah menyeru agar pihak kerajaan melarang perkahwinan kanak-kanak dan mewujudkan suatu akta Daftar Nama Pesalah Jenayah Seksual.
Perkahwinan kanak-kanak di bawah umur 18 tahun patut dilarang sama sekali di Malaysia. Negara kita telah meratifikasi Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) dengan beberapa pengecualian termasuk Artikel 16(2) untuk melarang perkahwinan kanak-kanak. Justeru sehingga hari ini, mengikut statistik terkini pada tahun 2010, terdapat lebih kurang 16,000 kanak-kanak perempuan di bawah umur 15 tahun yang berkahwin pada tahun tersebut sahaja.
Pelbagai laporan telah diterbitkan sama ada di dalam atau luar negeri tentang aspek-aspek negatif dan hampir tiada aspek positif tentang perkahwinan kanak-kanak. Kes terbaru yang saya bangkitkan tadi hanya satu daripada contoh bagaimana seorang isteri berumur 14 tahun tidak berupaya melawan dan mempertahankan hak dirinya serta keselamatan adik perempuannya terhadap si suami dewasa.
Kita sebagai pemimpin dan sebagai ibu bapa pak cik mak cik orang dewasa telah dan akan terus mengecewakan dan mengagalkan kanak-kanak yang menjadi mangsa perkahwinan bawah umur selagi kita gagal menggubal perundangan untuk melarang perkara ini.
Dan yang berkaitan ialah Akta Daftar Nama Pesalah Jenayah Seksual yang telah dibangkitkan berkali-kali dan bertahun-tahun. Instrumen ini telah dicadangkan pada 2007 oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas peristiwa malang adik Nurin Jazlin Jazimin yang mayatnya dijumpai dalam sebuah bag selepas dirogol dan dibunuh. Cadangan ini telah disokong oleh Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat. (http://www.malaysiakini.com/news/73587)
Kini sudah 2015, sudah lapan tahun, apa sudah terjadi dengan Akta tersebut?
Dalam kita bimbang tentang ISIS dan terrorism, pada hari ini, statistik menunjukkan bahawa setiap 15 minit, seorang wanita menjadi mangsa rogol di Malaysia, 100 orang wanita dirogol setiap hari dan separuh daripada mereka berumur di bawah 16 tahun!
Saya mohon Menteri memastikan agar kedua-dua perundangan melarang perkahwinan kanak-kanak dan Akta Daftar Nama Pesalah Jenayah Seksual dibentangkan tahun depan. Ianya tanggungjawab kita untuk mewujudkan suasana yang selamat dan sihat kepada semua rakyat Malaysia, lelaki dan perempuan. Justeru, saya merayu rakan-rakan seperjuangan saya dari kedua-dua pihak untuk memastikan kedua-dua perundangan ini menjadi kenyataan secepat mungkin.