Skip to content

Perkara yang diperlukan Kerajaan Perpaduan Anwar untuk membuktikan “gelombang hijau” ini adalah satu kesilapan dalam enam pilihan raya negeri Ogos depan

Mungkinkah untuk Kerajaan Perpaduan Anwar mencatatkan kejayaan dalam enam pilihan raya negeri pada bulan Ogos ini?

Saya rasa perkara ini bukan sahaja mampu dicapai, tetapi merupakan keputusan yang patut dijangka walaupun pada masa yang sama, parti-parti politik dalam Kerajaan Perpaduan tidak bolehlah leka atau lalai di antara dua kemungkinan – terlalu optimis dengan kemenangan di Pulau Pinang, Selangor, dan Negeri Sembilan atau terlalu pesimis dengan kekalahan di Kelantan, Terengganu, dan Kedah.

Salah satu matlamat untuk Kerajaan Perpaduan Anwar adalah untuk menunjukkan yang “gelombang hijau” dalam pilihan raya umum ke-15 adalah satu fenomena yang tersilap nama, bahawa fenomena ini dibina di atas asas penipuan, fitnah, dan berita palsu di media sosial, seperti tuduhan liar dan tidak masuk akal yang dibuat oleh Presiden PAS, Hadi Awang, terhadap DAP dan saya yang dia masih gagal buktikan selepas enam bulan.

Sekarang adalah masanya untuk perang saraf, di mana gabungan politik seperti Perikatan Nasional (PN) kini bertindak seakan-akan mereka lebih kuat berbanding dengan sebelum ini, dan satu “gelombang hijau” yang kuat dan tidak dapat dilawan akan menyapu bersih pilihan raya umum di enam buat negeri pada bulan Ogos ini dan menamatkan kerjaya Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Para pemimpin Perikatan Nasional (PN) dari Bersatu dan PAS telah secara terbuka menyatakan yang PN boleh membentuk kerajaan negeri Selangor, mempunyai peluang 50-50 untuk membentuk kerajaan di Negeri Sembilan, mencatatkan kemajuan di Pulau Pinang, kononnya parti-parti Kerajaan Perpaduan Anwar tidak akan mampu untuk menang lebih dari tiga kerusi di Kedah dan bahawa mereka akan menyapu bersih semua kerusi dewan undangan negeri di Kelantan dan Terengganu.

Apa yang diperlukan untuk membuktikan perkara ini salah adalah untuk parti-parti Kerajaan Perpaduan Anwar mengekalkan kerajaan di Pulau Pinang, Selangor, dan Negeri Sembilan dengan majoriti dua pertiga; menang lebih dari tiga kerusi di Kedah; dan memecah rekod dengan memenangi sekurang-kurangnya satu kerusi di Kelantan dan di Terengganu.

Untuk tiga negeri, Pulau Pinang, Selangor, dan Negeri Sembilan, ketiga-tiga kerajaan negeri ini perlulah membuka “kuda-kuda perang” untuk menangkis cubaan PN untuk merampas Selangor dan Negeri Sembilan.

Kedudukan PN di tiga negeri PAS ini sekalipun tidaklah kebal, dan saya berpegang kepada pandangan yang optimistik bahawa parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan Anwar mampu untuk memenangi lebih dari tiga kerusi di Kedah dan mampu untuk menembusi Kelantan dan Terengganu.

Buat pertama kali dalam sejarah Malaysia, pilihan raya di enam negeri akan mempunyai kesan terhadap politik kebangsaan dan menentukan sama ada Anwar Ibrahim boleh bertahan selama sepenggal penuh lima tahun sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-10 atau sama ada Malaysia akan mendapat Muhyiddin Yassin atau Hadi Awang sebagai seorang Perdana Menteri baharu.

Enam pilihan raya negeri ini juga akan menentukan sama ada negara kita mampu untuk menetapkan semula dan kembali semula kepada dasar pembinaan sebuah Malaysia majmuk yang telah diterapkan dalam Perlembagaan dan Rukun Negara oleh tokoh-tokoh kemerdekaan negara (termasuklah tiga Perdana Menteri terawal negara yang semuanya juga merupakan Presiden UMNO) supaya masyarakat majmuk di Malaysia dapat bersatu padu untuk menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia dengan sistem politik, ekonomi, pendidikan, sosial, dan kerajaan yang bertaraf dunia, dan bukannya menjadi sebuah negara yang gagal, berpecah belah, dan kleptokratik.

Malaysia perlukan Anwar sebagai Perdana Menteri bukan untuk tempoh lima tahun, sebaliknya, sekurang-kurangnya 10 tahun untuk memastikan Impian Malaysia dapat dicapai – untuk Malaysia menjadi contoh “Perpaduan dari Kepelbagaian” dan tauladan dialog, persefahaman, toleransi, dan keharmonian antara etnik, agama, budaya, dan tamadun kepada dunia.

Inilah peluang terakhir kita untuk menyelamatkan Malaysia dari menjadi negara yang biasa sahaja atau lebih buruk lagi merosot menjadi negara gagal seperti Sri Lanka atau Zimbabwe menjelang ulang tahun ke-100 negara pada tahun 2057.

Kita masih belum memenuhi Impian Malaysia kita dalam enam dekad yang lepas.

Sebaliknya kita telah ditinggalkan dari segi ekonomi di belakang satu demi satu negara – Taiwan, Singapura, Korea Selatan, Hong Kong, dan Vietnam. Melainkan kita meningkatkan usaha kita, kita bakal ditinggalkan di belakang lebih banyak negara-negara lain.

Kita perlu sedari yang Malaysia kini berhadapan dengan banyak masalah, yang dapat dilihat dari nilai ringgit Malaysia, di mana satu ringgit Malaysia bersamaan nilai dengan satu dolar Singapura pada tahun 1965, tetapi kini ringgit telah susut nilai sehingga satu dolar Singapura bernilai 3.40 ringgit Malaysia.

Adakah perkara ini terjadi kerana Singapura mempunyai lebih banyak bakat berbanding dengan Malaysia? Tidak mungkin, kerana kehebatan Singapura hari ini terjadi dari bakat-bakat Malaysia telah ke republik pulau tersebut untuk mencari punca pendapatan.

Mengapakah mereka tidak kekal di Malaysia untuk menjadikan Malaysia hebat semula dan untuk merealisasikan Impian Malaysia untuk semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, atau kawasan?

Semasa Transparency International (TI) mula menerbitkan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) pada tahun 1995, kita berada jauh di hadapan China, India, dan Indonesia.

Sejak daripada era ini, China, India, dan Indonesia terus menerus merapatkan jurang mereka dengan mempunyai kerajaan yang bersih dan jujur, dan besar kemungkinan China akan mengatasi kedudukan Malaysia dalam TI-CPI dalam dekad ini, manakala India dan Indonesia akan mengatasi kedudukan Malaysia dalam dekad yang akan datang.

Dalam TI-CPI yang pertama pada tahun 1995, Malaysia adalah negara OIC yang berada di tempat teratas, tetapi setakat TI-CPI 2022, kita telah ditinggalkan di belakang tiga negara OIC, iaitu, Emiriah Arab Bersatu, Qatar, dan Arab Saudi.

Bolehkah Malaysia menjadi negara OIC teratas dalam siri TI CPI sekali lagi?

Semua rakyat Malaysia perlu bertanya kepada diri mereka dua soalan: pertama, sama ada Malaysia masih boleh diselamatkan dan kedua sama ada Malaysia patut diselamatkan.

Malaysia masih boleh dan patut diselamatkan.

Sekiranya Malaysia tidak dapat diselamatkan lagi, atau tidak berbaloi untuk diselamatkan lagi, maka itulah pengakhiran kisahnya.

Tetapi Malaysia masih belum mencapai tahap di mana kita menjadi sebuah negara yang rosak sepenuhnya, berpecah belah, dan gagal, walaupun kita telah tersasar agak jauh dari cita-cita kita untuk menjadi sebuah negara majmuk hebat semasa kita merdeka pada tahun 1957.

Malaysia berada di titik pertemuan empat tamadun hebat dunia – Melayu/Islam, Cina, India, dan Barat.

Bolehkah Malaysia manfaat nilai-nilai terbaik dari empat tamadun hebat ini untuk menjadikan Malaysia “sinar cahaya dalam dunia yang sukar dan terganggu” seperti yang dikatakan oleh Bapa Malaysia, Tunku Abdul Rahman?

Sekiranya kita mampu untuk lakukan perkara ini, kita masih mampu untuk menjadi sebuah negara majmuk hebat bertaraf dunia untuk menyelamatkan Malaysia dari menjadi sebuah kleptokrasi, kakistokrasi, dan sebuah negara yang gagal dalam tiga atau empat dekad yang akan datang, dan perkara ini akan menjadi satu usaha yang sangat bermakna.

Inilah cabaran dalam enam pilihan raya negeri pada bulan Ogos ini.