Perkhidmatan feri Pulau Pinang telah diselamatkan menurut pengesahan Menteri Kewangan Tengku Zafrul bin Tengku Abdul Aziz di Parlimen pada 17.12.2020 bahawa bekas Menteri Kewangan telah menetapkan syarat kepada Penang Ports Sdn Bhd (PPSB) supaya perkhidmatan feri Pulau Pinang yang ikonik diteruskan melalui tukaran bayaran tunai RM30 juta. Sebagai maklum balas kepada ucapan saya di Parlimen, Tengku Zafrul kemudian mengatakan bahawa dia akan menghormati komitmen oleh saya sebelum ini, dan syarat untuk meneruskan perkhidmatan feri harus dipatuhi.
Perkhidmatan feri Pulau Pinang yang berusia 126 tahun telah diselamatkan oleh tindakan Tengku Zafrul Abdul Aziz yang sewajarnya, dalam mendukung syarat secara bertulis sebelum ini yang dibuat oleh saya semasa saya menjadi Menteri Kewangan, bahawa perkhidmatan feri mesti diteruskan. Malangnya, Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong telah memilih untuk melakukan yang sebaliknya dengan tindakan yang tidak betul dan buruk.
Wee terus menyebarkan pembohongan bahawa saya telah membuat keputusan untuk menamatkan dan menggantikan perkhidmatan feri dengan kapal katamaran. Malah Anthony Loke baru-baru ini menafikan membuat keputusan seperti itu ketika beliau menjadi Menteri Pengangkutan. Bolehkah Wee menunjukkan bukti bila dan di mana kami berdua telah memutuskan untuk menghentikan perkhidmatan feri Pulau Pinang? Ini jelas adalah palsu.
Kedua-dua Anthony Loke dan saya sendiri berulang kali mengatakan bahawa kami tidak menentang untuk menambah kapal katamaran dengan syarat perkhidmatan feri yang ada dikekalkan. Kami menyedari kos dan kesukaran untuk mencari pengganti yang sesuai dan itulah sebabnya kami menegaskan bahawa beberapa feri yang sedia ada dibenarkan untuk beroperasi. Dengan kata lain, kapal katamar akan beroperasi selari dengan perkhidmatan feri yang ada seperti yang diamalkan oleh banyak negara seperti Hong Kong atau Kanada, di mana ada kewujudan bersama warisan dan kemodenan.
Ini tidak seperti Kementerian Pengangkutan dan Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (PPC) di bawah Kerajaan Persekutuan PN yang baru, yang memutuskan untuk menamatkan perkhidmatan feri begitu sahaja pada 31 Disember 2020, tanpa menghargai sentimen nilai bersejarah dan warisannya yang unik. Pengerusi PPC, Tan Teck Cheng mengatakan feri yang mengangkut kereta akan diganti dengan bas air pada 1 Januari 2021. Tan turut mengatakan bahawa keputusan untuk menamatkan feri berusia 126 tahun didorong oleh statistik dan ekonomi, bukannya emosi atau politik.
Jelas bahawa rakyat Pulau Pinang telah “dikhianati” oleh politik kotor pemimpin MCA di Kementerian Pengangkutan dan PPC dalam menamatkan perkhidmatan feri Pulau Pinang secara unilateral. Tan bahkan telah menunjukkan rasa tidak puas hati di media Cina terhadap perubahan keputusan yang diumumkan oleh Tengku Zafrul di Parlimen untuk meneruskan feri Pulau Pinang yang ikonik dan turut mempersoalkan adakah Tengku Zafrul telah membuat keputusan yang salah. Adakah MCA masih berdegil untuk menamatkan perkhidmatan feri Pulau Pinang?
Ini menunjukkan perbezaan ketara antara MCA dan PH di Pulau Pinang, di mana hanya PH yang komited untuk kesejahteraan rakyat, warisannya yang unik dan pandangan rakyat. Saya akan memastikan PH sentiasa berwaspada terhadap politik kotor MCA dan memastikan perkhidmatan feri Pulau Pinang dapat diselamatkan mulai 1 Januari 2021.