- Kerajaan Negeri Selangor melalui Jawatankuasa Khas Penambahbaikan Perkhidmatan Penjagaan (JKPPP) dengan kerjasama Hayat Technologies Sdn Bhd mengumumkan Perlaksanaan Kaji Selidik Pengusaha Pusat Jagaan dan Taska sebagai pendekatan mendapatkan pandangan daripada pengusaha-pengusaha pusat jagaan di Selangor.
- Kaji selidik ini telah diedarkan kepada emel pengusaha-pengusaha taska dan pusat jagaan, meliputi pusat jagaan warga emas, orang kurang upaya (OKU), dan taska, bermula 21 April 2025. Tarikh tutup maklumbalas adalah pada 17 Mei 2025. Borang kaji selidik ini boleh diakses melalui laman sesawang ini: https://tinyurl.com/surveypusatjagaan dan memerlukan masa lebih kurang 30 minit untuk mengisinya.
- Kaji selidik ini bukanlah sahaja untuk pengusaha pusat jagaan dan taska, tetapi juga untuk operator yang belum mendaftar premis mereka dengan agensi kerajaan.
- Tujuan penyemakan semula garis panduan pusat jagaan dan taska adalah seperti berikut:-
- Menghadapi cabaran peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan penjagaan dengan pertumbuhan penduduk melalui migrasi ke dalam Negeri Selangor dan pemanjangan jangka umur dengan penambahbaikan teknologi perubatan;
- Meningkatkan bilangan pusat jagaan berdaftar untuk memastikan pengusaha-pengusaha menerima latihan dan bimbingan daripada agensi kerajaan yang secukupnya, bagi memastikan keselamatan kanak-kanak, warga emas serta OKU dan untuk mengurangkan kes-kes pengabaikan atau penganaiyan;
- Mewujudkan garis panduan yang mesra bisnes, tanpa mengkompromi keselamatan;
- Memetakan landskap ekonomi penjagaan di Negeri Selangor, supaya dasar subsidi dan bantuan dapat disampaikan dengan lebih menyasar supaya Selangor dapat maju bersama.
- Namun, kami menyedari bahawa terdapat beberapa cabaran yang dihadapi oleh pengusaha taska dan pusat jagaan dalam mematuhi prosedur dan garis panduan yang ditetapkan oleh agensi kerajaan.
- Oleh itu, Kaji Selidik Pengusaha Pusat Jagaan dan Taska ini adalah sangat penting kerana dapatan daripada ini akan dianalisa dan diambil kira dalam proses penyeragaman syarat pendaftaran pusat jagaan dan taska oleh Kerajaan Negeri, yang akan dimuktamadkan tahun ini. Pandangan pengusaha-pengusaha taska dan pusat jagaan sebagai salah satu pemegang taruh utama dalam industri penjagaan adalah sangat bernilai dalam membantu kami merangka dasar dan prosedur yang lebih mesra.
- Maklum balas yang diterima hanyalah untuk tujuan penyelidikan dan tidak akan digunakan bagi tujuan penguatkuasaan. Kerajaan Negeri bersedia maklum bahawa kita perlu mendengar daripada pengusaha yang belum daftar pusat mereka dengan kerajaan, bagi mengenalpasi cabaran dan halangan yang dihadapi.
- Setakat ini, seramai 87 pengusaha telah mengisi kaji selidik tersebut. Kerajaan akan memberi mereka yang memberi maklumbalas akses kepada hasil kajian dan kupon percuma ke Selangor International Care Summit 2025.
- Usaha-usaha ini selaras dengan usaha Kerajaan Negeri Selangor di bawah Objektif 2.1 Dasar Ekonomi Penjagaan Negeri Selangor (DEPNS) iaitu memperkemaskan tata urus dan pemantauan kualiti pusat jagaan.
PERLAKSANAAN KAJI SELIDIK PENGUSAHA PUSAT JAGAAN DAN TASKA UNTUK PINDAAN GARIS PANDUAN KERAJAAN NEGERI
- 23 April 2025
- Michelle Ng Mei Sze
- Pengerusi Jawatankuasa Khas Penambahbaikan Perkhidmatan Penjagaan Merangkap ADUN Subang Jaya
- Kenyataan Media oleh Michelle Ng Mei Sze pada 23 April 2025 di Subang Jaya