Skip to content

Perlantikan 8 Menteri Wanita dalam Kabinet Indonesia dan kemerosotan kesaksamaan jantina di Jurang Gender Sedunia 2014

Laporan yang dikeluarkan menerusi Jurang Gender Sedunia 2014 menunjukkan Malaysia telah jatuh dari tangga 102 pada tahun 2013, ke tangga 107 pada tahun ini. Itu menunjukkan usaha pemberdayaan politik wanita perlu dilaksanakan dengan segera.

Walaupun skor keseluruhan tidak berubah, Malaysia tetap mengalami kemerosotan kesaksamaan gender kerana skor pemberdayaan politik misalnya, jatuh dari 0.053 kepada 0.052, malah jauh ketinggalan berbanding dengan tahun pertama laporan ini diterbitkan pada tahun 2006 dengan skor 0.056.

Menurut laporan tersebut, skor pemberdayaan politik merangkumi aspek, jumlah wakil rakyat wanita di parlimen, jawatan kementerian ataupun ketua negeri. Pada tahun 2004, peratusan wakil rakyat wanita dalam parlimen adalah 9.6%. Jumlah ini meningkat kepada 10.4% pada tahun 2008, tetapi jumlah tersebut kekal sehingga tahun 2014.

Bagi aspek jawatan kementerian, pada tahun 2010, wanita yang dilantik sebagai menteri hanya 2 daripada 28 jawatan. Pada tahun 2013, meskipun jumlah jawatan kementerian meningkat, tetap hanya 2 wanita dilantik sebagai menteri daripada jumlah 35 jawatan. Ini menyebabkan peratusan berkurangan kepada 5.7% dari 7.1% yang dicatatkan pada tahun 2010.

Kita boleh mengambil contoh Indonesia yang berada di tangga 97 sebagai perbandingan. Daripada 34 Kementerian yang disenaraikan oleh presiden barunya iaitu Jokowi, sebanyak 8 menteri daripada kabinetnya adalah terdiri daripada wanita. Meningkat 100 % berbanding pada era presiden Susilo, iaitu sebanyak 4 menteri wanita dalam Ahli Jawatankuasa karbinetnya..

8 flatform tersebut meliputi, Menteri Kelautan dan Perikanan yang diamanahkan kepada Susi Pudjiastuti, Menteri Luar Negeri – Retno Lestari Priansari Marsudi, Menteri Badan Usaha Milik Negara (BUMN) – Rini M Soemarno, Menteri Kesihatan – Nila F Moeloek dan lain-lain lagi. Pelantikkan ini menunjukkan bahawa Indonesia jauh lebih memberi keyakinan dalam mengiktiraf peranan wanita terutamanya dalam pelantikan Retno sebagai Menteri Luar Negeri wanita pertama di negaranya.

Jika hendak dibandingkan dengan Malaysia, posisi menteri wanitanya hanya terdiri 2 daripada 35 menteri kabinet. Iaitu Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat – YB. Datuk Rohani binti Abdul Karim serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri – YB. Puan Nancy Binti Syukri. Terbukti Malaysia bukan saja jauh ketinggalan dari segi jumlah menteri wanita, tetapi juga ketinggalan dari segi kepentingan jawatan yang di amanahkan kepada wanita.

Jika kita lihat, pada Pilihanraya Umum yang lalu jelas menunjukkan jumlah pengundi wanita adalah lebih banyak. Maka adalah wajar menteri daripada kalangan wanita di tambah untuk memberi fokus kepada permasalahan wanita bagi mengimbangai jurang tersebut.

Perkara ini sejajar dengan kata-kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika merasmikan Sidang Kemuncak Wanita 2014 pada bulan yang lalu. Beliau mengatakan Kerajaan sedang mengkaji untuk mewujudkan Kelab 30 Peratus supaya bilangan dan peranan wanita di peringkat pembuat keputusan dapat dipertingkatkan.

Selain daripada yang dinyatakan di atas, saya berharap kerajaan Malaysia juga dapat meningkatkan pembabitan golongan wanita dalam sektor pekerjaan supaya mereka mempunyai peluang dan ruang untuk mengembangkan potensi diri sendiri.