Sebagai alumni Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya, ayat pertama yang dididik dalam kuliah undang-undang perlembagaan adalah “Federal Constitution is supreme”.
Semua mahasiswa jurusan undang-undang juga dididik tentang kedaulatan undang-undang, yakni “rule of law”.
Kini ada yang tak faham. Ada yang buat-buat tak faham. Ada yang sengaja tak nak faham.
Sekolah mengajar kita semua untuk tidak membuat kesalahan kecil sesekalipun, contohnya tidak mencuri & mengambil pensil rakan, kena memohon maaf & menerima hukuman sekiranya membuat kesilapan.
Penyokong PH yang menyokong kesemua wakil rakyat PH dalam beberapa PRU yang lepas adalah mengharapkan kerajaan Madani terus memperkukuhkan usaha reformasi demi menjadikan negara lebih baik, bukannya sebaliknya.
PH tidak perlu mengorbankan prinsip asal demi individu atau kumpulan pendesak yang sebenarnya tidak pernah bersetuju dengan hala tuju reformasi.
Adalah normal bagi sesebuah parti politik untuk mengadakan kerjasama dengan mana-mana parti politik dalam keadaan yang berbeza.
DAP pernah bekerjasama dengan PAS ketika PAS di bawah pimpinan Nik Aziz rela mempertahankan kemajmukan, DAP pun pernah bekerjasama dengan PPBM untuk menjatuhkan penyamun yang merompak duit negara. Jangan lupa penyamun tersebut menatijahkan kerajaan kini terpaksa menanggung hutang sehingga hari ini dan pada masa depan.
Daripada sibuk melayan permintaan bukan-bukan yang membelakangi apa yang dikehendaki penyokong PH, lebih baik untuk menegakkan prinsip asal dan melaksanakan langkah reformasi dalam kadar segera demi menghantar mesej bahawa kerajaan Madani adalah teguh bersama dengan masyarakat berbilang kaum.
Rakyat sedang menilai, jangan sesekali menghampakan rakyat Malaysia.