Skip to content

Perletakan jawatan yang dijangkakan daripada wakil PAS dalam Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan segera diterima tanpa soal kerana tiada impak terhadap kestabilan, kesinambungan dan kredibiliti kerajaan Negeri Pulau Pinang

Peletakan jawatan yang dijangkakan daripada wakil PAS dalam kerajaan negeri Pulau Pinang akan diterima dengan segera tanpa soalan kerana tiada sebarang impak terhadap kestabilan, kesinambungan dan kredibiliti kerajaan negeri Pulau Pinang. Peletakan jawatan wakil PAS dalam kerajaan negeri Pulau Pinang tidak dapat dielakkan berikutan keputusan Muktamar PAS untuk menerima usul Dewan Ulama tanpa perbahasan bagi memutuskan hubungan dengan DAP dan meskipun kekal dalam Pakatan Rakyat (PR). Walaupun tiada perdebatan dibenarkan semasa Muktamar PAS bagi usul sedemikian penting, kepimpinan PAS yang baru berhak untuk mengemudi parti mereka dengan cara yang difikirkan wajar, sama ada melalui demokrasi atau autokrasi.

Saya tidak akan mengulas tetapi menyerahkannya kepada PAS untuk menjawab kedudukan kontradik mereka apabila PAS memutuskan hubungan dengan DAP tetapi masih kekal dalam PR sedangkan PR terdiri daripada ketiga-tiga parti DAP, PKR dan PAS. PR berfungsi atas konsensus kesemua 3 parti dan tidak ada satu parti pun boleh membuat keputusan bagi pihak PR. Namun PAS mempunyai kebebasan dan hak untuk memutuskan hubungan dengan DAP.

Atas sebab ini, berdasarkan usul yang diluluskan tanpa membenarkan sebarang perbahasan bagi memutuskan hubungan dengan DAP, wakil PAS tidak mempunyai pilihan lain kecuali meletakkan jawatan dalan kerajaan negeri Pulau Pinang dan agensinya serta ahli majlis perbandaran dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK). Walaupun saya menikmati hubungan kerja yang mesra dan baik dengan kebanyakan wakil PAS, saya faham bahawa mereka perlu meletakkan jawatan atas sebab-sebab etika dan moral. Adalah suatu yang tidak dapat dipertahankan dari segi politik bagi mereka untuk kekal dalam kerajaan negeri Pulau Pinang yang diketuai oleh saya dalam kapasiti saya sebagai Setiausaha Agung DAP, apabila Muktamar PAS telah memutuskan hubungan dengan DAP.

Kestabilan, kesinambungan dan kredibiliti kerajaan negeri PR Pulau Pinang tidak akan terjejas akibat ketiadaan wakil PAS dalam kerajaan. DAP dan PKR masih menikmati majoriti 2/3. Dengan 30 daripada 40 kerusi Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, tanpa ADUN tunggal PAS, PR Pulau Pinang masih mempunyai 29 kerusi dan majoriti selesa 2/3.

Kerajaan negeri Pulau Pinang akan terus fokus dalam mengubah Pulau Pinang menjadi sebuah bandar antarabangsa dan pintar yang bersih, hijau selamat dan sihat. Pelaburan pada tahun lepas meningkat sebanyak 110% daripada RM3.9 bilion pada tahun 2013 kepada RM8.2 bilion pada tahun 2014. Bagi 3 bulan pertama tahun 2015, Pulau Pinang berjaya menarik RM2.9 bilion, yang kedua tertinggi di Malaysia. Pelancongan juga telah berkembang semakin kukuh dengan jumlah penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang meningkat sebanyak 10% pada tahun lepas.

Prestasi ekonomi Pulau Pinang yang kukuh di bawah PR dapat dilihat dengan jumlah cukai langsung dan tidak langsung yang dibayar oleh Pulau Pinang kepada kerajaan Persekutuan, meningkat daripada RM4.1 bilion pada tahun 2010 kepada RM6.3 bilion pada tahun 2014. Walaupun merupakan negeri kedua paling kecil di Malaysia, Pulau Pinang adalah pembayar cukai negeri ketiga tertinggi. Kerajaan Negeri Pulau Pinang terus mencatatkan lebihan belanjawan tahunan sejak mengambil alih pada tahun 2008 dan telah pun mengarahkan pihak berkuasa kerajaan tempatan untuk menyerap GST yang dibayar oleh rakyat untuk mengurangkan beban kewangan mereka.