Perlu juga ada pasukan petugas khas untuk Teoh Beng Hock dan kematian tahanan polis lain serta terhadap kelakuan Peguam Negara sekarang bagi memastikan bahawa pembentukan pasukan petugas khas bukan satu bentuk politik dendam tetapi untuk memastikan bahawa keadilan bukan sahaja dilaksanakan tetapi dilihat terlaksana. DAP tidak mempunyai sebarang isu terhadap pasukan petugas khas yang diumumkan oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk meneliti kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim yang belum dapat diselesaikan, yang merupakan pengakuan terbuka kegagalan oleh Kerajaan Persekutuan.
Pemimpin kerajaan sekarang ketika mereka menjadi pembangkang menuduh Kerajaan PH ketika itu tidak menangkap pembunuh dan mendakwa mereka di mahkamah. Sekarang mereka sudah menjadi kerajaan, mereka nampaknya telah kehilangan minat terhadap kes Adib selama 20 bulan ini apabila tidak ada yang ditangkap dan didakwa atas pembunuhannya. Hanya apabila diingatkan oleh Ahli Parlimen PH berulang kali mengenai janji mereka terhadap Adib, kerajaan telah memutuskan untuk menggunakan taktik melengahkan dengan menubuhkan pasukan petugas khas untuk Adib.
Sekiranya terdapat pasukan petugas khas untuk Adib, mengapa tidak ada pasukan petugas khas untuk Teoh Beng Hock dan kematian tahanan polis yang lain? Terdapat keperluan untuk mencari keadilan bagi mereka yang kehilangan nyawa semasa ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia atau polis. Setiap nyawa adalah sangat berharga.
Demi keadilan, selain menubuhkan pasukan petugas khas terhadap dakwaan bekas Peguam Negara Tommy Thomas mengenai penyalahgunaan dan campur tangan dalam bidang kehakiman, sepatutnya perlu juga ada pasukan petugas khas mengenai peranan Peguam Negara Idrus Harun sekarang. Idrus Harun telah menimbulkan kontroversi berkenaan pengguguran tuduhan rasuah dan penyalahgunaan kuasa beberapa ahli politik yang menyokong Kerajaan Persekutuan sekarang.
Idrus juga bertindak menentang titah Yang di-Pertuan Agong apabila mempertikaikan titah agar Parlimen perlu bersidang dan bahawa Proklamasi Darurat perlu dibahaskan dan diputuskan di Parlimen. Salah laku ini adalah sama seriusnya dan wajar untuk disiasat pasukan petugas khas yang diketuai oleh bekas Ketua Hakim Negara.