Baru-baru ini Kerajaan Persekutuan telah membentuk satu jawatankuasa yang diketuai oleh Mantan Ketua Hakim Negara Tun Zaki bin Tun Azmi untuk mengkaji konflik di antara undang-undang Syariah dan Perlembagaan Persekutuan.
Saya perhatikan semua ahli-ahli dalam jawatankuasa tersebut merupakan orang-orang beragama Islam. Adalah penting untuk juga melantik pakar-pakar perlembagaan daripada orang-orang bukan Islam ke dalam jawatankuasa itu supaya pandangan orang bukan Islam berkenaan dengan peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan juga akan diambil kira sebelum cadangan untuk sebarang perubahan dalam undang-undang dibuat. Wakil daripada Badan Peguam Malaysia juga adalah diperlukan kerana ia adalah sebuah badan berkanun yang dibentuk untuk memastikan undang-undang yang diluluskan di negara kita adalah adil dan saksama.
Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi yang telah dibentuk dengan baik supaya negara Malaysia yang pelbagai ini dapat disatu padukan. Ia mengambil kira kepentingan semua kaum, agama, bahasa, budaya, wilayah, kedudukan Raja-raja serta hak dan perlindungan rakyat jelata.
Sebarang percubaan untuk mengubah kedudukan mana-mana kaum atau agama yang menjejaskan kaum dan agama yang lain mesti dibincangkan secara menyeluruh untuk mengelakkan sebarang konflik.
Dalam mengharmonikan undang-undang Syariah dengan Perlembagaan Persekutuan, adalah penting pandangan orang bukan Islam diambil kira supaya hak dan perlindungan yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan kepada orang bukan Islam serta asas negara kita tidak terjejas.
Satu contoh di mana pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan untuk menyelesaikan masalah rasa tidak puas hati orang Islam bahawa mahkamah sivil campur tangan dalam hal-hal Islam, kini pada pandangan saya telah disalahtafsirkan ia menidakkan hak kebebasan beragama yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Pada tahun 1988, Perkara (1A) telah ditambah kepada Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan. Perkara (1A) memperuntukkan bahawa ‘Mahkamah yang disebut dalam Fasal (1) tidaklah mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan apa-apa perkara dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah.’
Perkara 121 (1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan tentang bidang kuasa Mahkamah Tinggi bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu dan Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak (Mahkamah Sivil).
Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan hak mutlak seseorang untuk menganuti dan mengamalkan agamanya. Terdapat hanya satu sekatan iaitu undang-undang boleh diluluskan untuk mengawal atau menyekat penyebaran apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganut agama Islam.
Disebabkan oleh Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan, beberapa mahkamah sivil pada masa ini enggan melayan permohonan-permohonan daripada orang-orang yang ingin mengisytiharkan bahawa mereka bukan Islam atas alasan mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa untuk melayan permohonan-permohonan tersebut. Kementerian Dalam Negeri telah meminta orang yang tidak menganut agama Islam untuk mendapatkan pengisytiharan Mahkamah Syariah bahawa mereka bukan Islam sebelum perkataan Islam boleh dikeluarkan daripada kad pengenalan mereka. Mahkamah Syariah tidak cenderong atau tidak akan memberikan perintah sedemikian kerana meninggalkan Islam di bawah undang-undang Syariah merupakan satu kesalahan. Kementerian Dalam Negeri seharusnya membenarkan pindaan tersebut kepada kad pengenalan secara pentadbiran. Kebebasan beragama ditentukan oleh orang yang menganut dan mengamalkan sesuatu agama. Jika agamanya ditentukan oleh pihak ketiga, dia boleh dikatakan tidak lagi memiliki hak kebebasan beragama.
Ramai orang bukan Islam yang kad pengenalannya tertera perkataan ‘Islam’ berada dalam keadaan yang sangat menyusahkan. Mereka tidak boleh berkahwin dengan orang bukan Islam dan terpaksa tinggal bersama pasangan mereka tanpa berkahwin dan melahirkan anak di luar nikah. Generasi akan datang akan mengalami nasib yang sama kerana kad pengenalan mereka juga akan tertera perkataan ‘Islam’ jika kad pengenalan ibu mereka tertera perkataan ‘Islam’.
Ini adalah isu sosial yang kerajaan kita mesti selesaikan kerana ia menyebabkan banyak masalah kepada keluarga-keluarga yang telibat. Kerajaan dan mahkamah sivil mesti menghormati dan menegakkan hak mutlak seseorang untuk menganut dan mengamalkan agama pilihannya, suatu kebebasan yang dijamin di bawah Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.