Skip to content

Permainan provokasi Menteri Besar Kedah yang mabuk kuasa politik

Sejak dua hari lepas, media sosial panas dengan komen-komen dari Menteri Besar Kedah mengenai perobohan sebuah rumah Ibadat di Kulim, Kedah. Beliau secara terbuka telah menghina parti MIC, yang menjadi sebahagian dari Kerajaan Perikatan Nasional di peringkat Persekutuan dan Negeri Kedah. Apa yang dapat disimpulkan adalah, pemimpin PAS ini sengaja menggunakan isu rumah ibadat bukan Islam, untuk memulakan provokasi dan mewujudkan keadaan tegang, untuk mengelakkan perhatian awam ke atas dirinya, di mana keputusan dan tindak-tanduknya sedang membuktikan bahawa beliau adalah seorang Menteri Besar yang paling mengecewakan dalam sejarah negeri Kedah. Perkara ini amatlah membimbangkan kerana, seorang pemimpin yang sepatutnya meredakan ketegangan dalam masyarakat dan mewujudkan keharmonian, sedang melakukan perkara sebaliknya atas kepentingan politik diri dan partinya.

Perobohan rumah ibadat bukan Islam merupakan salah satu taktik Kerajaan Negeri PAS Kedah yang ingin mengalihkan perhatian umum daripada kelemahan pimpinan negeri. Bukankah ianya ironi, apabila Menteri Besar Kedah sengaja memainkan isu ini, termasuk memanggil untuk Parti MIC, salah sebuah parti dalam Kerajaan Perikatan Nasional, untuk diharamkan, apabila rakyat sedang mentertawakan kenyataan MB yang menyatakan bahawa ‘Kedah telah mengenalpasti galian mineral bernilai 43 trilion’. Beberapa pemimpin Pakatan Harapan telahpun persoalkan ‘penemuan’ mineral baru ini. Malah, Ahli Parlimen Kulim – Bandar Baharu, Datoseri Saifuddin Nasution telah melahirkan kebimbangan beliau, jika ini ialah salah satu taktik untuk menjustifikasikan penebangan pokok balak, di kawasan hutan simpanan di Sik.

Kerajaan Kedah perlulah mengalihkan tumpuan umum ini dari isu 43 trilion yang telah menjadikan pimpinan PAS Kedah sebagai bahan jenaka. Malah, keyakinan rakyat terhadap kebolehan PAS untuk memimpin negeri dan negara sedang menjadi tandatanya. Dan ketika itulah Isu rumah-rumah ibadat bukan Islam telah dijadikan sebagai salah satu perkara untuk mengalihkan pandangan umum daripada kelemahan memimpin pemimpin PAS seperti Menteri Besar Kedah. Menteri Besar Kedah sengaja mensasarkan rumah ibadat bukan Islam, untuk menonjolkan dirinya sebagai ‘seorang pemimpin Islam yang tegas’. Tetapi hakikatnya, seorang pemimpin yang tegas, berkebolehan tidak akan memecahbelahkan rakyatnya sendiri, berasaskan kaum atau agama untuk kekal berkuasa. Hanya, pemimpin yang tidak berakhlak akan memecahbelahkan keharmonian masyarakat berbilang kaum, agama untuk kepentingan politiknya.

Kenapa rumah-rumah ibadat bukan Islam menjadi masalah di Kedah, hanya selepas PAS menjadi Kerajaan dan bukannya sebelum itu? Alasan PAS dan pembodek pemimpin PAS dalam DHPP, kononnya rumah ibadat bukan Islam dibina secara ‘haram’ ataupun ‘dibina bukan atas tanah sendiri’. Ini menunjukan kerajaan PAS Kedah tidak memahami latar belakang sesuatu rumah ibadat, dan hanya mahu menggunakan isu rumah ibadat untuk memainkan sentimen agama untuk tujuan politik. Kebanyakkan daripada kuil-kuil yang dilabel sebagai ‘struktur haram’ oleh PAS sekarang, adalah struktur pra-kemerdekaan. Bermaksud, kuil-kuil ataupun tokong-tokong tersebut telah wujud sebelum kemerdekaan, di kawasan yang telah dikenalpasti oleh pemerintah kolonial pada masa itu.

Kebanyakkan tanah tersebut, kini telah bertukar pemilik, dan tiba-tiba kuil yang wujud berpuluh tahun, tiba-tiba menjadi ‘kuil haram’ dalam klasifikasi kerajaan Kedah. Sepatutnya, Kerajaan yang bertanggungjawab haruslah mendapatkan tanah alternatif kepada rumah-rumah ibadat ini. Kalau negeri sekecil Pulau Pinang, yang tiada tanah sebesar Kedah, boleh menyelesaikan isu-isu rumah ibadat bukan Islam tanpa perlu provokasi kaum, agama sedemikian, apakah alasan PAS Kedah yang memimpin negeri yang mempunyai tanah yang luas? MB Kedah ataupun Kerajaan PAS Kedah tiada langsung kebolehan ataupun kesanggupan politik untuk menyelesaikan masalah ini, tetapi ingin memecahbelahkan keharmonian kaum, agama yang telah wujud di negeri itu, untuk tujuan politik.

Kebebasan beragama telah termaktub dalam Perlembagaan Negara dan telah menjadi amalan rakyat Malaysia untuk hidup bersama walaupun berbeza. Tetapi, bukan sahaja Menteri Besar Kedah tidak faham kepentingan hubungan harmoni antara kaum, tetapi tidak juga faham Perlembagaan Persekutuan. Hari ini, MB Kedah telah menunjukkan kedangkalannya sekali lagi dengan menuduh sesiapa sahaja yang mempersoalkan tindakan Kerajaan PAS Kedah sebagai ‘mabuk todi politik’. Adakah ini sifat terpuji seorang pemimpin? Tujuan Menteri Besar Kedah adalah untuk memanaskan lagi debat kaum, agama di Kedah ingin menonjolkan diri sebagai ‘pemimpin Islam yang tegas’ dengan mensasarkan rumah ibadat bukan Islam. Tetapi, permainan politik sebegitu sangat berbahaya, di mana perpaduan kaum menjadi taruhan dalam permainan seperti itu. Tetapi, apakah MB PAS Kedah kisah dengan itu? Yang sebenarnya ‘mabuk kuasa’ adalah Menteri Besar Kedah ini; bermotivasikan kemabukan kuasa itulah, MB Kedah sudah bersedia untuk memecahbelahkan keharmonian kaum-agama di negeri itu, untuk tujuan politik.

Pemimpin Islam yang tegas adalah pemimpin yang menyatu-padukan masyarakat berbilang kaum, agama; bukannya yang memecahbelahkan mereka. Sebagai contoh, Allahyarham Tok Guru Nik Aziz, yang telah memimpin Kelantan dengan begitu aman sekali. Beliau telah menjadi pemimpin yang disegani semua lapisan masyarakat, di mana ramai daripada masyarakat beragama Hindu menitiskan air mata, apabila beliau meninggal dunia. Beliau tidak pernah suka-suka roboh Kuil di Kelantan; tetapi telah menyatu-padukan masyarakat berbilang kaum, agama. Itulah contoh pemimpin yang unggul. Menteri Besar Kedah ini seorang pemimpin yang tidak mempunyai kelas ataupun kebolehan memimpin. Sejak beberapa bulan lalu, beliau telah menonjolkan betapa tidak layak dirinya untuk memimpin negeri Kedah yang mempunyai masyarakat berbilang kaum, agama.

Kedah adalah tempat bermulanya ketamadunan Melayu awal di rantau ini, dan Menteri Besar PAS Kedah ini bukanlah seorang yang layak untuk memimpin negeri yang penuh bersejarah, bertamadun itu. Kedah telah dicatatkan dalam sejarah sebagai ketamadunan yang unggul di mana, masyarakat Islam-Hindu-Buddha telah wujud secara harmoni sejak berkurun tahun. Tetapi, pemimpin PAS sedang merosakkan imej ketamadunan unggul Kedah itu sendiri. Kenyataan dan tindak-tanduk MB Kedah sejak kebelakangan ini, bukan sahaja menonjolkan sifat angkuh, malah juga menunjukkan ketidakupayaannya untuk memimpin negeri yang penuh bersejarah ini.

MB Kedah yang ingin memainkan sentimen kaum, agama dengan membelasah parti-parti politik DAP, MIC untuk menaikkan popularitinya di kalangan masyarakat beragama Islam. Tetapi, beliau gagal sedar bahawa, isu ini bukan isu politik, tetapi isu penting yang menjangkaui kepentingan politik. Yang nyata pimpinan utama PAS mahupun Perikatan Nasional, tidak berani menegur MB Kedah yang angkuh dan memecahbelahkan perpaduan kaum ini. Ini menunjukkan kegagalan Perikatan Nasional yang tidak berupaya memimpin negara yang berbilang agama ini.