Semenjak pelaksanaan beberapa siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Malaysia bermula Mac 2020, ramai ahli keluarga terpaksa bergelut dengan perubahan berbanding rutin biasa mereka. Sekolah ditutup, SOP bekerja dari rumah diperkenalkan dan sempadan ditutup. Perancangan untuk ke luar negara dihentikan. Ramai ibu bapa muda menghadapi cabaran mengurus kelas secara dalam talian untuk anak-anak mereka, memasak dan dalam masa yang sama menghadiri mesyuarat kerja menerusi dalam talian. Banyak kontrak untuk pembantu rumah tamat semasa tempoh ini dan ramai majikan tidak dapat mencari pengganti disebabkan pintu sempadan ditutup dan fee yang naik mendadak.
Banyak agensi yang menawarkan pembantu rumah tidak mampu bertahan atau meneruskan operasi mereka semasa tempoh tersebut apabila tiada pendapatan untuk membayar gaji. Banyak agensi ini terpaksa ditutup. Pertubuhan Kebangsaan Agensi Pekerjaan Swasta Malaysia (“Pertubuhan”) menganggarkan lebih kurang 5,000 permohonan sebulan bagi mendapatkan pembantu rumah sebelum PKP. Semenjak PKP, dianggarkan 10,000 hingga 20,000 keluarga yang masih menunggu sempadan dibuka semula dan pembantu rumah yang baharu dibenarkan memasuki Malaysia. 20,000 keluarga ini adalah rakyat Malaysia yang bekerja dan terdesak untuk mendapatkan pembantu di rumah mereka.
Saya menggesa Kerajaan Persekutuan untuk:
- membantu para majikan dengan membuka semula sektor ini dengan segera dan membenarkan pembantu rumah yang baharu memasuki Malaysia dengan selamat tertakluk kepada status vaksinasi mereka, ujian saringan dan arahan kuarantin;
- menyelesaikan isu MOU yang tertunggak dengan negara terbabit; dan
- menyediakan sistem permohonan yang lebih pantas untuk mengurangkan masa menunggu yang lama bagi mendapatkan pembantu rumah yang baharu.
Pendekatan menang-menang ini akan membantu kutipan levi/pendapatan Kerajaan dan dapat membanteras aktiviti haram atau pemerdagangan pembantu rumah. Kita mesti melakukan sebaik mungkin untuk mengekalkan jumlah penyertaan wanita dalam sektor pekerjaan yang telah sedia rendah selama ini dan jangan pula semakin berkurangan akibat kekurangan sistem sokongan di rumah. Setiap hari adalah penting buat keluarga yang bekerja ini untuk mengekalkan pekerjaan mereka dan menyediakan penjagaan untuk ahli keluarga mereka yang tersayang di rumah.