Skip to content

Persempadanan tidak adil di Pontian, Johor

Kami mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya menjalankan persempadanan semula dengan profesyenal dan teliti bagi memperkasakan sistem demokrasi negara kita.

Dalam pameran kali kedua ini, kami perhatikan bahawa jurang perbezaan antara DUN-DUN bawah Parlimen Pontian telah dilebarkan dan berlakunya amalan Gerrymandering yang ketara di keempat-empat DUN dalam daerah Pontian.

Perubahan bilangan pemilih di daerah Pontian ditunjukkan dalam jadual ini.

Saiz pemilih yang munasabah bagi keempat-empat DUN di daerah Pontian adalah 25,719 orang. Bagaimana pun, kami dapati syor kedua yang dipamerkan tidak menghala ke prinsip merapatkan jurang perbezaan tersebut sebaliknya melebarkan lagi jurang tersebut khasnya bagi DUN-DUN di bawah Parlimen Pontian. DUN Pulai Sebatang yang disyorkan melebihi Benut 13,212 orang pemilih atau 1.7 kali ganda lebih besar daripada DUN Benut.

Jelas, keadaan ini adalah bercanggah prinsip yang dinyatakan dalam Sub-Seksyen 2(c) Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Perseketuan bahawa

“bilangan pemilih di dalam setiap bahagian pilihan raya di dalam sesuatu Negeri patutlah lebih kurang sama banyak kecuali bahawa, dengan mengambil kira kesulitan yang lebih besar untuk sampai kepada pemilih di dalam daerah desa dan kesukaran lain yang dihadapi oleh bahagian-bahagian pilihan raya di luar bandar, ukuran pewajaran bagi kawasan patutlah diberikan kepada bahagian-bahagian kawasan pilihanraya”

SPR haruslah membetulkan ketidaksekataan yang berlaku di kedua-dua DUN Benut dan Pulai Sebatang memandangkan tiada faktor lain yang boleh merasionalkan tindakan tersebut. Keadaan kedua-dua DUN ini tidak mempunyai perbezaan yang ketara malah tidak pernah wujudnya perbezaan faktor bandar atau luar bandar yang boleh menzahirkan syor SPR.

Daripada syor yang dipamerkan kami mendapati dua Daerah Mengundi (DM) iaitu DM Kampong Parit Kahar (846 pemilih) dan Parit Keroma (1,067 pemilih) dari Benut telah disempadankan ke Pulai Sebatang yang tidak munasabah dari segi geografi dan perikatan komuniti. Kedua-dua DM ini adalah sebahagian daripada komuniti Benut dan lebih dekat dengan pekan Benut (9km) berbanding Pontian (17km) yang merupakan pusat pentadbiran kedua-dua DUN ini.

Kami tidak nampak sebarang alasan yang munasabah bagi SPR dalam mewujudkan jurang yang besar di antara kedua-dua DUN malah ianya lebih dilihatkan sebagai suatu usaha untuk memperkukuhkan kedudukan BN di DUN Pulai Sebatang. SPR wajar memberikan penjelasan berkenaan syor ini.

Pada masa yang sama, kami juga mendapati wujudnya amalan Gerrymandering yang ketara dalam syor kali ini sebagai salah satu percubaan untuk memperkukuhkan kedudukan BN di Pulai Sebatang dan merampas Pekan Nenas yang telah dimenangi DAP.

Jadual 2 menunjukkan jangkaan keputusan PRU14 selepas persempadanan yang disyorkan oleh SPR berdasarkan keputusan PRU13 dengan andaian pola mengundi tidak berubah.

Sekiranya SPR gagal memberikan penjelasan yang dapat meyakinkan atas syor kali kedua persempadanan semula maka anggaran yang dibuat kepada prestasi BN dalam PRU14 seperti yang ditunjukkan dalam Jadual 2 mungkin merupakan alasan yang paling sesuai untuk menjelaskan persoalan kami terhadap beberapa fenomena yang tidak munasabah dalam syor kali ini.

Pihak SPR haruslah memberikan penjelasan yang munasabah ke atas persoalan-persoalan yang kami sebut di atas bagi memulihkan kewibawaan mereka dan memulihkan keyakinan seluruh warga Malaysia.

Selain itu, ADUN-ADUN BN khasnya Datuk Tee Siew Kiong harus memaklumkan seluruh warga Malaysia khasnya warga Johor sama ada mereka bersetuju kepada prinsip “satu orang, satu undi, satu nilai”? Adakah BN hanya yakin untuk mengekalkan kedudukan mereka dengan cara manipulasi? Bagi ketidakseimbangan antara DUN Benut dan Pulai Sebatang, adakah Tee menganggap dirinya lebih cekap daripada ADUN Benut, Datuk Ir Hasni Muhammad sehingga beliau boleh mengambilalih bebanan daripada DUN Benut?

Bagaimana pun, kami masih yakin percubaan BN untuk mengekalkan kuasa dengan cara manipulasi akhirnya juga akan gagal apabila berhadapan dengan kebangkitan kuasa rakyat. Ini jelas diperlihatkan dalam PRU12 dan PRU13 di mana BN kehilangan majoriti dua pertiga dalam Parlimen dan pemerintahan beberapa negeri walaupun persempadanan pada 2003 jelas direka memihak kepada BN.