Bagi pihak Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP, saya ingin mengumumkan bahawa Persidangan Kebangsaan DAP 2014 akan diadakan pada hari Ahad, 14hb Disember 2014 bertempat di Grand Ballroom @ One City, The Place, Subang Jaya, Selangor.
Agenda pada hari tersebut akan bermula pada jam 10 pagi dan Speaker untuk Persidangan tersebut ialah Hannah Yeoh yang juga merupakan Speaker DUN Selangor. Jumlah perwakilan yang layak menghadiri Persidangan ini ialah seramai 2,725 orang.
Persidangan Kebangsaan DAP pada tahun ini bertemakan “Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”. Intipati tema tersebut ialah solidariti bersama rakyat memandangkan masalah yang paling besar yang membelenggu rakyat Malaysia pada ketika ini ialah kos sara hidup yang semakin meningkat dan ketidakseimbangan pengagihan kekayaan negara hasil daripada dasar kerajaan BarisanNasional.
Isu-isu tersebut dan cadangan-cadangan DAP untuk menghadapi cabaran tersebut akan diterangkan melalui Ucapan Dasar oleh Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng. Selain itu, halatuju DAP untuk menghadapi Pilihanraya Negeri Sarawak dan PRU14 juga akan dibincang dalam Ucapan Dasar tersebut dan dibahaskan oleh para perwakilan.
Selain perbahasan Ucapan Dasar Setiausaha Agung, satu lagi agenda penting dalam Persidangan Kebangsaan kali ini ialah untuk meminda Perlembagaan Parti. Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan DAP yang dipengerusikan oleh saya telah mengemukakan cadangan-cadangan pindaan kepada CEC dan CEC telah meluluskan cadangan-cadangan tersebut untuk dibentangkan dalam Persidangan supaya dapat dipertimbangkan oleh para perwakilan.
Antara cadangan yang akan dibentangkan ialah seperti berikut:
- Keanggotaan Jawatankuasa Tatatertib ditambah dari 5 orang ke sekurang-kurangnya 10 orang (had maksimum 20 orang). Setiap prosiding tatatertib boleh dijalankan oleh sebuah panel yang terdiri daripada 3 ahli Jawatankuasa Tatatertib.
- Pemilihan dalam Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) dinaikkan dari 20 orang ke 30 orang. Untuk menggalakkan lebih ramai penyertaan wanita dalam politik, kuota 30% dalam pemilihan tersebut diwajibkan untuk calon wanita. Dalam erti kata lain, CEC yang baru mesti mempunyai sekurang-kurangnya 9 pemimpin wanita. Selain itu, semua Pengerusi Negeri, Ketua DAPSY dan Ketua Wanita yang bukan ahli CEC akan dijadikan sebagai ex-officio dalam CEC
- Tempoh jawatan untuk semua Jawatankuasa Negeri dilanjutkan dari 2 tahun ke 3 tahun. Seseorang Pengerusi Negeri tidak boleh memegang jawatan lebih dari 3 penggal.
- Struktur Jawatankuasa Perhubungan Kawasan Parlimen dirombak semula untuk memastikan keberkesanan fungsinya.
- Tempoh jawatan untuk semua jawatankuasa cawangan dilanjutkan dari satu tahun ke dua tahun.